INI BLOG PENEROKA FELDA ADMIN HANYA MENYOKONG GERAKKAN ISLAM ALIRAN SUNNAH WAL JAMAAH SAHAJA

"Felda untuk Felda dan Generasinya"
Orang luar boleh masuk tapi di bawah kuasa Felda ..
Bukanya masuk untuk menguasai Felda.

“Dalam Isu FELDA
Berkaitan Ketidak Puasan Hati,
Komplen Dan Rungutan
Didalam Blog Ini
Ia Terlebih Dulu Telah Dibawa Berunding
Diperingkat Rancangan

SABUN MADU KELULUT.

10 ARTIKAL TERKINI

CARIAN BLOG INI

Selasa, September 03, 2013

Travelog di Bumi Dajlah dan Furat siri 1-28


Aku sangat tertarik dengan artikal dari DrAzman Ibrahim mari kita baca dan fkirkan bersama...


Travelog di Bumi Dajlah dan Furat

Geger bab syiah seminggu dua ni. Kawan-kawan sekelas saya di Univ Baghdad dulu dalam 25 orang semuanya. Ada kurdi, Arab Iraq, Arab Palestin, Arab Yaman dan Arab Jordan. 5 orang saja sunni termasuk ambo! Bakinya syiah.. Kami belajar bersama, mengulangkaji bersama, buat presentation bersama, latihan praktikal di hospital pun sama-sama. Bukannya sehari dua, tapi 6 tahun. Belum lagi dikira penganut syiah yang hidup bersama dalam masyarakat.

Alhamdulillah... saya tetap teguh dgn aqidah ahli sunnah wal jamaah walaupun tak berjaya 'mengsunnikan' kawan-kawan syiah. Terpesongnya amalan dan aqidah orang syiah bukan setakat saya baca di buku dan kitab, tetapi mampu dilihat dengan mata kepala sendiri. Musim peperiksaaan kawan-kawan syiah datang bermalam dirumah sampai 2,3 hari untuk sama-sama mengulangkaji pelajaran.

Lagu mana mereka solat, berapa kali mereka semayang dalam sehari, lagu mana puasa mereka, apa pandangan mereka tentang sahabat-sahabat nabi, peristiwa pembunuhan Syaidina Hussin di Karbala', kitah 'Nahjul Balaghah' yang menjadi rujukan mereka, taasub mereka dengan imam-imam mereka, kelayakkan imam-imam mereka mengeluarkan ijtihad dan fatwa baru semuanya saya kaji dan lalui secara realiti.

Penganut-penganut syiah di Malaysia, berapa hari kamu semua hidup bersama orang syiah? Kalau syiah itu betul, benar, tidak sesat dan menyesatkan... saya akan jadi syiah lebih dulu sebelum kamu!

Islam ini agama mudah. Samada ibadat atau muamalat. kenapa nak dipermudahkan lagi dengan solat yang boleh dijamak seminggu sekali? Apa faedah yang kamu boleh dengan mengutuk dan mencaci sahabat-sahabat Nabi? Mana boleh bulan puasa pun hisap rokok atas alasan fatwa imam? Siapa yang ajar kamu al Quran ada 115 surah? Tambah satu lagi surah 'al Wilaayah' kononya surah yang menceritakan kelebihan Syaidina Ali. Kalau Syaidina Ali hidup semula, puak kamulah Syaidina Ali akan kerat kepala dulu! Siapa yang ajar kamu semua, Malaikat Jibril tersalah bagi wahyu kepada Muhammad, sedangkan sebenarnya nak bagi kepada Ali? Kamu ingat Jibril tu macam Tok Ki kamu?

Banyak lagi kalau saya nak senaraikan. Kembalilah kepada aqidah yang benar...


Biasa kawan-kawan syiah berkunjung ke rumah, mereka tak akan solat bersama kerana cara solat mereka berbeza. Paling penting kena ada batu berbentuk bulat bersaiz lebih kurang sebesar biskut marrie tebal dalam 1 cm yang kata mereka dibuat dari tanah suci Karbala’. Mereka sujud dengan dahi diletakkan di atas batu tersebut.
Semakin tinggi martabat semakin tinggi lapisan batu. Biasanya di sejadah imam terdapat 2 atau 3 lapis batu. Makmun selapis saja. Sebab itu jangan tersalah masuk masjid.

