Sabtu, April 01, 2017

FELDA SELEPAS 100 HARI

Oleh MatRodi

Apabila Felda mempunyai pengerusi baru pada 6 Januari awal tahun ini, ramai yang merasakan jawatan tersebut sewajarnya diberikan kepada seorang professional ataupun teknokrat.
Saya juga tidak terkecuali berpendapat sedemikian walaupun Tan Sri Shahri Abdul Samad adalah seorang mentor dan rakan.
Saya akui analisa dan ulasan ini mungkin akan dianggap sedikit bias.
Walaupun begitu, menjadi seorang rakan yang mengikuti perjalanan beliau sepanjang di Felda memberikan satu perspektif lain dalam menganalisa Felda.
Kemungkinan, terdapat juga beberapa perkara yang tidak boleh dikongsikan kepada umum.
Akan tetapi saya cuba memberi penilaian seobjektif yang mungkin.
Secara amnya, Felda mempunyai 4 isu utama yang memerlukan perhatian segera.
1)Isu pertama adalah pelaburan ke dalam PT Eagle High.
2) Isu kedua adalah isu kelangsungan modal.
3) Isu ketiga adalah struktur tadbir urus dan governans.
4) Dan isu keempat adalah perumahan.
Dalam isu pelaburan Felda ke dalam PT Eagle High, antara kritikan terbesar adalah jumlah pembayaran yang dikatakan terlalu tinggi.
Ramai yang mempersoalkan kewajaran Felda membayar pada harga tersebut tetapi tidak memiliki ‘controlling stake’.
Walaupun Felda membayar pada harga 30% lebih murah berbanding harga asal yang ditawarkan kepada FGV dan penilaian harga ini berdasarkan nilai ‘enterprise’ per hektar yang lebih tepat, apa yang lebih mustahak adalah apakah yang dirundingkan oleh pengerusi baru untuk menjadikan pelaburan tersebut lebih menguntungkan.
Antara perkara yang dirundingkan adalah pembayaran dividen selepas 6 bulan dari tarikh penbelian daripada Rajawali.
Hal ini berdasarkan prestasi hebat kumpulan Rajawali. Oleh itu, ia permintaan yang adil. Dan sedikit sebanyak ia boleh mengubah persepsi pengkritik.
Terdapat juga beberapa klausa yang memagari (ring-fenced) pelaburan Felda yang mana sekiranya beberapa syarat tidak dipenuhi, Felda akan mendapat sesuatu. Ini secara langsung mengurangkan lagi risiko pelaburan Felda.
Yang jelas, pelaburan ini adalah pelaburan yang strategik kerana ia bukannya berkaitan hasil ladang kelapa sawit semata-mata bahkan ia melangkaui kepada pendapatan berterusan Felda.
Nantikan pengumuman perkara ini tidak berapa lagi.
Dalam isu kedua, kekurangan pendapatan Felda berlaku bukanlah akibat salah laku dan urus tadbir semata-mata.
Punca utama adalah apabila Felda ‘melepaskan’ sumber pendapatan utama mereka kepada FGV.
Pada masa yang sama tuntutan perbelanjaan sosial Felda saban tahun makin meningkat.
Lebih 70% perbelanjaan digunakan untuk perkara-perkara yang bukanlah bersifat komersil seperti pemberian subsidi, fasiliti pinjaman, bantuan hidup, infrastruktur dan banyak lagi.
Akibatnya, Felda mengalami defisit sebanyak RM700 juta ke RM1.1 billion setiap tahun.
Jika ahli perniagaan memegang Felda, kemungkinan besar beliau akan terus melaksanakan langkah pemotongan perbelanjaan kerana itulah syarat untuk membaik pulih sesebuah syarikat yang tenat.
Tetapi bolehkah Felda atau khususnya peneroka Felda menerima perkara sedemikian?
Jangan lupa, Felda mempunyai hubung kait rapat dengan keadaan politik di negara dan sudah pasti kepada parti pemerintah.
Hakikat bahawa parti politik lawan juga menjadikan Felda sebagai isu nasional juga menjelaskan dividen politik dalam memenangi hati peneroka Felda.
Mereka yang naif atau terlalu obses dengan nombor sudah pasti akan mengambil langkah memotong perbelanjaan kerana ia adalah langkah yang tepat.
Penganalisis akan gembira, peneroka mungkin berduka.
Tetapi seorang ahli politik lebih celik akan hal ini dan beliau akan mencari jalan yang mungkin kurang digemari untuk penganalisis, tetapi langkah tersebut adalah mesra pengundi (baca: peneroka).
(Sekadar perbandingan, kita boleh rujuk kisah ‘turn around’ Malaysia Airlines yang memberhentikan 6,000 pekerja.)
Oleh itu, Pengerusi Felda membuat keputusan untuk menjual hartanah di luar negara walaupun ada sesetengah hartanah memberikan pulangan yang agak bagus.
Langkah ini samalah seperti menjual sedikit pegangan Felda dalam Maybank.
