INI BLOG PENEROKA FELDA ADMIN HANYA MENYOKONG GERAKKAN ISLAM ALIRAN SUNNAH WAL JAMAAH SAHAJA

"Felda untuk Felda dan Generasinya"
Orang luar boleh masuk tapi di bawah kuasa Felda ..
Bukanya masuk untuk menguasai Felda.

“Dalam Isu FELDA
Berkaitan Ketidak Puasan Hati,
Komplen Dan Rungutan
Didalam Blog Ini
Ia Terlebih Dulu Telah Dibawa Berunding
Diperingkat Rancangan

SABUN MADU KELULUT.

10 ARTIKAL TERKINI

CARIAN BLOG INI

Sabtu, Oktober 20, 2012

AKTA ORANG ASAL ( ASLI )


Kelemahan & Cadangan Pindaan

Disediakan oleh Anthony Williams-Hunt (Bah Tony)
Untuk Bengkel Membincang Pindaan Akta 134
Port Dickson, 26-27 Februari 2005

Akta 134 adalah satu-satunya perundangan yang khusus bagi masyarakat Orang Asli.
Asas Akta 134 dilandaskan pada 'The Aboriginal Tribes Enactment 1939’ yang diumumkan melalui warta kerajaan Negeri-Negeri Melayu Bersekutu (FMS) dan juga melalui warta-warta Kerajaan Negeri Perak, Selangor, Negeri Sembilan dan Pahang dalam tahun 1939. Semenjak dikeluarkan pada 1954, Akta 134 telah pinda sebanyak tiga kali, ia itu dalam tahun 1958, tahun 1967 dan tahun 1974.
Dari segi tujuannya, Akta 134 dinyatakan sebagai suatu akta untuk mengadakan peruntukan bagi perlindungan, kesentosaan dan kemajuan Orang Asli di Semenanjung Malaysia (dalam Akta disebut Malaysia Barat).
Difahamkan bahawa JOA merujuk kepada Akta 134 dalam melaksanakan tugas-tugasnya.



Skop Akta 134
Perkara-perkara yang disentuhi oleh Akta 134 serta seksyen-seksyen yang berkaitan adalah seperti disenaraikan di bawah ini :-
 Perkara Seksyen
i) Takrif bagi Orang Asli

3
ii) Pentadbiran Orang Asli & Perlantikan Persuruhjaya Orang Asli & Timbalan-Timbalannya

4 & 5
iii) Tanah & Pampasan 6 - 13
iv) Larangan memasuki/berada di dalam kawasan/rizab Orang Asli & memindahkan orang yang tidak diingini dari kawasan/rizab Orang Asli 
14 & 15
v) Perlantikan ketua Orang Asli 16
vi) Hak Orang Asli terhadap pendidikan 17
vii) Larangan mengambil kanak-kanak Orang Asli sebagai anak angkat.
18
viii) Pentadbiran – kuasa Menteri membuat peruntukan-peruntukan bagi melaksanakan maksud-maksud akta ini. 
19
Seksyen 1 adalah seksyen tajuk ringkas dan pemakaian Akta 134 manakala seksyen 2 mengandungi tafsiran-tafsiran terhadap istilah-istilah yang digunakan dalam akta tersebut.

Kelemahan Akta 134 dan Perlunya Pindaan
Akta 134 sering dikritik sebagai suatu akta yang mempunyai banyak kelemahan. Antara kelemahan-kelemahan yang umum termasuklah (kelemahan-kelemahan spesifik terhadap seksyen-seksyen tertentu disenaraikan dibahagian yang berikut) :-
i) Akta 134 lebih bersifat mengawal Orang Asli – dari segi menentukan cara hidup, status dan masa depan Orang Asli.
ii) Tiada peruntukan bagi Orang Asli menentukan perihal mereka sendiri – ini berlawanan dengan deklarasi/konvesyen hak asasi manusia.
iii) Tiada peruntukan bagi mewajibkan pihak yang berwajib untuk bertindak, khususnya bagi maksud-maksud yang boleh mendatangkan manafaat kepada Orang Asli.
iv) Terdapat peruntukan-peruntukan yang membawa interpretasi bahawa Orang Asli adalah masyarakat yang statik dan anti pembangunan. Jesteru itu, kehadiran peruntukan-peruntukan tersebut menyukarkan perlaksanaan inisiatif bagi pembangunan Orang Asli.
v) Tidak mengambilkira kompleksiti-kompleksiti kedudukan, cara hidup Orang Asli dsbnya.
vi) Terdapat kekeliruan dari segi maksud dalam beberapa peruntukan. Juga, terdapat percanggahan diantara peruntukan-peruntukan dalam akta ini dengan peruntukan-peruntukan dalam akta-akta lain – ini mendatangkan masalah perlaksanaan.
Kelemahan-kelemahan ini telah menyukarkan penyempurnaan tujuan tujuan Akta 134 ia-itu memberi perlindungan, kesentosaan dan kemajuan Orang Asli.
Jesteru itu, Akta 134 hendaklah disemaksemula dan pindaan-pindaan yang sesuai dibuat. Keperluan pindaan tersebut semakin terdesak pada hari ini memandangkan  keupayaan Orang Asli untuk memelihara kepentingan-kepentingan mereka semakin tercabar akibat perkembangan-perkembangan yang berlaku di persekitaran mereka dan juga dalam negara. Disamping itu, pindaan tersebut juga diperlukan supaya perubahan-perubahan yang berlaku dalam masyarakat Orang Asli dapat diakomodasikan dan pencapaian kehendak-kehendak Orang Asli, khususnya dalam aspek pembangunan, dipermudahkan.
Harus ditegaskan di sini bahawa Akta 134 juga mengandungi peruntukan-peruntukan yang positif – yang menjadi masalah mungkinlah dari segi penguatkuasaannya oleh pihak yang berwajib. Semestinya, peruntukan-peruntukan ini perlu dikekalkan.
Dari segi maksudnya, pindaan ke atas sesuatu perundangan melibatkan perlaksanaan kesemua ataupun mana-mana tindakan-tindakan  berikut, ia itu :-
a) Memansuhkan sesuatu peruntukan;