Bila kawan-kawan mintak batu untuk solat, rumah saya mana ada batu. Saya guna sejadah saja. Kata mereka, “Ooo… sejadah boleh guna untuk solat tetapi kita tak boleh sujud ke atasnya sebab sejadah bukannya benda tabi’ie, ia telah diproses dan dikilangkan. Kita mesti sujud di atas benda tabi’ie”. Alternatifnya? Cari daun kayu. Nasib baik depan rumah ada pokok-pokok bunga. Daun dijadikan ganti batu. Mereka sujud di atas daun.

Sambil bergurau saya pernah menyatakan kepada mereka, kalau benda tabi’ie menjadi syarat, bagi saya batu dari tanah Karbala’ tersebut bukan lagi tabi’ie. Ianya telah diproses, dibentuk menjadi bulat, diukir gambar masjid. Kalau nak batu yang betul-betul tabi’ie jawabnya kena ambik batu kelikir tepi jalan! Boleh melelas dahi kamu. Bergurau dalam bab ni mereka tak akan marah. Tapi awas! Bab sahabat terutamanya mengiktiraf Muawiyyah bin Abu Sufian r.a sebagai sahabat nabi akan mengundang kemarahan besar mereka. Bab ni saya akan ceritakan kemudian…

Nak tunggu mereka selesai solat, punyalah lama. Bila ditanya kenapa kamu semayang lama sangat. Mereka jawab, semayang jamak memanglah lama. Saya tanya, jamak apa? Mereka jawab, “jamak semua waktu semayang hari ni, buat sekali sahaja”. MasayaAllaaaahh…!! Macam mana boleh jadi lagu tu. Yang pertama, kita bukannya dalam musafir. Yang kedua, mana boleh jamak sampai lima waktu sekaligus! Lebih tragis, saya pernah jumpa kawan-kawan syiah yang jamak semayang setiap 3 hari sekali, ada lagi yang lebih hebat, jamak semayang setiap seminggu sekali!

Agama ini sudah tersangat mudah, orang-orang yang jahil akan mencari jalan untuk memudahkan lagi. Biasanya yang mudah walaupun sesat akan menarik perhatian orang untuk menjadi pengikutnya. Boleh semayang sekali sehari, 3 hari sekali atau seminggu sekali, tentu mudah kan?

Puasa mereka tidak sebagaimana kita. Waktu puasa kita dari terbit fajar hingga terbenam matahari. Waktu puasa penganut syiah dari terbit matahari hingga hilang mega merah di kaki langit, masuk waktu isyak.

Sebab itu jangan pelik bila kita keluar dari masjid selepas solat subuh, kita akan dapati masih ada orang yang makan di gerai-gerai tepi jalan. Jangan tersalah tegur kata meraka tak puasa sebab mungkin mereka itu syiah. Waktu puasa mereka belum start lagi sebab matahari belum terbit! Selepas terbit matahari barulah mereka berenti makan. Sebenarnya ramai juga Arab yang tak puasa terus walaupun mereka bukan syiah bukan dan bukan juga mazhab sunni tetapi menganut ‘mazhab jahil’.

Biasa saya diundang berbuka puasa di rumah kawan-kawan syiah. Kita tetap pergi. Masuk waktu maghrib, kita akan dipersilakan makan sambil meminta maaf, mereka memaklumkan bahawa waktu berbuka mereka belum sampai lagi. Mereka hanya boleh makan bila hilangnya mega merah di kaki langit, hampir masuk waktu isyak! Sambil bergurau, saya kata… “kalau begitu memang adil sebab kamu start puasa lewat, mana boleh berbuka awal!” Mereka hanya tersenyum… bab ni tak sensitif dan tak akan mengundang kemarahan. Ada bab lain…




Selalu kawan-kawan syiah berhujah, “kami lebih benar sebab Islam kami ambik terus daripada guru, kamu ambik daripada murid.” Siapakah guru dan siapa pula murid? Soal saya. “Guru adalah ahlul bait, kami ambik Islam terus dari ahlul bait. Imam-imam mazhab sunni adalah murid kepada ahlul bait, mana yang lebih alim dan benar antara guru dan murid?” Soalnya penuh keyakinan.

Maksud murid dan guru ialah, Imam Abu Hanifah pernah berguru dengan Imam Ja’far as Sadiq, salah seorang dari Imam 12 yang diakui syiah sebagai imam mereka.

Tetapi siapa yang meneliti secara jujur riwayat hidup Imam Ja’far as Sadiq atau nama sebenarnya Ja’far bin Muhammad bin Ali (k.w), ibunya ialah Fatimah binti al Qasim bin Muhammad bin Abu Bakar as Sidiq (r.a) jelas bahawa beliau bukannya syiah sebagaimana yang didakwa. Imam Ja’far adalah cucu kepada Syaidina Ali k.w dan cicit kepada Abu Bakar as Sidiq r.a.

Mereka lebih benar sebab kononnya ajaran mereka adalah berpandukan guru (Ja’far as Sadiq) sementara orang sunni adalah murid (Abu Hanifah).

Sebab itulah beberapa hari sebelum menjelang 10 Muharram setiap tahun, penganut syiah akan berarak dengan berjalan kaki dari satu kawasan penempatan syiah bernama Saddam City, sebuah penempatan masyarakat bawahan yang sangat ketinggalan terletak di pinggir Baghdad menuju ke Karbala’ dengan jarak hampir 200 km. Kenapa berjalan kaki? Sebab kata mereka Syaidina Hussin dulu juga berjalan kaki dari Madinah ke Kufah sampai beliau terbunuh di Karbala’.

Mereka akan melintasi jalan hadapan Masjid Imam Abu Hanifah di mana di dalamnya terdapat makam Abu Hanifah di Bandar Adhamiya berdekatan rumah sewa saya. Bila sampai di hadapan masjid Abu Hanifah mereka akan berhimpun seumpama demonstrasi sambil melaungkan “Celaka atas kamu!! Kamulah murid yang derhaka kepada guru!!”

Jawapan saya kepada dakwaan di atas mudah sahaja. “Apakah kamu sempat berjumpa dengan ahlul bait?” Tentu jawapan yang saya dapat adalah.. “tidak pernah!” “Habis tu macam mana kamu dakwa bahawa kamu ambik ilmu dan agama ini terus dari ahlul bait?”

Melihat kawan saya terlopong kelu, saya menjelaskan, “Sahabatku.. ilmu dan agama ini diwarisi dari Rasulullah s.aw kepada para sahabat. Sahabat pula ada di kalangan ahlul bait dan bukan kalangan ahlul bait termasuk ada yang bukan Arab. Kami orang-orang sunni kasih kepada mereka semua termasuk Syaidina Ali dan Syaidina Hussin serta Syaidatina Fatimah az Zahra’.

Silap besar kalau kamu anggap kami memusuhi dan membenci mereka. Kemudian para sahabat mewariskan ilmu kepada tabi’in seterusnya tabi’ tabi’in seterusnya salafus soleh dan seterusnya… seterusnya…. Sehinggalah sampai kepada kita. Bermakna kita sama-sama tidak mendapat ilmu secara direct terus dari Rasulullah atau ahlul bait.” “Jadi kalau kamu mendakwa lebih benar sebab kamu mendapat ilmu terus dari guru dan bukannya murid, maka jelas dakwaan kamu palsu!”




Membina masjid-masjid yang indah bagi penganut syiah dengan kubah-kubah dan dindingnya disalut emas tulen adalah antara kelicikan strategi politik Saddam Hussein untuk mengambil hati penganut syiah yang sebenarnya kalau dinisbahkan rakyat Iraq yang berbangsa Arab, syiah adalah majoriti. Tetapi kalau dihitung keseluruhan rakyat Iraq yang meliputi bangsa Kurdi dan Turkman, nisbah syiah dan sunni di Iraq adalah seimbang. Penganut syiah mendominasi wilayah-wilayah di selatan Iraq seperti Najaf, Kufah, Karbala’, Nasiriyyah dan Basrah. Di Baghdad sendiri sunni masih merupakan majoriti.