Adakah penganalisis dan pasaran mengkritik langkah ini? Ya.
Adakah peneroka dan staff Felda terkesan dengan urus niaga tersebut? Tidak.
Namun begitu, langkah ini masih bersifat sementara dan tidak menyelesaikan isu asas iaitu pendapatan berterusan.
Bagi menyelesaikan masalah ini, Felda sedang melakukan satu urusan (corporate maneuver) untuk kembali ke bidang perniagaan yang mereka terbukti kepakarannya iaitu- perladangan.
Lebih 1,000 hektar tanah kelapa sawit akan diperolehi dan sama ada ia adalah kawasan dalam negara atau luar Negara sama-samalah kita nantikan.
Secara tuntasnya, ia memberikan Felda sumber pendapatan yang berterusan.
Dalam isu ketiga iaitu tadbir urus dan governans, kita akui ia adalah perkara yang menyebabkan persepsi buruk terhadap Felda.
Lebih mengeruhkan keadaan lagi apabila ramai yang gagal membezakan Felda dan FGV meskipun kedua-duanya adalah entiti yang berbeza.
Apa yang menjadi kerugian FGV, disalahkan kepada Felda.
Apa yang menyebabkan kerugian Felda, menjadikan harga saham FGV jatuh.
Langkah mempunyai dua individu yang berbeza menjadi pengerusi Felda dan FGV adalah langkah yang sedikit sebanyak boleh membetulkan persepsi tersebut.
Tetapi masih tidak cukup.
Masih terdapat beberapa masalah governans utama yang membelengu Felda.
Antaranya adalah struktur ‘check and balance’ di antara HQ, Rancangan, Wilayah dan Peneroka.
Bagaimana aduan dari peneroka akan benar-benar sampai ke HQ? Adakah arahan HQ akan dijalankan oleh Wilayah?
Bagi memperbaiki perkara ini, sebuah unit naziran ditubuhkan khas bagi melihat, membantu dan memantau segala isu berkaitan peneroka khususnya pengurusan kebun/ladang.
Kini peneroka boleh terus melaporkan kepada nazir yang dilantik tanpa perlu melalui proses saluran rasmi yang mungkin mengambil masa terlalu lama.
Unit naziran akan bertindak dalam masa kurang 48 jam kerana dunia hari ini bersifat segera. Musibah hari esok sudah menjadi berita pada hari ini.
Secara tidak langsung, unit ini berupaya menjadi ‘check and balance’ kepada peneroka dan juga Felda.
Seterusnya, langkah menerapkan tadbir urus yang bagus kepada Felda Investment Corporation (FIC) bermula dengan arahan Pengerusi Felda baru kepada ahli lembaga pengarah FIC supaya meletakkan jawatan.
Pada masa yang sama siasatan dan tangkapan SPRM kepada bekas pengarah besar dan beberapa pegawai kanan Felda dan FIC tidak diganggu malah diberikan kerjasama penuh.
Tidak lama lagi, FIC akan mempunyai ahli lembaga pengarah yang baru.
Dalam memastikan FIC menjadi sebuah unit pelaburan yang professional dan diyakini pasaran, tidak ada seorang pun ahli politik yang dilantik menjadi ahli lembaga pengarah FIC.
Bahkan Pengerusi Felda sendiri tidak akan menjadi pengerusi FIC demi amalan tadbir urus dan struktur governans yang bagus.
Ahli-ahli lembaga pengarah dipilih merangkumi pelbagai bidang seperti akauntan bertauliah, peguam, pakar pelaburan, pemain hartanah dan perbankan.
Lebih mengujakan adalah ahli lembaga pengarah termuda berumur lingkungan awal 40-an. Ini suatu perkara yang sihat.
Bolehkah kita membayangkan jika seorang professional yang dilantik mejadi pengerusi agensi kerajaan kemudiannya memecat ahli politik yang ada di situ dan kemudiannya tidak memilih seorang pun ahli politik dari parti yang asalnya meletakkan beliau menjadi pengerusi?
Ini sedikit sebanyak menjelaskan mengapa Felda berlainan dan hanya ahli politik berpengalaman sahaja mempunyai ‘political will’.
Isu terakhir adalah perumahan.
Perumahan adalah tanggungjawab semua. Ia bukanlah isu Felda semata-mata, bahkan sudah menjadi isu nasional.
Disebabkan itu, adalah penting bagi semua pihak, dari kerajaan negeri sehinggalah ke agensi kerajaan untuk sama-sama menyelesaikan isu ini.
Felda juga tidak boleh menjadi bodoh sombong dengan mengekalkan cara lama iaitu dengan membina ribuan unit rumah pada harga subsidi. Ia memerlukan inisiatif baru yang lebih jimat dan effisien.
Untuk itu, Felda telah berunding dengan agensi kerajaan seperti SPNB, bertemu menteri-menteri besar kerajaan negeri dan bercakap dengan pihak berkuasa negeri dalam memperkenalkan sebuah inisiatif perumahan baru.
