Sabtu, November 25, 2017

HUTANG PENEROKA PADA FELDA


Felda yakin peneroka selesai hutang dalam 20 tahun

The Malaysian Insight
SHAHRIR Samad yakin peneroka Felda akan berjaya menyelesaikan hutang tanam semula dengan agensi kerajaan itu selepas 20 tahun tanam semula dibuat.

Pengerusi Felda itu berkata tempoh itu sama dengan masa yang diperlukan oleh mereka untuk menyelesaikan hutang pertama dengan Felda, yang diambil dari Bank Dunia, iaitu 20 tahun selepas masuk ke tanah rancangan itu.

"Ya, hutang akan habis (dalam masa 20 tahun)," kata Shahrir dalam satu wawancara dengan The Malaysian Insight.

Beliau menjawab mengenai kerisauan peneroka Felda khasnya generasi kedua dan ketiga yang bimbang kedudukan hutang mereka dengan badan kerajaan itu selepas membuat tanaman semula mencecah puluhan dan ada ratusan ribu ringgit.

Shahrir berkata mengikut data yang ada pada Felda, hanya 114 peneroka saja mempunyai hutang besar lebih RM160,000 manakala kebanyakannya berhutang kurang RM60,000.

"Kategori inilah yang kita akan bantu melalui geran," katanya merujuk kepada geran RM60 juta yang diumumkan dalam Bajet 2018 baru-baru ini.

Shahrir berkata hanya 2,500 daripada lebih 112,000 keseluruhan peneroka tidak ada hutang dengan Felda.

Katanya, Felda menyediakan pinjaman tanam semula ini kerana tahu peneroka tidak boleh mendapatkan pinjaman dari institusi kewangan dengan mencagarkan tanah mereka untuk mendapatkan pinjaman tanam semula.

"Daripada segi sistem kita semua tahu tanah Felda terletak di bawah Akta GSA (Group Setlement Act) yang mana tanah mereka tidak boleh dicagarkan ke mana-mana institusi kewangan.

"Sebab itu Felda jadi macam bank yang memberikan pinjaman kepada peneroka," katanya menerangkan kenapa Felda sendiri jadi peminjam kepada peneroka untuk membolehkan mereka membuat tanam semula.

Shahrir berkata kerajaan sedar peneroka sekarang risau tentang hutang mereka dengan Felda.

"Sebab itu dalam Bajet 2018 baru-baru ini, kita peruntukkan RM60 juta dalam bentuk geran melalui MPOB (Malaysian Palm Oil Board) untuk membantu pengurangan hutang ini.

"Kita samakan peneroka ini dengan skim pekebun kecil dan layak menerima geran sehingga RM30,000 untuk mengurangkan hutang mereka," katanya.

Dengan cara itu, katanya peneroka yang hutang mereka terlalu besar dan sukar dilunaskan dalam masa 20 tahun yang ditetapkan akan dibantu.

Katanya, ada pelbagai sebab kenapa sesetengah peneroka banyak hutang dengan Felda berbanding dengan peneroka yang lain.

Antaranya kerana kedudukan ladang mereka yang tidak berapa baik, berbukit atau di dalam paya, menyebabkan proses tanam semula ini memakan masa lama dan menyebabkan kos tinggi.

"Ada juga peneroka yang terus mahu mendapatkan pendahuluan hasil walaupun ladang mereka sudah mengeluarkan hasil. Ini menyebabkan hutang mereka banyak," katanya.

Shahrir berkata hutang peneroka pada asasnya tiga iaitu kos tanam semula, pendahuluan sara hidup dan pendahuluan hasil.

Katanya, ramai peneroka dan khasnya anak mereka salah faham dengan pendahuluan sara hidup ini yang setengahnya beranggapan ia elaun sara hidup yang diberikan Felda, bukannya hutang.

"Kenapa Felda nak beri elaun kepada mereka. Mereka bukannya pekerja Felda. Ia pendahuluan iaitu pinjaman Felda untuk membantu mereka sebelum mendapat hasil selepas tanam semula," katanya.

