Injunksi: EGM Koperasi Felda esok batal
Wartawan Sinar Harian
January 4, 2012
SHAH ALAM - Mahkamah Tinggi Kuantan yang mendengar permohonan injunksi empat peneroka, hari ini memperakukan pembatalan mesyuarat agung khas (EGM) Koperasi Permodalan Felda (KPF), yang sepatutnya diadakan esok.
Perkara itu diumumkan selepas Hakim Datuk Mariana Yahya mendengar makluman peguam mewakili KPF dan Felda Global Ventures Holdings pagi ini.
Permohonan injunksi dibuat oleh para peneroka bagi menghalang EGM, yang dilihat ada kaitan dengan usaha menyenaraikan Felda Global Ventures Holdings di Bursa Malaysia pertengahan tahun ini.
Pengerusi Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak), Mazlan Aliman ketika dihubungi Sinar Harian Online menyifatkan perkembangan hari ini sebagai kejayaan bersejarah dan sungguh bermakna dalam perjuangan mereka membela peneroka Felda.
"Yang Arif Hakim (Mahkamah Tinggi) memperakukan pembatalan selepas mendengar hujah para peguam. Peguam yang mewakili KPF dan Felda Global Ventures Holdings memaklumkan mahkamah mengenai notis pembatalan EGM hari ini," katanya.
Mazlan berkata pihaknya menerima maklumat bahawa notis pembatalan EGM dikeluarkan selepas plaintif membuat permohonan injunksi bulan lalu.
Pada 23 Disember lalu, empat ahli KPF, Rosdi Ismail, Alias Ibrahim, Abdullah Mohamad dan Rakiah Sulong yang kesemuanya dari Felda Jengka 15, memfailkan saman pemula terhadap KPF dan Felda Global Ventures Holdings di Mahkamah Tinggi Temerloh.
Mereka memohon injunksi mahkamah bagi menghalang EGM KPF esok, penyenaraian saham FGVH dan pelupusan ekuiti KPF dalam Felda Holding.
Permohonan mereka difailkan menerusi peguam Mohamad Harris Abdullah.
Dalam pada itu Mohamad Harris berkata, pihaknya telah memutuskan untuk menarik balik permohonan mereka selepas KPF memutuskan untuk membatalkan EGM esok.
"Saya dengar keputusan KPF beberapa hari lalu, dan hari ini peguam pihak KPF memaklumkan (secara rasmi) di depan Hakim Datuk Mariana Yahya bahawa mesyuarat esok dibatalkan. Oleh kerana mesyuarat dibatalkan, kami pun memutuskan untuk menarik balik permohonan.
"Kami juga memaklumkan di mahkamah bahawa jika mesyuarat diteruskan, permohonan baru akan dibuat," katanya ketika dihubungi.
Justeru kata beliau, pihaknya menyifatkan perkembangan hari ini sebagai satu kemenangan moral kerana EGM dibatalkan ekoran permohonan empat peneroka bulan lalu.
"Ini satu kemenangan moral bagi kami, bagi peneroka," katanya lagi.
Bulan lalu, Mazlan berkata pihaknya sedang mempertimbangkan langkah mengambil tindakan injunksi mahkamah bagi menghalang EGM KPF, yang antara lain dijadual mahu membincangkan beberapa pindaan ke atas peraturan kecil termasuk dipercayai soal keahlian dan pelantikan pengerusinya.
Pelantikan pengerusi KPF baru-baru ini menjadi kontroversi. Anak mendakwa Pengerusi Felda Tan Sri Isa Samad tidak layak memegang jawatan pengerusi KPF.
Pelantikan itu kemudian dikaitkan dengan proses penyenaraian Felda.
Siri kontroversi itu ditambah dengan surat arahan bercuti sehingga Ogos 2012 dikeluarkan ke atas Pengarah Besar Felda Datuk Dzulkifli Abd Wahab, pegawai kanan yang dikatakan layak memegang jawatan berkenaan.
Malah Mazlan yang juga ahli jawatankuasa kerja Pas pusat berkata, tindakan mereka itu juga berkaitan dengan aduan yang telah dibuat kepada Suruhanjaya Koperasi Malaysia berkenaan pelantikan Isa sebagai Pengerusi KPF.
Sebelum ini persatuan itu mendakwa mempunyai bukti pelantikan Isa sebagai Pengerusi KPF adalah tidak sah.
Pada 25 Oktober lalu, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Ahmad Maslan dalam satu kenyataan di Dewan Rakyat memberitahu, Isa secara rasmi masih belum dilantik sebagai Pengerusi KPF.
Ahmad berkata pelantikan Isa sebagai Pengerusi KPF akan diputuskan oleh Lembaga Pengarah Felda mengikut undang-undang yang diperuntukkan dalam Akta Koperasi 1993 dan undang-undang kecil KPF.
10 ARTIKAL TERKINI
CARIAN BLOG INI
Khamis, Januari 05, 2012
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
kosong
Receive all updates via Facebook. Just Click the Like Button Below▼
▼
Powered By Blogger Widgets
kosong
Tiada ulasan:
Catat Ulasan