Inisiatif ini melibatkan pemberian tanah oleh kerajaan negeri (dan juga tanah milik Felda) yang mana pihak berkuasa negeri akan membantu dan mempercepatkan urusan pertukaran status, pecah lot dan hal-hal melibatkan kelulusan.
Peneroka akan menerima lot tanah dan mereka akan diberikan pinjaman dan bantuan kewangan dari agensi kerajaan seperti SPNB untuk membina rumah mengikut spesifikasi dan bajet yang ditetapkan.
Felda pula akan membina kemudahan asas seperti jalan raya, api air dan infrastruktur kegunaan awam.
Inisiatif ini bukan sahaja lebih berhemah dari sudut kewangan tetapi menunjukkan kepada umum bahawa Felda adalah tanggungjawab bersama.
Projek sulung bagi inisiatif ini telah pun dilancarkan pada hujung Februari lepas di Keratong 5, Pahang dan lebih banyak lagi projek perumahan bakal menyusul.
*
Di akhirnya, saya tetap bersetuju syarikat GLC seharusnya dikepalai oleh mereka yang berkebolehan, kompeten dan dari golongan professional serta teknokrat.
Perkara ini ada meritnya kerana golongan ini dianggap bebas dari pengaruh politik dalam membuat keputusan.
Maka, sudah pastilah ia perkara yang bagus kerana bagi sesebuah organisasi yang mempunyai begitu banyak dana, kontrak dan tender, keputusan sesuatu perkara tidak boleh dibuat mengikut kepentingan politik pengerusi.
Namun, sebagaimana yang kita tahu melalui tangkapan SPRM ke atas pengerusi, CEO dan pegawai kanan syarikat, agensi kerajaan, bank serta kementerian, sebilangan golongan professional dan teknokrat juga mempunyai sikap dan perangai yang sama dengan sesetengah ahli politik iaitu mereka juga ada kepentingan peribadi yang tidak baik.
Oleh itu, kemungkinan pandangan popular ini perlu diberikan pemikiran semula ataupun tidak boleh dijadikan sebagai ‘general rule’ apabila kita bercakap mengenai lantikan ahli politik kepada mana-mana GLC.
Dalam kes Felda ia sedikit berlainan atas beberapa faktor.
Pertama, Felda bukanlah sebuah entiti perniagaan seperti GLC sebaliknya ia adalah sebuah agensi Persekutuan.
Gaji pengerusi hanyalah RM8,000 sebulan.
Namun sekadar menjadi sebuah agensi kerajaan tidak bermakna ahli politik wajib dilantik sebagai seorang pengerusi.
Sekali lagi dalam hal ini Felda berbeza.
Felda bukanlah sekadar sebuah agensi kerajaan yang memberikan servis urusan seharian tetapi Felda adalah sebuah entiti yang amat berkait rapat dengan sosio politik negara dan kelangsungan ekonomi bagi kaum majoriti di Malaysia.
Jatuh bangun Felda memberi kesan kepada ratusan ribu orang Melayu- baik ekonomi mahupun politik.
Oleh yang demikian, Felda memerlukan seorang pengerusi yang bukan setakat mementingkan ‘book balance’ dan ‘bottom line’ akaun sebaliknya seorang yang peka dan sensitif mengenai aspek kebajikan peneroka, politik parti pemerintah, sentiment masyarakat dan ‘strike the right balance’ di antara semua pihak berkepentingan.
Lebih penting, pengerusi itu haruslah berkebolehan ‘pull some strings’ dari pihak-pihak berkepentingan tersebut.
Saya berpendapat (walaupun mungkin ramai yang kurang setuju), kebanyakan ciri-ciri ini ada pada kebanyakan ahli politik yang berpengalaman.
Kita semua tahu ahli politik adalah seorang yang tidak akan memikirkan untung rugi semata-mata.
Mereka juga akan menjaga sentimen nasional, kepentingan kawasan mereka, sokongan di peti undi beliau dan juga agenda tertentu yang mereka perjuangkan.
Tidak kiralah ahli politik parti mana tetapi secara amnya, itulah karakter mereka.
Saya tidak pasti bagaimana prestasi ahli politik yang menjadi pengerusi di organisasi yang lain tetapi untuk Felda, inilah analisa saya sepanjang 100 hari agensi persekutuan ini menerima pengerusi baru.
Mat Rodi
(Penulis merupakan CEO hartabumi.my dan di masa lapang memberikan input berkenaan polisi dan bisnes. Antara klien beliau adalah syarikat ride-sharing app, syarikat penerbangan, agensi kerajaan dan ahli-ahli parlimen.
Beliau merupakan penulis buku ‘Saring Sebelum Mereng’, ‘TPPA Harimau’ dan penulis bersama bagi buku “Chedet: Apa Habaq Orang Muda?’ dengan YABhg Tun Dr Mahathir.)


Tiada ulasan:

Catat Ulasan