Walaupun begitu tampuk pemerintahan Iraq dari Presiden, Perdana Menteri serta para menteri adalah sunni termasuk seorang kristian, bernama Tariq Aziz.

Masjid-masjid syiah biasanya terdapat makam-makam yang bukan setakat mereka ziarahi tetapi mereka turut bertawaf sekelilingnya. Ada yang bertawaf sambil menangis dan meratap. Antara yang terkenal adalah Masjid di Kufah, Najaf, Kadhimiya dan Karbala’. Berbanding masjid-masjid tersebut, Karbala’ adalah yang paling ramai dikunjungi terutamanya menjelang 10 Muharram. Di dalamnya terdapat makam Syaidina Hussin bin Ali, cucu Rasulullah s.a.w yang terbunuh dalam tragedi Karbala’.

Makam Syaidina Ali k.w terdapat di Kufah, ini disokong oleh pendapat Imam Ibnu Kathir dalam al Bidayah wan Nihayah. Walaupun begitu penganut syiah tidak sependapat dalam hal ini kerana ada qaul di kalangan Kaum Rafidhah, Syaidina Ali dimakamkan di Najaf sementara ada lagi qaul di kalangan mereka, selepas kewafatan khalifah Islam yang keempat ini, jenazahnya dibawa dari satu tempat ke satu tempat hingga akhirnya ghaib tidak diketahui. Wallahu’alam. Saya tidak melakukan penyelidikan mendalam dalam hal ini.

Rasa ingin tahu mendorong saya ke sana ke Karbala’ ketika detik 10 Muharram untuk menyaksikan sendiri apa yang dibaca dan didengar. Memang benar terdapat lautan manusia yang datang dari segenap penjuru. Terutama bila sempadan Iran-Iraq dibuka, penganut syiah dari Iran pun turut sama berpusu-pusu datang. Saya memerhatikan hampir keseluruhan mereka datang sambil menangis dan merintih… “Yaa Hussin…. Ya Hussin… Ya Hussin… Apa dosa kamu diperlakukan begini, wahai cucu Rasulullah…”

Amalan menangis dan meratap ini amat ketara ketika mereka mengelilingi makam Syaidina Hussin (maaf sahabat-sahabat syiah kalau saya istilahkan ‘tawaf’).
Mungkin sebagai tanda kekesalan atas tragedi Karbala' yang telah berlaku, sambil mereka memukul-mukul badan mereka dengan kain dan tangan.

Amalan memukul dan menyakiti tubuh sendiri dengan senjata tajam dan alat-alat lain seperti rantai besi telah diharamkan dizaman pemerintahan Saddam. Alhamdulillah… tak terdapat lagi mereka yang luka berlumuran darah kerana amalan ini.



Tanggapan buruk dan tuduhan melampau penganut syiah terhadap para sahabat r.a adalah perkara yang sudah dalam makluman sejak sekian lama. Lantaran itu saya sentiasa mengambil sikap berhati-hati untuk membincangkan topik ini bersama mereka.

Ibarat anak dagang di rantau orang, kena pandai membawa diri. Apatah lagi di Kuliyah Perubatan dan Pergigian University of Baghdad ketika itu, bukan setakat saya anak Malaysia tunggal malah saya satu-satunya pelajar bukan Arab yang wujud.

Mungkin sahabat-sahabat berpendapat, kebenaran wajib dizahirkan walau di mana kita berada. Ya…! Saya akui hakikat dan tuntutan itu tetapi kita perlu berpijak di bumi nyata. Siapalah kita yang bersendirian di rantau orang untuk mengubah suatu anutan dan pegangan yang telah diwarisi dari datuk nenek moyang mereka lagi. Lantaran itu saya lebih bertindak sebagai pencari fakta dan maklumat untuk dibawa balik ke tanah air dan di sinilah medan kita untuk menyatakan kebenaran.

Walaupun dalam keadaan beringat, akhirnya hari panas dan tegang berlaku juga tanpa diundang. Seorang teman (tentunya syiah) yang tinggal di pinggir Baghdad berkali-kali memaklumkan keluarganya sangat ingin untuk bertemu dan berkenalan dengan saya. Undangan mereka saya tunaikan sebaik sahaja selesai menghadapi peperiksaan akhir di tahun keempat pengajian. Sekitar bulan Julai 1997, ketika cuaca panas membahang dengan suhu melebihi 45°C, di satu penempatan syiah di panggil Hayyu Adil.

Sebagaimana lazimnya, air sejuk di dalam teko akan diangkat sebagai memuliakan tetamu sebelum kita dijemput menikmati hidangan tengah hari. Bersama beberapa orang abang teman saya, kami berbual-bual sebelum hidangan tengah hari disiapkan. Bertamu ke rumah orang Arab, jangan mimpi kita nak tengok ahli keluarga wanita mereka, ini adat yang mereka pegang samada sunni atau syiah.

Tanpa diduga, keluar satu soalan dari mulut seorang abangnya… “Azman… kamu di Malaysia orang Islam yang baik. Apa pandangan kamu tentang sahabat-sahabat Rasulullah?”

“Sahabat Rasulullah ramai, yang mana satu saudara maksudkan?” soal saya balik sebenarnya dengan tujuan ingin mengelak. “Muawiyyah!” jawabnya tegas.

“Ya Allah! Cari penyakit sungguh aku hari ini...”

“Kalau jawapan saya tak sependapat dengan saudara semua, bolehkah kita sama-sama berlapang dada menerimanya?” Soal saya lagi. “Tak apa… kami nak dengar saja apa pandangan Muslim di Malaysia.” Saya lega…

Lalu saya memulakan bicara… Bagi saya para sahabat Rasulullah s.a.w adalah generasi terbaik selepas Rasulullah. Merekalah generasi yang telah mengorbankan masa, tenaga, harta dan nyawa demi dakwah Islam yang diperjuangkan Baginda Rasul. Setiap mereka ada fungsi dan kehebatan masing. Ali adalah gedung ilmu, Uthman adalah gedung kekayaan ummat, Umar dengan keberaniannya dan Abu Bakar dengan kebenarannya. Semoga Allah meredhai mereka semua.

Rasulullah juga berpesan; “Ikutlah sunnahku dan sunnah para sahabatku.” Nabi yang mulia juga turut berpesan; “Jangan kamu caci-maki para sahabatku.” Kemulian mereka dengan kita terlalu jauh sehingga Nabi pernah bersabda mafhumnya; Kalau kita sedekahkan emas sebesar Bukit Uhud sementara sahabat nabi hanya bersedekah secupak emas, sedekah kita tidak akan dapat menandingi para sahabat.

Memang saya akui terdapat peristiwa-peristiwa yang menyedihkan berlaku selepas kewafatan Rasulullah yang melibatkan para sahabat Nabi seperti Peperangan Siffin dan Perang Jamal, yang kita telah pelajari kisahnya, tetapi kita bukanlah hakim untuk menentukan siapa benar dan siapa salah. Tidak pernah saya ketemu seorang ahli sejarah Islam yang muktabar apabila membicarakan hal kedua-dua peperangan ini membuat kesimpulan dengan menentukan siapa benar dan siapa salah.

Panjang lebar saya bersyarah… Kemudian di sambung; “berhubung dengan Muawiyyah, pendirian kami, beliau juga adalah salah seorang sahabat Rasulullah yang berjasa besar kepada Islam dan perjuangan Islam. Jasa Syaidina Ali k.w tentunya lebih besar.”

Bila saya menyebut “Muawiyyah adalah salah seorang sahabat Rasulullah…” sangat ketara air muka mereka berubah dengan mendadak, nafas menjadi turun naik menahan kemarahan.