b) Mengolah sesuatu peruntukan – tujuannya ialah untuk memberi maksud yang jelas / untuk mengambilkira perubahan yang berlaku dalam perkara yang bersangkutan dengan peruntukan tersebut;

c) Memasukkan sesuatu peruntukan baru.
Usaha mengkaji semula dan mencadangkan pindaan terhadap Akta 134 yang akan dilaksanakan ini hendaklah melibatkan ketiga-tiga tindakan-tindakan di atas.
Selain daripada melihat peruntukan-peruntukan yang sedia ada dalam Akta 134, demi liputan bicara yang komprehensif, elok sekiranya perhatian dijuruskan juga kepada perkara-perkara berikut :-
a) Skop Akta 134 – samada dikekalkan seperti yang sedia ada / dikurangkan /diper- luaskan (rujuk Fasal (8)(5)(c) Perlembagaan Malaysia (PM) – Perkara ini (sama rata di sisi undang-undang) tidak membatal atau melarang apa-apa peruntukan bagi perlindungan, kesentosaan atau kemajuan orang-orang asli Semenanjung Tanah Melayu (termasuk merezabkan tanah) atau merezabkan bagi orang asli jawatan-jawatan yang sesuai dalam perkhidmatan awam mengikut kadar yang berpatutan).

b) Kedudukan (termasuk kompleksiti-kompleksitinya) Orang Asli sekarang; kehendak Orang Asli sekarang dan masa depan (khususnya yang berkaitan dengan pembangunan mereka).

c) Konvensyen/Deklarasi antarabangsa mengenai hak-hak Orang Asal /Asli.

d) Deklarasi/ Piagam Hak Asasi Manusia Malaysia / Antarabangsa.

e) Peruntukan-peruntukan dalam PM dan undang-undang lain Negara, dan kedudukan Akta 134 dengan PM dan undang-undang lain Negara.

f) Cadangan pindaan JOA.

g) Deraf Cadangan Akta Perizapan Orang Asli.
Sebelum pindaan-pindaan yang dicadangkan diteliti, elok jika direnong seketika kata-kata dalam penutup kepada artikel berjudul 'Pemindaan Akta 134 dan Persoalan Perubahan Sosio-Ekonomi Orang Asli’ yang ditulis oleh Dr. Kamurddin M Said, yang boleh dikira sebagai menyatakan secara tepat dan padat halatuju yang perlu diambil dalam sebarang usaha meminda Akta 134;
'Demi menjamin proses pembangunan yang berkesan untuk Orang Asli, pada pandangan saya, tidaklah memadai jika Akta 134 ini dipinda secara kosmetik. Akta ini perlu dirombak kerana kesemua kandungannya digubal dalam satu zaman yang melihat kewujudan Orang Asli menerusi satu paradigma yang kini telah usang. Akta yang baru perlu melihat isu kemunduran dan kemiskinan Orang Asli menerusi satu paradigma baru yang berteraskan konsep perkongsian hasil kekayaan negara, selaras dengan hasrat yang termaktub dalam Wawasan 2020’.
Semoga bengkel ini dapat menjurus arah bicaranya kehalatuju tersebut.

Pindaan-pindaan yang dicadangkan
Perhatian : Cadangan-cadangan yang dikemukkan ini bukanlah 'exhaustive’ tetapi lebih tertumpu kepada memperbetulkan kelemahan-kelemahan yang terdapat pada peruntukan-peruntukan yang sedia ada. Saya jangka banyak lagi cadangan-cadangan yang akan lahir dari bengkel ini terutamanya bagi peruntukan-peruntukan baru yang ingin dimasukkan untuk maksud memudahkan pencapaian tujuan Akta ini.


Seksyen (2) - Tafsiran 'kumpulan bangsa Orang Asli.
Kelemahan
Tidak disebutkan / disenaraikan kumpulan-kumpulan rumpun bangsa tersebut.
Implikasi
Sukar diketahui kumpulan-kumpulan rumpun bangsa mana yang tergolong dalam kumpulan-kumpulan rumpun bangsa Orang Asli di sisi undang-undang.
Cadangan Pindaan
Kumpulan rumpun bangsa Orang Asli ertinya satu daripada rumpun-rumpun bangsa Orang Asli berikut :-
i) Bateq
ii) Jahai
iii) Mendriq
iv) Kensiu
v) Kintaq
vi) Temiar
vii) Semai
viii) Mah Meri/Belandas
ix) Jahut
x) Che Wong
xi) Temoq
xii) Lanoh
xiii) Semaq Beri
xiv) Temuan
xv) Jakun
xvi) Semelai
xvii) Orang Kanaq
xviii) Orang Laut atau
xix) Orang Seletar

Seksyen (3)(1) - Takrif bagi Orang Asli.
Kelemahan
Tekanan diberi kepada cara hidup, adat resam, dan bahasa.
Implikasi    
Terdapat Orang Asli yang tidak mengamalkan cara hidup (definasi?) dan adat Orang Asli. Ada juga Orang Asli tidak boleh bertutur dalam bahasa Orang Asli ibundanya (selalu berlaku dalam keluarga perkahwinan campur). Berdasarkan takrif yang sedia ada, mereka ini bukan Orang Asli.
Cadangan Pindaan
Orang Asli ialah :-
a) mana-mana orang yang merupakan anggota dari mana-mana kumpulan rumpun bangsa Orang Asli;

b) mana-mana orang yang merupakan hasil perkahwinan diantara mana-mana kumpulan rumpun bangsa Orang Asli;

c) mana-mana orang dari apa-apa kaum yang diambil sebagai anak angkat semasa masih kanak-kanak oleh Orang Asli dan terus dididik oleh Orang Asli tersebut sehingga dewasa dan menggangap dirinya sebagai Orang Asli; atau

d) mana-mana orang yang merupakan hasil perkahwinan diantara seorang Orang Asli dan seorang dari mana-mana kaum lain.
Seksyen (3)(2) dimansuhkan sebab tidak lagi relevan bagi takrif yang dicadangakan.
Seksyen (3)(3) dipinda seperti berikut:
Apa-apa soal sama ada seseorang itu adalah Orang Asli atau pun bukan Orang Asli hendaklah diputuskan oleh 2/3 (?) majoriti anggota masyarakat Orang Asli yang bersangkutan dengan tuntutan seseorang itu sebagai Orang Asli, dan disahkan oleh Menteri.    
Penggunaan 'a/k’ bagi Orang Asli?

Seksyen (4) – Pentadbiran, kebajikan dan pembangunan Orang Asli.
Kelemahan
i)  Kebajikan dan kemajuan Orang Asli seolah-olah hak ekskusif  Pesuruhjaya Orang Asli (POA)

ii) Di bawah proviso kepada seksyen tersebut hanya ketua Orang Asli sahaja disebut.
Implikasi
i) Mempertanggungjawabkan kebajikan dan kemajuan Orang Asli kepada JOA sahaja adalah sesuatu yang tidak munasabah memandangkan jabatan ini mempunyai batasan-batasan tertentu untuk melaksanakan tanggungjawab tersebut (khususnya dalam bidang pembangunan) dengan jayanya. Disamping itu, kehadiran peruntukan ini boleh digunakan oleh jabatan atau ajensi pembangunan Kerajaan lain sebagai alasan untuk tidak menyalurkan pembangunan kepada Orang Asli.

ii) Perihal mengenai adat dan kepercayaan Orang Asli bukan sahaja dikawal dan dijalankan oleh ketua Orang Asli tetapi ia juga menjadi tanggungjawab bomoh, pawang, dukun, lembaga adat Orang Asli dsbnya.
Cadangan Pindaan
Proviso kepada seksyen (4) dipinda seperti berikut :-
Dengan syarat bahawa tiada apa-apa jua dalam seksyen ini boleh disifatkan sebagai menghalang mana-mana ketua, bomoh, pawang, dukun, lembaga adat Orang Asli…….. dari menjalankan ………
    
Dimasukkan sebagai seksyen 4A
Pesuruhjaya dan lain-lain ajensi Kerajaan yang terlibat hendaklah bertanggungjawab bagi membangunkan Orang Asli:
Dengan syarat bahawa tiada apa-apa jua dalam seksyen ini boleh disifatkan sebagai menghalang mana-mana individu Orang Asli atau organisasi Orang Asli termasuk organisasi-organisasi yang ditubuhkan bagi maksud sosial atau perniagaan, untuk menjalankan usaha bagi membangunkan Orang Asli, samada secara sendiri atau secara usahasama dengan pihak lain.

Seksyen (5) – Perlantikan Pesuruhjaya Orang Asli, Timbalan-Timbalannya dan lain-lain pegawai
Kelemahan
Perlantikan kejawatan-jawatan tersebut terbuka kepada semua kaum dan tidak terdapat jaminan bahawa Orang Asli boleh memenuhi jawatan-jawatan itu.
Implikasi
Orang Asli yang mempunyai berkelulusan yang sesuai dan berminat boleh dinafikan peluang untuk memenuhi jawatan-jawatan tersebut. Kesan yang boleh lahir daripada kedaaan ini adalah jawatan-jawatan tersebut dipenuhi oleh bukan Orang Asli (sesuatu yang tidak sepatutnya berlaku sebab tunggak tanggungjawab perihal kebajikan, pembangunan dsbnya sesuatu kaum itu biarlah dipikul oleh kaumnya sendiri, dalam konteks ini Orang Asli, atas sebab-sebab seperti Orang Asli lebih memahami citarasa masyarakatnya sendiri, tidak ada masalah komunikasi dsbnya.).
Cadangan Pindaan
Dimasukkan sebagai seksyen kecil (1A)
Keutamaan untuk mengisi jawatan-jawatan yang dinyatakan di bawah seksyen kecil 1 hendaklah diberi kepada Orang Asli…..
Istilah Pesuruhjaya dipinda kepada Pengarah Hal Ehwal Orang Asli?. Sekiranya dipinda, takrif istilah tersebut di bawah seksyen (2) hendaklah dipinda juga.

Seksyen (6) – Kawasan Orang Asli.
Kelemahan
i) Seksyen kecil (1) – (a) perkataan 'boleh’ bermakna peruntukan tersebut bersifat membenar dan bukan mewajib; (b) kawasan yang hendak diisytiharkan itu ditentukan oleh Pihakberkuasa Negeri (PBN); Orang Asli seolah-olah tidak ada peranan dalam hal tersebut.

ii) Seksyen kecil (2) (iii) dan (iv) – hak membenarkan urusan-urusan yang disebut dalam seksyen kecil ini dipegang oleh POA; Orang Asli tidak mempunyai suara dalam perkara tersebut.

iii) Seksyen kecil  (3) – kawasan Orang Asli boleh dibatalkan dengan mudah oleh PBN.
Implikasi
i) Seksyen kecil (1) - (a) PBN boleh memilih untuk tidak membuat pengisytiharan kawasan Orang Asli; (b) boleh terjadi sebahagian daripada kawasan yang diduduki oleh Orang Asli terkeluar daripada pengisytiharan kawasan Orang Asli, dan jesteru itu, kawasan tersebut tidak mempunyai apa-apa perlindungan di bawah seksyen (6).

ii) Seksyen kecil (2) (iii) dan (iv) – hak/kepentingan Orang Asli dalam kawasan-kawasan berkenaan boleh diketepikan.

iii) Seksyen kecil (3) – perlindungan ke atas kawasan Orang Asli boleh ditarikbalik bila-bila masa dan akibatnya Orang Asli boleh hilang segala yang terdapat dalam kawasan itu termasuk usaha pembangunan yang telah dijalankan.
Cadangan Pindaan
Cadangan-cadangan pindaan bagi seksyen (6) hendaklah disesuaikan dengan peruntukan-peruntukan yang dimuatkan dalam Deraf Cadangan Akta Perizaban Orang Asli yang  akan dikemukakan oleh POASM ke pihak Kerajaan. Namun, bagi pindaan Akta 134 kali ini, dicadangkan bahawa pindaan-pindaan berikut dibuat ke atas seksyen tersebut :-
i) Seksyen kecil (1) – (a) perkataan 'boleh’ digantikan dengan hendaklah; (b) dimasukkan selepas perkataan 'Orang Asli’ perkataan-perkataan yang mana ditentukan setelah berunding dengan Orang Asli bagi pihak siapa pengisytiharan itu dibuat’……….
ii) Seksyen kecil (2) (iii) dan (iv) – dimasukkan selepas perkataan 'Pesuruhjaya’ perkataan-perkataan dan Orang Asli yang mempunyai kepentingan dalam kawasan tersebut.
iii) Seksyen kecil (3) – dimasukkan selepas perkataan 'seksyen kecil 1’ perkataan-perkataan  dengan syarat kawasan yang dibatalkan itu digantikan dengan kawasan baru yang mempunyai keluasan dan nilai yang sama.

Seksyen (7) – Rizab Orang Asli
Kelemahan
i)Seksyen kecil (1) – (a) perkataan 'boleh’ bermakna peruntukan tersebut bersifat membenark dan bukan mewajib; (b) 'tinggal kekal’ dijadikan sebagai kelayakan bagi pengisytiharan rezab, namun tidak disebut bagaimana dan siapa yang menentukan perkara ini.

ii) Seksyen kecil (2)(v) – halangan pemberian TOL dalam rizab Orang Asli, tetapi tidak disebut kepada siapa.

iii) Seksyen kecil (3) – perlindungan ka atas rizab Orang Asli boleh dibatalkan dengan mudah oleh PBN. Ini sebenarnya bercanggah dengan Fasal (85)(5) (a) & (b) Perlembagaan Malaysia (PM) sebab, rizab Orang Asli adalah tanah Persekutuan, yangmana pembatalannya hanya boleh dilakukan dengan persetujuan Kerajaan Persekutuan.
Implikasi
i)Seksyen kecil (1) – (a) PBN boleh memilih untuk tidak membuat pengisytiharan rezab Orang Asli; (b) kuasa menentukan kelayakan 'tinggal kekal’ boleh dibacakan dalam seksyen kecil ini sebagaikan terletak pada pihak PBN dan tidak pada Orang Asli. Ini boleh melahirkan masalah kesilapan ataupun salahguna tafsiran kelayakan tersebut, lantaran menjejaskan kelayakan kawasan / tempat tersebut untuk dijadikan sebagai rizab Orang Asli.

ii) Seksyen kecil (2)(v) – halangan tersebut boleh dikenakan juga pada Orang Asli.

iii) Seksyen kecil (3) – sama seperti kawasan Orang Asli, perlindungan ke atas rizab Orang Asli bukan merupakan sesuatu yang mutlak tetapi boleh ditarik balik bila-bila masa, jesteru itu Orang Asli boleh kehilangan tanah dan segala-segala yang terdapat dalam rizab itu. Bagaimanapun, atas sebab seksyen kecil ini adalah tidak sah kerana bercanggah dengan Fasal (85)(5) (a) & (b) PM, penguatkuasaannya tidaklah mudah seperti yang diperuntukkan tetapi hanya selepas syarat-syarat pembatalan rizab Persekutuan dipenuhi.
Cadangan Pindaan
Cadangan-cadangan pindaan bagi seksyen (7) hendaklah juga dipadankan dengan peruntukan-peruntukan yang terdapat dalam Deraf Cadangan Akta Perizapan Orang Asli. Pindaan-pindaan yang dicadangkan adalah seperti berikut;-
i) Seksyen kecil (1) - (a) perkataan 'boleh’ digantikan dengan hendaklah; (b) syarat (i) diubah seperti berikut tempat dan kawasan tersebut akan diduduki secara kekal oleh Orang Asli yang mempunyai kepentingan dalam tempat dan kawasan itu, sebagaimana ditentukan oleh mereka sendiri.

ii) Seksyen kecil (2) (v) – dimasukkan selepas perkataan-perkataan 'dengan tanah’ perkataan-perkataan melainkan kepada Orang Asli.
Di bawah seksyen kecil (2), dimasukkan juga sekatan-sekatan lain seperti yang terkandung di bawah seksyen 11 Deraf Cadangan Akta Perizapan Orang Asli.

iii) Seksyen kecil (3) – dimasukkan selepas perkataan-perkataan 'seksyen kecil 1’ perkataan-perkataan dengan syarat kelulusan Kerajaan Persekutuan telah diperolehi dan rizab yang dibatalkan itu digantikan dengan rizab baru yangmana keluasan tanah dan nilainya hendaklah tidak kurang daripada keluasan and nilai tanah dalam rizab yang telah batalkan itu.

Seksyen (8) – Hak-hak menduduki
Kelemahan
i) Seksyen kecil (1) – perkataan 'boleh’ merupakan peruntukan membenar dan bukan mewajib.

ii) Seksyen kecil (2) – hakmilik yang diberi hanyalah bersifat hakmilik seorang tenan ikut ehsan sahaja.

iii) Seksyen kecil (3) – tidak dinyatakan samada Orang Asli kepada siapa hakmilik atau pajakan yang diberikan itu mempunyai kepentingan dalam tanah tersebut.
Implikasi
i) Seksyen kecil (1) – (a) PBN boleh memilih untuk tidak memberi hak-hak menduduki tersebut.

ii) Seksyen kecil (2) – hak tersebut bukan merupakan sesuatu yang kekal – contoh, di bawah KTN tenansi yang dikecualikan daripada pendaftaran hanyalah untuk tempoh tiga tahun sahaja.

iii) Seksyen kecil (3) – hakmilik ataupun pajakan itu boleh diberi kepada Orang Asli yang tidak mempunyai kepentingan sedia ada dalam tanah tersebut.
Cadangan Pindaan
i) Seksyen kecil (1) – (a) perkataan 'boleh’ digantikan hendaklah.

ii) Seksyen kecil (2) – keseluruhan perenggan 'dan hendaklah disifatkan……………hak-milik seorang tenan ikut ihsan’ dimansuhkan.

iii) Seksyen kecil (3) – dimasukkan selepas perkataan 'asli’ perkataan-perkataan yang mempunyai kepentingan sediada dalam tanah tersebut.

Seksyen (9) – Transaksi mengenai tanah
Kelemahan
Seksyen ini mengelirukan. Ia seolah-olah membenarkan Orang Asli membuat transaksi-transaksi yang dinyatakan itu, dengan syarat persetujuan POA diperolehi, walaupun transaksi-transaksi ini adalah di bawah bidangkuasa Kanun Tanah Negara (KTN) dan dalam KTN POA tidak dinyatakan sebagai seorang yang mempunyai bidangkuasa dalam perkara tersebut. Jesteru itu, seksyen ini bercanggah dengan KTN. Mengapa ianya dimasukkan dalam Akta 134 barangkali adalah bagi tujuan mencegah, secara 'void abinitio’, kemungkinan Orang Asli melakukan urusan-urusan tanah yang tidah sah, ia itu uirusan-urusan yang tidak tercatat dalam daftar-daftar tanah negeri.
Implikasi
Boleh terjadi POA membenarkan transaksi-transaksi tersebut, dan jesteru itu, melanggar KTN.  Orang Asli yang terlibat boleh kehilangan kepentingan atau mengalami kerugian dalam transaksi-transaksi itu.
Cadangan Pindaan
Seksyen ini hendaklah diselaraskan dengan KTN. Jika Orang Asli memang dibenarkan menjalankan transaksi-transaksi itu, dengan syarat persetujuan POA diperolehi terlebih dahulu, maka, bagi tanah dalam mana satu kumpulan Orang Asli atau sebuah masyarakat Orang Asli mempunyai kepentingan, seksyen tersebut hendaklah dipinda dengan memasukkan selepas perkataan-perkataan 'dengan persetujuan Pesuruhjaya’ perkataan-perkataan dan sekiranya tanah tersebut adalah tanah dalam mana terdapat kepentingan satu kumpulan Orang Asli atau sebuah masyarakat Orang Asli, maka persetujuan 2/3 (?) majoriti anggota kumpulan atau masyarakat berkenaan hendaklah juga diperolehi, dan ………..tanpa persetujuan Pesuruhjaya, dan bagi tanah yang mengandungi kepentingan satu kumpulan Orang Asli atau sebuah masyarakat Orang Asli, juga tanpa persetujuan 2/3 majoriti anggota kumpulan atau masyarakat tersebut, adalah tak sah ……… (rationale memasukkan sekatan tambahan ini adalah untuk menyekatkan seseorang daripada bertindak sesuka sendiri  dan menepikan kepentingan-kepentingan orang-orang lain yang mempunyai kepentingan dalam tanah yang sama).

Seksyen (10) – Orang Asli tidak berkewajipan untuk meninggalkan
Rizab Orang Melayu, Rizab Hutan dll.
Kelemahan
Sesyen kecil (3) – (a) perkataan 'boleh’ dalam bahagian kedua seksyen kecil ini bermaksud peruntukan tersebut bersifat membenar dan bukan satu kemestian; (b) tidak dinyatakan  pengantian dengan kawasan baru secara spesifik dalam apa-apa peruntukan berbangkit; yang dinyatakan secara spesifik ialah pembayaran pampasan.
Implikasi
PBN boleh memilih untuk tidak membuat apa-apa peruntukan berbangkit, lantaran Orang Asli boleh terlepas daripada memperolehi sebarang pampasan dsbnya apabila diarah keluar daripada rizab-rizab berkenaan.
Dalam kebanyakan situasi, Orang Asli telah berada di kawasan-kawasan berkenaan sebelum rizab-rizab itu diisytiharkan. Oleh sebab pemberian kawasan baru tidak diperuntukan secara spesifik dalam seksyen kecil ini, PBN boleh memilih untuk tidak memberi Orang Asli kawasan tersebut, lantaran itu Orang Asli tidak mempunyai tempat untuk berpindah.
Cadangan Pindaan
i)    Perkataan 'boleh’ digantikan dengan hendaklah.

ii) Dimasukkan selepas perkataan 'pampasan’ perkataan-perkataan pemberian kawasan gantian yang mempunyai keluasan dan nilai tanah tidak kurang daripada keluasan dan nilai tanah di mana mereka duduki dalam kawasan tersebut.