Katanya, kos tanam semula ketika itu antara RM20,000 ke RM30,000 "tetapi sekarang kita jangka jumlahnya RM48,000 setiap peneroka". – 25 November, 2017.
.........................................

Felda sedia ke mahkamah, pertahan Perjanjian Tanam Semula

The Malaysian Insight
PENGERUSI Felda Shahrir Samad mempertahankan Perjanjian Tanam Semula yang dibuat oleh agensi itu dengan penerokanya dan sedia ke mahkamah untuk mempertahankan kepentingan pelaburannya.

"Saya mempertahankannya. Tidak ada apa yang salah dengan perjanjian itu.

"Saya sedia ke mahkamah untuk mempertahankannya jika ada yang saman," kata Shahrir, dalam wawancara dengan The Malaysian Insight.

Beliau berkata kalau dikatakan perjanjian itu berat sebelah, ia adalah kerana Felda yang mengeluarkan duit untuk membuat tanam semula itu.

"Felda kena jaga kepentingannya kerana mereka yang mengeluarkan duit itu," katanya dalam wawancara itu.

Shahrir mengulas dakwaan peneroka Felda, ahli keluarga, ahli politik dan peguam yang mengatakan perjanjian itu berat sebelah serta menimbulkan masalah kepada peneroka apabila mereka dibebankan dengan hutang yang banyak.

Ketika para peguam dan anak peneroka mahu menyeret Felda ke mahkamah, ahli politik Pakatan Harapan (PH) pula akan membawa isu itu ke 56 kawasan Parlimen yang boleh dipengaruhi oleh undi peneroka Felda.

Antara pemimpin PH yang mendapat sambutan baik dalam kalangan peneroka Felda ialah bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad.

Shahrir berkata sikap Dr Mahathir dalam mengendali isu Felda berbeza dengan kerajaan yang ada.

"Jika dia masih berkuasa, Felda ini mahu diswastakan sebagaimana dia swastakan Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan lain-lain.

"Namun kita tidak begitu, kita mahu menjalankan tugas yang diamanahkan sebagai kerajaan dan pelindung kepentingan peneroka," katanya.

Shahrir berkata perjanjian itu tidak ada percanggahan dengan apa yang dikehendaki oleh pengasas Felda, Abdul Razak Hussein dan juga Taib Andak dahulu.

"Felda adalah skim reformasi tanah yang terbaik dan pelbagai pihak cuba membawanya ke negara masing-masing.

"Cuma mereka gagal untuk melaksanakan di negara mereka kerana tidak ada political will (kesungguhan politik) sebagaimana kita," kata Shahrir.

Shahrir berkata Felda adalah satu kejayaan apabila Presiden Filipina Rodrigo Duterte dan tiga menteri Indonesia berjumpa beliau bagi membincangkan skim Felda di negara mereka.

Beliau bagaimanapun mengaku ada kelemahan sedikit sebanyak di sana-sini namun ia sedang diperbetulkan, antaranya dengan memperkemaskan pengurusan Felda bagi memastikan institusi kewangan sendiri yakin dengan kemampuan Felda.

Shahrir mengaku Felda ada hutang dan itu sebabnya kenapa ia menjual hotel yang dibelinya di Kensington, London.

Beliau merujuk kepada Park City Grand Plaza Kensington Hotel, yang dibeli oleh anak syarikatnya, Felda Investment Corporation (FIC).

Felda sebelum ini berkata ia menerima 54 tawaran untuk membeli hotel itu, yang diperolehnya pada 2014 dengan harga RM330 juta.

"Misalnya kita jual hotel kita di London. Ini kerana kita memang ada masalah hutang.

"Jadi kalau kita ada Ferrari, kenapa kita tidak jual kereta itu dulu sebelum membuat pinjaman dengan bank," katanya. – 25 November, 2017.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan