MATI.....Salah seorang militan yang berjaya ditembak mati di
Semporna, manakala kawalan ketat di Semporna bagi memburu saki baki kumpulan
militan yang menyerang hendap pasukan polis semalam.
|
Oleh : MUTALIB M.D
KEMELUT tuntutan 'Sultan Sulu' semakin meruncing ekoran
tindakan serangan terbaru di Semporna malam semalam yang melibatkan lima orang anggota polis
terbunuh, seorang inspektor wanita ditawan dalam rumah.
Ketua Polis Negara mengesahkan bahawa lima pegawai polis terbunuh dan dua cedera
akibat serangan hendap puak militan walaupun dipercayai bukan kumpulan yang
sama.
Bagaimanapun, Pasukan Perisik Sabahkini.net di Semporna
mendapat maklumat bahawa puak militan yang mengaku sebagai Tentera Sultan Sulu
berada di tiga lokasi yang berbeza di Semporna.
Sehingga ke saat ini PDRM belum mengesahkan berita mengenai
nasib Inspektor Azra yang kononnya berjaya ditawan kumpulan militan semalam.
Dalam pada itu tiga orang militan berjaya ditahan di Simpang
Jalan Haji Jalan di Kampung Tanjung Labian, Lahad Datu; manakala lima lagi
dapat meloloskan diri dari kepungan ketat polis berdekatan Tg Labian apabila
pasukan keselamatan berjaya mengesan mereka setelah operasi memburu saki baki
militan @ tentera Mat Bom dilancarkan.
Menurut penduduk kampung, akibatnya mereka berada dalam
kebuluruan kerana terputus bekalan makanan dan setakat ini belum ada sebarang
bantuan yang diberikan kepada penduduk di 13 kampung tradisi berkenaan yang
terperangkap dan mengalami risiko ditawan puak Militan.
Siasatan Pasukan Perisik Sabahkini.net mendapati bahawa
bukan sahaja Suluk, malah Bajau Sibutu, Bajau Simunul dan Iyakan juga turut
menjadi 'Tentera Berani Mati' Sultan Sulu yang membentuk sembilan kumpulan.
Setakat ini hanya dua kumpulan sahaja yang memunculkan diri
di Kampung Tanduo, Tungku dan Sri Jaya, Simunul, Semporna; manakala enam lagi
dipercayai akan menyusul pada bila-bila masa.
Kumpulan militan yang dianggarkan seramai 2,000 orang telah
berada di Sabah sejak lima bulan lalu; kebanyakannya adalah warga Penyu yang
memiliki IC Projek merancang untuk menyerang dan menawan Tanduo, Lahad Datu,
Kunak, Semporna dan Sandakan yang sebelum ini adalah Wilayah Sultan Sulu.
Menurut maklumat tidak rasmi Militan Filipina, seramai 2,000
lagi sedang memasuki Sabah melalui Jolo bagi menjalankan Operasi 'Magsabil'
(Jihad dan Shahid) untuk menawan Sabah yang sebelum ini didakwa sebagai Tanah
Jajahan Sultan Sulu.
Dalam kejadian semalam, satu keluarga yang menjadi Tebusan
di Semporna telah dapat diselamatkan oleh Pasukan Keselamatan namun agak malang kerana dua anggota
keselamatan terkorban dalam kejadian serang hendap; manakala dua penjenayah
berjaya ditembak mati.
Bagaimanapun tiga anggota polis yang terkepung dalam sebuah
rumah lain tidak dapat menyelamatkan diri dan tewas di tangan militan
menjadikan kesemuanya 5 orang polis terkorban setakat ini.
PDRM juga masih membisu berhubung laporan penculikan
Inspektor Azra, sekalipun keluarganya tidak menafikan kemungkinan beliau
diculik adalah positif kerana tidak dapat mengesan beliau sejak semalam.
Pasukan Perisik Sabahkini.net turut menerima maklumat bahawa
Kunak Kudat, Lahad Datu dan Sandakan akan diserang pada bila-bila masa dan
pihak berkuasa telah mengambil berjaga-jaga sejak malam tadi.
Sebentar tadi, (2.45 petang) sekumpulan militan dilaporkan
telah mendarat di Kampung Desa Bajau dan pasukan keselamatan sedang bergegas ke
lokasi yang dilaporkan penduduk kampung untuk mencegah sebarang kemungkinan;
bagi mengelak nasib malang
yang menimpa penduduk Simunul semalam berulang.
Nampaknya Sabah akan menghadapi Gelombang Tsunami Reverse
Take Over yang mengejutkan jika pihak berkuasa masih 'berhidung tinggi' dan
enggan mendapatkan kerjasama penduduk kampung mengesan anggota Militan yang
tinggal di kampung berkenaan; sebagaimana kejayaan pasukan keselamatan menahan
salah seorang yang disyaki anggota kumpulan militan di Semporna, Haji Tampakan
Pehakan.
Setakat ini PDRM belum mengesahkan tangkapan berkenaan
sekalipun Pasukan Keselamatan di Tanduo dan sekitarnya masih menunggu arahan
'Tembak' daripada Menteri Dalam Negeri dan Ketua Polis Negara setelah berjaya
mengesan saki baki militan berkenaan.
Persoalan yang bermain dibenak anggota keselamatan ialah
bagaimana mereka dapat mengenalpasti kumpulan militan kerana wajah, bahasa dan
budaya mereka hampir sama dengan penduduk kampung; terutama yang mendapat IC
Projek; umpama musuh dalam selimut yang menghalakan peluru kepada kita dan
menjadi 'Si Kitul' membenarkan militan masuk demi cita-cita 'kosong' Sultan
yang kehilangan negara; Sultan Pasir Berdengung!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan