Dari kiri: Hanafiah, Pengarah MTD Kemasik, Alias Abd Hamid, Ismail dan Pengarah MTD Kijal, Hazri Jusoh bersama dua lagi ahli Pas Kawasan Kemaman dengan salinan laporan.
CHUKAI – Pas menafikan bahawa peserta demonstrasi aman yang bertindak memijak gambar Lim Guan Eng dan Karpal Singh di pekarangan Masjid Sultan Ahmad kelmarin adalah ahli dan penyokong parti itu sebaliknya menyifatkan perbuatan itu dilakukan pihak tertentu sebagai cubaan memecahbelahkan Pakatan Rakyat.
Kesal dengan tindakan itu, dua laporan dibuat kira-kira jam 12.30 tengah hari semalam oleh Pas Terengganu dan Pas Kemaman di Balai Polis Chukai bagi meminta pihak berkuasa mengambil tindakan tegas terhadap penganjur demonstrasi terbabit.
Penolong Setiausaha Pas Terengganu, Hanafiah Mat berkata, hasil siasatan yang dilakukan peserta demonstrasi berkenaan bukanlah ahli dan penyokong Pas sebaliknya peserta dipercayai ditaja oleh pihak tertentu.
Katanya yang juga Pengarah Majlis Tindakan Dun (MTD Chukai, perbuatan itu dilakukan sebagai cubaan untuk melaga-lagakan PR.
“Kami percaya perbuatan ini dilakukan bagi melihat Pas, PKR dan DAP bergaduh.
"Difahamkan peserta yang menyertai demonstrasi itu turut diberikan upah dan mereka tidak tahu menahu niat penganjur itu. Dari maklumat yang diperoleh penganjur datang dari luar daerah ini,” katanya ketika ditemui di pekarangan balai polis.
Sinar Harian kelmarin menyiarkan laporan mengenai dakwaan kononnya 30 penyokong Pas Kemaman memijak gambar Guan Eng dan Karpal Singh dalam demonstrasi aman kerana berang dengan tindakan DAP yang tidak menghormati keputusan Majlis Syura berhubung isu kalimah ALLAH.
Berikutan itu, Hanafiah meminta jurucakap peserta demonstrasi itu yang berumur 26 tahun turut ditahan agar siasatan menyeluruh dapat dilakukan.
Sementara itu, Yang Dipertua (YDP) Pas Kemaman, Ismail Harun berkata, Pas Kemaman tidak terlibat dengan demonstrasi aman itu malah tidak pernah membuat sebarang arahan untuk itu.
“Pas Kawasan Kemaman berdiri teguh dengan keputusan yang dikeluarkan oleh Majlis Syura Ulama Pas Pusat secara kolektif berkenaan isu kalimah ALLAH dan menganggap isu ini sudah selesai,” katanya.
Katanya, Pas Kemaman hanya tahu mengenai penganjuran demonstrasi aman itu melalui akhbar ini, kelmarin.-SH
Gambar hantu tanpa kepala mengaku ahli PAS |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan