Ini cerita mudah, dari seluruh tanahair, datanglah
peneroka-peneroka felda dengan penempatan baru mereka di rancangan-rancangan
felda, rancangan getah, sawit, koko dan tebu. Golongan terbesar mereka
adalah orang-orang Melayu, orang kampung yang tidak mempunyai tanah, golongan
orang susah.
Walaupun rancangan felda ini dimulakan dari zaman Orang Putih, tetapi Tun Razak
yang memulakan karier politiknya sebagai Menteri Luar Bandar merangkap Timbalan
Perdana Menteri berjaya mengadakan pelan penempatan beramai-ramai golongan
orang kampung ini dengan satu tujuan iaitu untuk membasmikan kemiskinan
khususnya kemiskinan luar bandar.
Perancangan peringkat awalnya bermula dengan eksperimen. Penduduk luar
bandar yang miskin dibawa ke suatu kawasan penempatan. Mereka sendiri
terpaksa membelah hutan belantara. Membakar, memerun, menanam, membaja
dan membuat rumah-rumah kediaman sendiri seperti apa yang berlaku di Lembah
Bilut dan beberapa rancangan lain yang dibuka tidak lama selepas Lembah Bilut.
Dinamakan rancangan ini dengan LKTP (Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan) dan
pentadbiran/pengurusan LKTP ini diperbaiki dari masa ke masa sehinggalah
dibawakan ke Parlimen suatu Bill yang kemudiannya diterima sebagai
undang-undang khas untuk Felda dan rancangan-rancangan seumpamanya yang kini
dikenali sebagai GSA.
GSA ini bertujuan untuk memberikan pengurusan dan pentadbiran yang lebih baik
untuk pengurusan ladang dan tanah rancangan; LKTP diubah dengan nama FLDA
(Federal Land Develpment Authority) dan akhirnya dikenali dengan FELDA.
Beratus rancangan telah dibuka di seluruh negara dengan Pahang menenmpatkan
lebih dari 1/3 dari seluruh rancangan, diikuti oleh Johor, Negeri Sembilan dan
Terengganu.
Pendapatan diperingkat awalnya bukanlah lumayan, dan untuk mengatasi masalah peneroka-peneroka,
satu badan di bawah Felda telah dibuka iaitu rangkaian kedai PNF.
Peneroka-peneroka boleh mengambil barangan keperluan dari kedai ini
secara berhutang, maka tidak adalah peneroka-peneroka yang tidak dapat makan
kerana beras, ikan kering, ikan sardin, minyak masak, bawang, garam, gula dan
susu boleh diambil dari kedai ini. Bahkan minyak motorsikal pun diambil dari
kedai ini. Tanpa minyak ini peneroka-peneroka tidak dapat pergi ke
ladang-ladang mereka.
Peneroka-peneroka akan menyelesaikan hutang mereka secara bulanan iaitu dibayar
pada hari BALANCE.
Hari balance adalah hari peneroka-peneroka dibayar gaji, dan setelah ditolak
segala hutang mereka untuk kedai PNF dan lain-lain bayaran seperti kos-kos
pembangunan, baja, jalan pertanian, yuran-yuran untuk masjid, khairat kematian,
bahkan yuran untuk ahli UMNO, maka bakinya (balance) dikembalikan kepada
peneroka-peneroka.
Amboi. Ada
peneroka yang menangis tanpa lagu dan tanpa air mata. Balance baginya
kadang-kadang hanyalah RM10.00 dan kadang-kadang -RM10.00. Kehidupan
peneroka cukup tersiksa. Mulalah peneroka-peneroka menyatakan bahawa nama
felda pada ketika itu memang betul LKTP. Langkah Kerajaan Tipu Penduduk.
Ramai juga peneroka-peneroka yang lari meninggalkan rancangan Felda, tidak tahan
dengan hanya mendapat bekalan makanan bulanan tetapi tidak ada wang tunai; dan
berlaku juga di hampir kesemua rancangan Felda tunjuk-tunjuk perasaan menuntut
supaya mereka diberikan juga wang tunai paling minima RM500.00 setiap bulan.
Kejadian-kejadian Pengurus ditangkap dan dilock-up di rumah Pengurus dikunci
dari luar dan ada pengurus-
pengurus yang diletak dibawah kawah oleh peneroka-peneroka sering berlaku.
Mulai tahun 80-an peneroka-peneroka tidak lagi bersetuju dengan Perjanjian
diantara Peneroka dan Felda yang mana Felda tidak akan memberikan geran tanah
secara individu kepada peneroka-peneroka tetapi apabila peneroka-peneroka
berjaya menjelaskan BK mereka, Felda akan mengesyorkan kepada kerajaan-kerajaan
negeri supaya peneroka-peneroka dikeluarkan geran tanah atas nama kumpulan
seramai 20 orang atas nama koperasi.
Peneroka-peneroka telah bangun dan menuntut supaya mereka diberikan geran
secara individu. Pejuang-pejuang gerakan ini ditentang habis-habisan oleh
UMNO dan Felda, ramai diantara mereka yang disingkirkan dari
rancangan-rancangan Felda, dan lebih menyedihkan lagi apabila UMNO di peringkat
cawangan-cawangan di dalam rancangan Felda dan ahli-ahli mereka juga menentang
supaya peneroka-peneroka diberikan geran secara individu.
Peneroka-peneroka menuntut keadilan diberikan kepada mereka, mereka pinta
potongan-potongan yang tidak relevan dan tidak realistik keatas pendapatan
bulanan mereka dihentikan, mereka menuntut supaya bekalan baja yang baik, bukan
baja yang lebih banyak tanah/pasir yang tidak menyegarkan pokok, mereka
menuntut supaya potongan untuk jalan pertanian dibatalkan kerana wang terkumpul
untuk jalan-jalan pertanian adalah cukup besar tetapi jalan-jalan pertanian
tidak juga diperbaiki. Peneroka-peneroka menuntut hak-hak perwarisan yang
adil berlandaskan syariah, dan peneroka-peneroka menuntut pendapatan minima
yang munasabah diberikan untuk menampung keperluan-keperluan anak-anak mereka
pergi ke sekolah dan perbelanjaan-perbelanjaan keluarga yang semakin meninggi,
tidak cukup dengan hanya dibekalkan beras, garam, gula, teh, susu dari
kedai-kedai PNF.
Walaupun peneroka-peneroka ditindas dan dizalimi dan hak-hak mereka dicabuli,
peneroka-peneroka tetap berjuang untuk hak dan kepentingan mereka walaupun
berhadapan dengan UMNO dan Felda.
GSA telah digunakan sewenang-wenangnya oleh Pengurus-Pengurus Felda dan lebih
ramai peneroka-peneroka diberikan surat-surat tunjuk sebab kenapa mereka tidak
boleh disingkirkan dari rancangan-rancangan Felda, dan peneroka-peneroka
sekali-kali tidak dibenar menganjurkan ceramah-ceramah politik parti-parti
pembangkang; hanya ceramah-ceramah UMNO sahaja dibenarkan.
Salute kepada peneroka-peneroka yang berani menentang arahan Felda ini dan
mereka meneruskan juga program-program politik walaupun berhadapan dengan
risiko ditendang keluar dari rancangan felda.
Dan perjuangan mereka tidaklah sia-sia. Didalam tahun-tahun 80-an itu
begitu ramai dari kalangan orang-orang UMNO di rancangan-rancangan Felda yang
keluar dari UMNO dan menyertai Parti Pembangkang yang bergerak di
rancangan-rancangan Felda khususnya PAS. Cawangan-cawangan PAS tumbuh
seperti kulat tahun (cendawan busut).
Kalau keadaan ini berterusan maka Felda akan menjadi kubu kuat PAS dan UMNO
tidak lagi boleh bertapak di rancangan-rancangan Felda.
Pada tahun 1985, En Ghafar Baba selaku Menteri Luar Bandar yang bertanggunjawab
kepada Felda membuat pengumuman penting bahawa Felda bersetuju memberikan geran
tanah kepada peneroka-peneroka secara individu, dan gerakan politik
peneroka-peneroka buat kali pertamanya secara teorinya dibebaskan. Tetapi
secara praktikalnya gerakan parti-parti pembangkan di dalam rancangan-rancangan
Felda masih dikekang, namun, bagi peneroka-peneroka yang sedar, mereka
mengambil peluang diatas kelonggaran yang minima ini dan PAS berjaya menubuhkan
cawangan-cawangannya di hampir kesemua rancangan Felda di Semenanjung.
Harga komoditi sawit dan getah menjadi semakin baik, dan didalam tahun-tahun
selepas 90-an, pendapatan peneroka sudah menjadi semakin baik; bahkan
pendapatan bulanan peneroka-peneroka boleh mencecah hingga melebihi RM5,000.00
sebulan jika mereka menjayakan kebun-kebun mereka bersendirian dan tidak lagi
bersandar kepada Felda. Ada
peneroka-peneroka boleh mendapat pendapatan mencecah RM15,000.00 sebulan semasa
harga sawit memuncak khususnya semasa PRU-12.
Tetapi Felda mengawal pendapatan peneroka-peneroka yang menanam semula melalui
Felda dengan hanya RM1500.00 sebulan (gross) dan dengan pendapatan yang tidak
begitu besar itu mereka juga dikenakan pelbagai hutang dan ada diantara
peneroka-peneroka yang sudah menanggung hutang melebihi RM150,000.00 dan
kebanyakan peneroka-peneroka menanggung hutang tidak kurang dari RM70,000.00,
dan hutang mereka sentiasa bertambah. Ini berbeza dengan
peneroka-peneroka yang tanam sendiri, bukan sahaja pendapatan mereka tinggi,
bahkan mereka tidak menanggung sebarang hutang.
Felda cuba menghalang peneroka-peneroka dari menanam sendiri dan mengenakan
pelbagai halangan seperti menafikan kepada mereka imbuhan-imbuhan tahunan
seperti duit raya, duit tahun baru, bahkan ada diantara pengurus-pengurus Felda
enggan menandatangani surat kebenaran nikah kepada anak-anak peneroka yang
tanam semula bersendirian, satu ajaran Islam yang sangat sesat yang mereka
amalkan!
Felda dan Kilang-Kilang Felda juga memanipulasikan peratusan perahan KPG dengan
memberikan perahan yang sangat rendah seperti 17%-19% walhal perahan sebenar
boleh melebihi 25% untuk penanam-penanam sawit dan membawa kerugian pendapatan
kepada peneroka-peneroka hingga mencecah RM400,000.00 dalam tempoh pengeluaran
hasil selama 15 tahun, dan kini isu ini sedang ditangani oleh peneroka-peneroka
dengan memfailkan saman di Mahkamah-Mahkamah Tinggi di negara ini.
Isu gred getah kering (KGK) bagi penanam-penanam getah masih dibuat kajian
untuk peneroka-peneroka getah memulakan tindakan saman terhadap Felda dan
kilang-kilang getah Felda.
Pakatan Rakyat sudah pun mengumumkan bahawa tanah Felda Plantation seluas 850,000
ekar di seluruh Negara akan dimansuhkan apabila PR memenangi PRU-13 dan
tanah-tanah itu akan dibahagi-bahagikan kepada generasi kedua/ketiga peneroka
Felda; menjadikan buntut UMNO dan Felda hangat tak tentu keruan, dan bagi
menggagalkan usaha PR ini, UMNO dan Felda membuat suatu perancangan lain agar
tanah itu tidak dibahagi-bahagikan kepada anak-anak dan cucu-cucu peneroka.
Mereka telah menganjurkan supaya tanah itu digadaikan kepada sebuah anak
syarikat Felda - Felda Global Venrtures (FGV) untuk menjadi aset kepada FGV
menempah tempat untuk disenaraikan di Bursa Saham Kuala Lumpur kononya untuk
memberikan pendapatan lumayan kepada peneroka-peneroka Felda.
Didalam bulan Jun 2012 FGV telah disenaraikan dan Felda Plantation telah
digadaikan selama 99 tahun. Untuk menutup mulut peneroka-peneroka, mereka
dibayar dengan "durian runtuh" sebanyak RM15,000.00 iaitu RM5000.00
untuk peneroka-peneroka, RM5000.00 untuk isteri atau isteri-isteri dan janda
peneroka, dan RM5000.00 lagi untuk anak-anak peneroka (yang menimbulkan
pelbagai masalah dikalangan keluarga peneroka).
UMNO dan Felda tidak ada program yang baik dan kredibel lagi dan untuk
menenangkan peneroka-peneroka mereka terpaksa mendapatkan sumber-sumber
kewangan walaupun dengan secara berhutang untuk menenangkan hati
peneroka-peneroka. Jalan yang paling senang untuk mereka ialah dengan
mengedarkan imbuhan-imbuhan kepada peneroka-peneroka menjadikan sistem rasuah
sebagai sistem yang dipilih oleh UMNO/FELDA.
Dengan tindakan UMNO/FELDA terus berhutang ini, kemudahan-kemudahan yang
dulunya dapat diberikan kepada peneroka-peneroka dan anak-anak peneroka kini
sudah dikurangkan, dan disamping itu beban hutang peneroka-peneroka bertambah.
Felda harus kembali kepada peranan asalnya iaitu membasmikan kemiskinan luar
bandar dan menstruktur masyarakat luar bandar menjadi masyarakat yang maju dan
berdaya saing jika Felda mahu menjadi agensi pembangunan dan mesra rakyat.
Dengan tindakan dan jalan yang diambil oleh Felda kini, Felda akan
menanggung risiko bebanan hutang yang tidak tertanggung olehnya dan akhirnya
membebankan peneroka-peneroka.
Masyarakat generasi kedua/ketiga di rancangan-rancangan Felda kini adalah
golongan yang besar yang menganggur atau mempunyai pendapatan yang kecil dan
menjadikan kelompok terbesar di negara ini berada di bawah kemiskinan tegar,
dan mereka itu sedang berhadapan dengan risiko tidak mempunyai tempat tinggal
dan hilang punca pendapatan apabila ibu/ayah mereka meninggal dunia, dan tanah
di rancangan-rancanan Felda hanya boleh diwariskan kepada hanya seorang sahaja
anak-anak peneroka-peneroka Felda. Apa akan jadi kepada yang lain-lain?
Apa pula akan terjadi kepada cucu-cucu peneroka yang kini turut menumpang
di rumah peneroka-peneroka asal? Masa depan yang sangat gelap untuk
mereka melainkan mereka ini diperjuangkan hak mereka untuk mendapatkan tanah,
hak mereka untuk meneroka bidang kemahiran, perniagaan dan sebagainya.
Setakat ini bidang-bidang ini hanya indah khabar dari rupa; pergilah ke
mana-mana rancangan Felda hari ini, ratusan ribu golongan ini sedang menganggur
dan sedang merempit dan dihimpit pula dengan gejala pengambilan dadah.
Ini semua silap UMNO dan Felda kerana tidak ada perancangan untuk golongan muda
didalam rancangan-rancangan Felda.
Keadaan ini boleh kita ubah dengan syarat UMNO tidak lagi memerintah Negara
ini, dan PRU-13 ini adalah cabaran untuk perubahan bagi generasi kedua dan
ketiga didalam rancangan-rancangan Felda.
(Penulis Haji Suhaimi Said adalah pelopor perjuangan peneroka Felda dan telah
meringkup dua kali di bawah ISA kerana perjuangan itu. Hidup perjuangan
peneroka Felda)