Seksyen (11) – Pampasan apabila tanah Kerajaan yang di atasnya terdapat pokok buah-buahan atu pokok getah Orang Asli diberi milik.
Kelemahan
Pokok pertanian lain, dan juga pokok-pokok yang penting dalam kehidupan Orang Asli tidak dimasukkan.
Implikasi
Pampasan tidak boleh dituntut bagi pokok-pokok ini.
Cadangan Pindaan
Pokok buah-buahan dan pokok getah digantikan dengan tanaman pertanian serta tanaman-tanaman lain yang berguna dalam kehidupan Orang Asli, yang diusahakan oleh Orang Asli tersebut, dan apa jua usaha lain terhadap tanah…….


Seksyen (12) – Pampasan
Kelemahan
i)  Perkataan 'boleh’ tidak menjamin bahawa pemberian pampasan adalah sesuatu yang wajib.

ii) Hak menentukan samada pampasan boleh dibayar atau tidak dipegang secara esklusif oleh PBN; tidak dimasukkan sebarang peruntukan bagi penyelesaian apa-apa pertikaian yang berbangkit.

iii) Pampasan itu boleh dibayar kepada POA dan ditadbir mengikut cara-cara yang ditetapkan oleh Menteri; Orang Asli yang mempunyai hak ke atas pampasan itu tidak dilibatkan lansung.
Implikasi
PBN boleh memilih untuk tidak membayar pampasan tersebut. Ini bertentangan dengan Fasal (13)(2) PM – tiada sesuatu undang-undang pun boleh membuat peruntukan bagi mengambil atau mengunakan harta-harta dengan paksa dengan tiada pampasan yang mencukupi; lihat juga kes-kes Adong bin Kuwau, dan Sagong bin Tasi.
PBN boleh memilih untuk tidak membayar pampasan dan keputusan itu adalah muktamad. Walaupun seksyen ini tidak menyediakan peruntukan penyelesaian pertikaian, namun pada realitinya, Orang Asli boleh membawa pertikaian itu ke mahkamah – seperti dalam kes-kes Adong bin Kuwau, dan Sagong bin Tasi.
Orang Asli hilang kawalan atas pampasan tersebut; cara yang ditetapkan oleh Menteri bagi pentadbiran pampasan tersebut mungkin tidak menepati kehendak Orang Asli yang mempunyai hak terhadap pampasan itu.
Cadangan Pindaan
Seksyen (12) dipinda seperti berikut :-
Jika mana-mana tanah yang disingkirkan dari mana-mana kawasan Orang Asli atau rizab Orang Asli atau jika mana-mana tanah dalam kawasan Orang Asli diberimilik, diberi, dipajakkan bagi apa-apa maksud atau dilepaskan secara lain, atau jika apa-apa hak atau keistimewaan di dalam mana-mana kawasan Orang Asli atau rizab Orang Asli yang diberi kepada mana-mana Orang Asli atau masyarakat Orang Asli dibatalkan kesemuanya atau sebahagiannya, maka PBN hendaklah memberi pampasan berdasarkan nilai pasaran semasa baginya dan boleh membayar pampasan itu kepada orang-orang yang berhak kepadanya atau boleh, jika difkirkan patut, setelah mendapat persetujuan orang-orang yang berhak kepadanya, membayar pampasan itu kepada Pesuruhjaya untuk disimpan olehnya sebagai satu kumpulan wang am bagi orang-orang yang berhak kepadanya sebagaimana yang diarahkan oleh Menteri, dan untuk ditadbirkan mengikut apa-apa cara yang ditetapkan oleh Menteri setelah dipersetujui oleh orang-orang berhak kepada pampasan tersebut.

Seksyen (13) – Pengambilan paksa tanah untuk Orang Asli.
Dikekalkan seperti sedia ada.


Seksyen (14) – Orang-orang dilarang masuk atau berada dalam
kawasan dan rizab Orang Asli
Kelemahan
Seksyen kecil (14)(1) – hak untuk menentukan siapa orang atau golongan orang tersebut dipegang secara esklusif oleh Menteri; Orang Asli tidak ada peranan dalam perkara ini.
Implikasi
Menteri boleh melarang sesiapa (termasuk Orang Asli sendiri) bagi maksud seksyen ini, walaupun orang atau golongan orang itu penting bagi kebajikan Orang Asli di kawasan atau rizab tersebut. Kuasa ini boleh disalahgunakan, terutamanya bagi tujuan politik.
Dari dimensi lain, larangan itu seolah-olah menyekat kebebasan Orang Asli untuk menentukan sendiri dengan siapa mereka boleh dan ingin bergaul, sesuatu yang bertentangan dengan prinsip-prinsip hak asasi manusia.
Larangan tersebut juga boleh bercanggah dengan Fasal (9)(2) PM - kebebasan bergerak diseluruh Persekutuan.
Cadangan Pindaan
Dimasukkan selepas perkataan 'Jadual,’ perkatan-perkataan dengan syarat keputusan demikian ambil setelah rundingan dibuat dengan Orang Asli di kawasan Orang Asli atau rizab Orang Asli berkenaan atau di atas aduan ketua Orang Asli di tempat Orang Asli, kawasan Orang Asli atau rizab Orang Asli itu dibuat berdasarkan persetujuan 2/3 (?) majoriti anak buahnya.

Seksyen (15) – Memindahkan orang-orang tidak diingini.
Kelemahan
Seksyen kecil (15)(1) – hak menentukan perkara ini, termasuk siapa orang-orang itu dan sama ada aktiviti-aktiviti itu memudaratkan kebajikan Orang Asli terletak pada tangan Pesuruhjaya dan pegawai polis. Orang Asli tidak dilibatkan sama sekali.
Implikasi
Sama seperti implikasi seksyen kecil (14)(1), melainkan dalam konteks seksyen kecil ini, kuasa itu dipegang oleh Pesuruhjaya dan pegawai polis.
Cadangan Pindaan
Dimasukkan selepas perkataan-perkataan 'ia ditahan’ perkataan-perkataan dengan syarat tindakan-tindakan itu diambil setelah rundingan dibuat dengan Orang Asli tempat Orang Asli, kawasan Orang Asli atau rizab Orang Asli tersebut atau di atas aduan ketua Orang Asli di tempat Orang Asli, kawasan Orang Asli atau rizab Orang Asli itu, yang dibuat berdasarkan persetujuan 2/3 (?) majoriti anak buahnya.

Seksyen (16) – Ketua Orang Asli.
Kelemahan
Seksyen kecil (16)(2) – kuasa memecat dipegang sepenuhnya oleh Menteri; pandangan/persetujuan Orang Asli tidak diambilkira.
Implikasi
Boleh berlaku penyalahgunaan kuasa, terutamanya dalam kes dimana ketua Orang Asli itu, walaupun menjadi pilihan anak buahnya, bukan merupakan seorang yang disenangi oleh pihak Kerajaan.
Cadangan Pindaan
Dimasukkan selepas perkataan 'jawatannya’ perkataan-perkataan dengan syarat tindakan ini dituntut atau dipersetujui oleh 2/3 (?) majoriti anak buahnya.

Seksyen (17) – Orang Asli tidak boleh dihalang daripada
belajar dimana-mana sekolah.
Kelemahan
Seksyen kecil (17)(1) – tidak dimasukkan bantuan-bantuan atau kemudahan-kemudahan yang diperlukan bagi kejayaan dalam persekolahan.
Implikasi
Bantuan-bantuan atau kemudahan-kemudahan itu boleh tidak diberikan kepada kanak-kanak Orang Asli. Sekiranya ini berlaku, ia boleh menjejaskan kejayaan kanak-kanak itu memandangkan ramai ibubapa Orang Asli tidak mampu menampung perbelanjaan persekolahan anak-anak mereka.
Cadangan Pindaan
Dimasukkan selepas perkataan 'sekolah’ perkataan-perkataan dan mendapatkan apa-apa bantuan dan kemudahan termasuk biasiswa, bagi kejayaan dalam persekolahannya….

Seksyen (18) – Larangan mengambil kanak-kanak
Orang Asli sebagai anak angkat.
Dikekalkan seperti sedia ada. Bagaimanapun, sekiranya sekyen ini hendak dipinda, sekatan itu hendaklah dikenakan kepada bukan Orang Asli sahaja.
Seksyen (19) – Peraturan-peraturan bagi melaksanakan maksud-maksud Akta 134.
Cadangan-cadangan pindaan serta rationale-rationalenya adalah seperti berikut :-
(a) – dimasukkan selepas perkataan 'jenisnya’ perkataan-perkataan kemudahan prasarana dan pembangunan ekonominya. Rationale – untuk memastikan supaya pembangunan yang diberikan itu adalah komprehensif.

(b), (c), (f), (g), (i), (l), (n) – dimansuhkan. Rationale – peruntukan-peruntukan ini mengandungi unsur-unsur mengawal dan boleh menjejaskan usaha pembangunan Orang Asli. Bagi (n), Orang Asli lebih arif menentukan perkara tersebut.

(d), (k), (m) – dikekalkan seperti sedia ada.

(e) – dimasukkan selepas perkataan 'ini’ perkataan-perkataan dan cara-cara itu hendaklah diterima oleh jabatan-jabatan atau badan-badan Kerajaan lain yang mana bidang-bidang tugasan jabatan-jabatan atau badan-badan tersebut menyentuhi perkara ini. Rationale – untuk memastikan jabatan-jabatan atau badan-badan ini menerima cara-cara tersebut, lantaran itu kepentingan Orang Asli dalam perkara ini terjamin.

(j) – dimasukkan selepas perkataan 'pelajaran’ perkataan-perkatan termasuk pendidikan bahasa ibunda dan budaya Orang Asli….. Rationale – untuk memastikan  pengekalan bahasa dan budaya Orang Asli.

Seksyen kecil (2) – dipinda seperti berikut ;-
Tiada apa-apa peraturan boleh dibuat bagi maksud seksyen kecil (1) (a) melainkan Kerajaan Negeri di mana peraturan-peratuan itu akan berkuatkuasa telah dirundungi terlebih dahulu. Rationale – hanya seksyen kecil (1) (a) dikekalkan dimana proviso tersebut terpakai. Seksyen kecil-seksyen kecil yang lain dimansuhkan.
Cadangan peruntukan-peruntukan baru bagi seksyen kecil (19) (1).
(p) memastikan supaya semua maklumat mengenai tanah Orang Asli di tempat Orang Asli, kawasan Orang Asli atau rizab Orang Asli dimaklumkan kepada, (dan dimasukkan dalam rekod di ?), semua Pendaftar Tanah dan Pejabat Tanah. Rationale – untuk memastikan semua Pendaftar Tanah dan Pejabat Tanah tahu  mengenai kedudukan tanah Orang Asli dan jesteru itu, pelupusan tanah Orang Asli  ke pihak lain boleh di elakkan.

(q) memastikan bahawa, dimana terdapat sebarang aktiviti-aktiviti pengeluaran  hasil-mahsul tempat Orang Asli, kawasan Orang Asli atau rizab Orang Asli yang dijalankan oleh orang luar, Orang Asli tempatan mendapat ganjaran yang berpatutan daripada hasil aktiviti-aktiviti itu.

(r) Menubuhkan Badan Berkanun untuk menguruskan hal ehwal ekonomi Orang Asli ……..

(s) Menubuhkan Tabung Kebajikan dan Ekonomi Orang Asli……….
Menubuhkan Tabung Pendidikan Orang Asli…………….

(t) Menubuhkan Majlis Penasihat Orang Asli, diperingkat Kementerian atau diperingkat-peringkat Negeri dan Daerah…………
(u) Membuat satu dasar bahawa pembangunan Orang Asli adalah agenda bersama Kerajaan dan ajensi-ajensi dan bukan merupakan tanggungjawab POA semata-semata.

Beberapa cadangan peruntukan-peruntukan baru bagi Akta 134
i) Orang Asli mempunyai hak untuk menentukan sendiri haluan hidup, dan berdasarkan ini, mereka bebas untuk menentukan kedudukan dan pembangunan ekonomi, sosial dan budaya mereka.

ii) Orang Asli mempunyai hak untuk menyertai sepenuhnya dalam semua peringkat pembuatan keputusan dalam perkara yang boleh membawa kesan kepada hak-hak mereka, kehidupan dan masa depan mereka melalui perwakilan yang mereka pilih mengikut prosedur tradisi mereka.

iii) Tiada seseorang Orang Asli boleh dilarang daripada menyertai sepenuhnya dalam apa-apa aktiviti yang dilaksanakan oleh Kerajaan, ajensi-ajensinya dan/atau badan-badan lain bagi manafaat Orang Asli di tempat Orang Asli, kawasan Orang Asli, atau rizab Orang Asli dimana ia bermastautin dan/atau mempunyai kepentingan, sekiranya ia berpendapat aktiviti-aktiviti itu boleh memberi manafaat pada dirinya.

iv) Tiada seseorang Orang Asli boleh dihalang daripada menikmati apa-apa perkhidmatan, bantuan, kemudahan, faedah, peluang termasuk peluang untuk memiliki harta, atau sekim galakan …..yang diadakan oleh mana-mana jabatan, badan atau ajensi Kerajaan semata-mata sebab ianya seorang Orang Asli.

v) Dimana seseorang Orang Asli berkahwin dengan seseorang bukan Orang Asli, perkahwinan itu hendaklah didaftarkan di bawah undang-undang sivil atau undang-undang Islam, yang mana berkenaan. 
Cadangan Pindaan kepada Perlembagaan Malaysia.
Selain Akta 134, Perlembagaan Malaysia juga harus dipinda. Pindaan-pindaan yang dicadangkan adalah seperti berikut :-
i) Fasal 153 – dimasukkan selepas perkataan 'Melayu’ perkataan-perkataan Orang Asli. Rationale – untuk membolehkan Orang Asli juga menikmati keistimewaan-keistimewaan yang diperuntukan untuk Orang Melayu dan masyarakat pribumi di Sabah dan Sarawak.
ii) Fasal 160 (2) – digantikan istilah 'Orang Asli’ dengan yang berikut :
Orang Asli bererti –
a) mana-mana orang yang merupakan anggota dari mana-mana kumpulan rumpun bangsa berikut :-
ikut senarai rumpun-rumpun bangsa di bawah cadangan pindaan kepada seksyen (2) Akta 134 di atas.

b) mana-mana orang yang merupakan hasil perkahwinan diantara mana-mana kumpulan rumpun bangsa Orang Asli;

c) mana-mana orang dari apa-apa kaum yang diambil sebagai anak angkat semasa kanak-kanak oleh Orang Asli dan terus dididik oleh Orang Asli sehingga dewasa, dan orang itu menggangap dirinya sebagai Orang Asli; atau

d) mana-mana orang yang merupakan hasil perkahwinan diantara seorang Orang Asli dan seorang dari mana-mana kaum lain.
Rationale – definasi ini lebih komprehensif berbanding dengan definasi yang akan sekarang, disamping menyamakan dengan definasi di bawah Akta 134.
   
iii) Orang Asli dipindahkan dari Senarai (1) – Senarai Persekutuan ke Senarai (3) – Senarai Bersama, Jadual (9). Rationale – ini berkaitan dengan isu tanah Orang Asli. Dalam kedudukan sekarang, kebajikan Orang Asli diletakkan di bawah tanggungjawab Kerajaan Persekutuan, manakala tanah dikawal oleh Kerajaan Negeri. Kerajaan Negeri pula enggan  merizabkan tanah bagi Orang Asli atas alasan tanah itu akan menjadi tanah Persekutuan, dan jesteru itu, akan hilang kawalan ke atas tanah tersebut serta faedahnya. Apabila Orang Asli diletakan di bawah Senarai Bersama, kebajikan mereka menjadi tanggungjawab bersama Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri. Dalam keadaan ini, tanah yang dirizabkan untuk Orang Asli masih berada di bawah kawalan Kerajaan Negeri. Ini boleh menggalakkan Kerajaan Negeri untuk merizabkan tanah untuk Orang Asli. Orang Asli juga akan terus mendapat bantuan daripada Kerajaan Persekutuan oleh sebab Kerajaan Persekutuan masih lagi mempunyai tanggungjawab terhadap kebajikan mereka.
Selamat berbicara.
Artikal asal SINI
Stumble
Twitter
Digg
Facebook
Yahoo
Feed

Tiada ulasan:

kosong

Receive all updates via Facebook. Just Click the Like Button Below

Powered By Blogger Widgets

kosong