Walaupun begitu, saya cuba menyambung lagi… “Khalifah Umar Abdul Aziz pernah ditanya pandangannya tentang Muawiyyah, lalu Umar Abdul Aziz menyatakan… debu-debu yang melekat di hidung kuda Muawiyyah yang berjihad di jalan Allah lebih mulia dari batang tubuh manusia yang bernama Umar Abdul Aziz...”

Saya tak sempat menjelaskan lebih lanjut, dengan nada tinggi mereka membantah…

“Azman! Kamu memuji Abu Bakar, sedangkan Abu Bakar adalah perampas!”

“Yaa… akhie… Apa yang Abu Bakar telah rampas?”

“Dia telah merampas hak Imam Ali untuk menjadi khalifah!”

“Silap tu wahai saudaraku… tahukah kamu bagaimana kaedah pemilihan khalifah selepas kewafatan Rasulullah? Abu Bakar dipilih secara syura di kalangan kaum muslimin dan di bai’ah oleh mereka semua termasuk Imam Ali k.w.”

“Mana adil Abu Bakar menjadi khalifah sedangkan Imam Ali lebih baik dan lebih layak?”

“Apa ukuran yang kamu guna wahai saudaraku untuk mendakwa bahawa Imam Ali lebih layak?”

“Imam Ali telah Islam semenjak kanak-kanak lagi, dia tidak pernah sujud kepada berhala. Abu Bakar Islam ketika telah dewasa dan dia pernah sujud kepada berhala.”

“Astaghfirullah… mengucap saudaraku. Silap besar kamu berfikiran begitu. Aturan Allah menentukan perutusan Nabi berlaku ketika Ali masih kanak-kanak sementara Abu Bakar telah dewasa. Sebagaimana Ali adalah generasi yang paling awal beriman, begitulah juga Abu Bakar. Tuduhan kamu bahawa Abu Bakar adalah penyembah berhala merupakan tuduhan keji dan batil terhadap sahabat Nabi yang agung. Abu Bakar seorang ‘hanifah’. Dia tidak menganut agama penyembahan berhala walaupun ketika zaman jahiliah.”

“Azman! Imam Ali seorang yang sangat berani, dia yang tidur di atas tempat tidur Nabi ketika hijrah dalam keadaan rumah Nabi dikepung kaum musyrikin!”

“Yaa… tepat sekali. Syaidina Ali adalah seorang yang sangat berani. Dialah yang memegang panji-panji tentera Islam ketika pembukaan Khaibar. Tetapi kamu jangan nafikan bahawa Abu Bakar yang menemani Nabi dalam perjalanan hijrah ke Madinah. Saudaraku… Siapa yang mereka-reka tuduhan yang begini buruk terhadap Abu Bakar?”

“Ianya diajar oleh Imam-Imam kami ahlul bait!”

“Saya tak percaya! Imam mana yang ajar begitu? Contohnya Imam Ja’far as Sadiq, salah seorang Imam 12. Betul dia cucu Imam Ali k.w dari sebelah bapanya, tapi dia juga adalah cicit Abu Bakar dari sebelah ibunya. Mustahil dia akan menuduh begitu terhadap moyangnya sendiri!”

Buntu bab Abu Bakar, mereka beralih kepada Umar…

“Umar juga perampas! Dia seorang penyembah berhala yang kufur di zaman jahiliah. Pernah membunuh anaknya sendiri. Manusia sebegini kamu akui sebagai Khalifah Rasulullah?”

“Saudaraku! Islamnya seseorang akan memadamkan segala kisah silamnya. Apa hak kamu semua untuk mengungkit semua ini? Lebih-lebih lagi Umar seorang ‘Ahli Badar’ yang dijamin syurga oleh Rasulullah. Dia juga dilantik sebagai khalifah dengan bai’ah kaum Muslimin termasuk dibai’ah oleh Imam Ali k.w. Sebagaimana Imam Ali syahid ditikam, Umar juga seorang syuhada’. Siapa kita nak mengeji dan menghukum Umar sebagai kufur. Dia adalah khalifah yang sangat adil, memikul gandum untuk fakir miskin dengan bahunya sendiri. Wafat tanpa meninggalkan apa-apa harta.”

Mereka beralih pula kepada Muawiyyah bin Abi Sufian r.a…

“Celaka atas kamu dan laknat Allah ke atas Muawiyyah yang kamu iktiraf sebagai sahabat Rasulullah! Bagaimana manusia yang kamu iktiraf sebagai sahabat nabi yang berjasa besar kepada Islam boleh memerangi seorang ‘Waliyullah’? Ini manusia pembunuh! Kufur! Laknat! Anaknya juga seorang pembunuh! Semoga Allah mencampakkan dia ke dalam neraka jahannam!”

Saya melihat kepanasan telah mendidih, kata-kata yang keluar adalah dari luapan emosi marah yang melampau. Lebih baik saya mengundur diri…

“Saudaraku… saya telah mengingatkan diawal tadi. Pendirian saya akan bertentangan dengan saudara semua, tapi saudara nak dengar juga. Saya di sini sebagai tetamu. Aib bagi saya untuk berbalah dengan tuan rumah. Izinkan saya berundur. Ma’assalaamah…”

Pergilah diriku tanpa sempat menjamah makan tengah hari…


Kejatuhan Kerajaan Abbasiyah ke tangan pasukan Mongul Tartar tak lepas dari pengkhianatan tokoh Syiah Rafidhah bernama Alauddin Ibnu Alqani dan seorang menteri syiah bernama Nashiruddin Ath-Thusi. Wujud pakatan sulit antara pasukan Mongul Tartar dan kelompok Syiah di dalam Kerajaan Abbasiyyah dengan hasrat menjatuhkan pemerintahan Daulah Abbasiyah, kemudian menggantikannya dengan Daulah Fathimiyah.

Kisah sedih ini diceritakan Dr. Raghib As-Sirjani “Qishah At-Tatar min Al-Bidayah ila ‘Ain Jalut” sementara Dr. Muhammad Ali Ash-Shalabi menceritakan dalam bukunya “Al-Moghul Baina Al-Intisyar wa Al-Inkisyar”

Ibnu Alqani dilantik sebagai perdana menteri oleh Khalifah Al-Mu’tashim Billah sementara Nashiruddin Ath-Thusi sebagai menteri. Sepatutnya mereka bertindak mempertahankan Negara tetapi sebaliknya mengadakan hubungan sulit dengan pimpinan bangsa Mongul Tartar dan membuka jalan pasukan kafir tersebut untuk masuk dan menyerang kota Baghdad.

Ibnu Katsir menceritakan, “Ibnu Alqani menulis surat kepada pasukan Tartar yang isinya menyokong mereka menguasai Baghdad dengan memperincikan setiap peta jalan bagi kemudahan mereka menyerang Baghdad. Kelemahan-kelamahan pertahanan Khilafah Abbasiyah juga didedahkan.”

Paling keji, Ibnu Alqani menipu Khalifah kononnya suatu pasukan utusan diplomatik dari Mongul akan tiba untuk melawat Baghdad. Kita perlu membuka pintu kota seluas-luasnya untuk menyambut mereka. Maka keluarlah pembesar-pembesar kerajaan Abbasiyah beramai-ramai untuk menyambut mereka tanpa membawa senjata.

Akhirnya yang tiba bukan utusan diplomatik, tetapi pasukan tentera Mongul yang besar dan ganas. Dengan pintu kota yang sedia dibuka, Baghdad berhasil takluk dengan mudah. Khalifah Al-Mu’tashim Billah terbunuh pada 14 Shafar 656 H. Pengkhianatan itu mengakibatkan ramai ulama yang terbunuh, sekolah-sekolah dan masjid yang hancur, perpustakaan sebagai gudang ilmu luluh, ratusan ribu ummat Islam dibunuh dan kekejaman lain sangat yang luar biasa. Kota Baghdad bersimbah darah. Pusat peradaban Islam yang gemilang, tinggal kenangan.

Tujuan sejarah duka kejatuhan Abbasiyyah saya imbas kembali kerana kita manusia perlu belajar dari sejarah. Sejarah ini wajib kita maklumi.

Iraq adalah sebuah Negara yang mengamalkan sistem khidmat wajib ketenteraan. Setiap rakyatnya yang mencapai umur 20 tahun wajib menyertai tentera. Kalau mereka menyambung pengajian, masa khidmat ditangguhkan sehingga tamat belajar. Tempoh khidmat wajib ini berbeza. Sekiranya Negara dalam keadaan aman, tempohnya 3 tahun bagi mereka yang tidak memiliki ijazah atau diploma. Tempoh setahun setengah bagi pemegang ijazah atau diploma. Dalam suasana perang, tempoh khidmat tiada had sehingga selesai konflik peperangan.

Sedia dimaklumi bahawa penganut syiah Iraq adalah anti kerajaan era Saddam yang didominasi Muslim Sunni. Tetapi kerana mereka tidak memiliki kekuatan, penentangan ini lebih kepada silent protest serta kadang-kadang gerakan subversif. Walaupun anti kerajaan, lantaran undang-undang khidmat wajib tentera, mereka wajib berkhidmat sebagai askar. Dengan nisbah muslim dan sunni yang seimbang, bilangan mereka juga dalam tentera tentunya sangat ramai. Walaupun begitu, pegawai-pegawai tinggi tentera hampir keseluruhannya adalah Muslim Sunni.

Ketika keadaan kelam kabut dan kacau bilau ekoran serangan Amerika yang membawa kejatuhan Saddam pada 2003, tidak keterlaluan kalau saya senaraikan, antara punca kelemahan pertahanan Iraq adalah kerana ramainya tentera yang berjuang sambil lewa serta lari meninggalkan medan pertempuran. Siapakah tentera yang khianat ini? Saya tidak berhajat memberikan jawapannya.

Tetapi lihatlah siapakah yang dipilih oleh Amerika sebagai boneka untuk menerajui Iraq selepas era Saddam. Nuri al Maliki, seorang tokoh syiah yang mempunyai hubungan rapat dengan Amerika, terlibat dalam gerakan subversif menentang kerajaan sehingga beliau melarikan diri dari Iraq pada tahun 1979 dan mendapat perlindungan politik di Syria dan Iran sehinggalah beliau kembali ke Iraq setelah kejatuhan Saddam pada 2003. Adakah beliau turut berperanan dengan kejatuhan Iraq kepada Amerika? Ya! Sudah tentu! Dengan perlantikan beliau sebagai Perdana Menteri serta kerajaan yang didominasi penganut syiah, maka bermulalah mimpi ngeri kepada Muslim Sunni di Iraq.

Sehingga sekarang, saya masih berhubung dengan kawan-kawan sekuliah di kalangan muslim sunni yang merantau membawa diri ke pelbagai negara seperti Turki, Swiss, Qatar, Dubai, Jordan dan lain-lain termasuk Malaysia ekoran desakan hidup serta ancaman terhadap nyawa dan keselamatan. Saya akan ceritakan kisah sedih mereka nanti…

Mungkin ada yang bertanya. Adakah Saddam seorang Islamic? Jawabnya tidak. Parti Baath yang diterajuinya adalah sebuah parti Sosialis. Semoga Allah merahmati seorang Syeikh yang alim lagi wara’ bila saya ajukan persoalan berkenaan Saddam sebelum kepulangan saya dulu. Jawapan beliau cukup dalam dan tidak saya fahami ketika itu. “Adanya Saddam adalah bala kepada Islam di Iraq, jatuhnya Saddam akan mengundang bala yang lebih besar…” Sahabat semua tentu telah dapat memahaminya…


Kematian adalah janji yang pasti dari Maha Pencipta kepada setiap yang bernyawa. Ketentuan Allah ini perlu diterima dengan sabar dan redha. Air mata kesedihan yang mengalir adalah lumrah kerana kita manusia, hatta Rasulullah sendiri bersedih ketika kewafatan puteranya Ibrahim. Tetapi amalan meratapi jenazah adalah ditegah keras dalam Islam.

Menjadi amalan di kalangan penganut syiah meratapi jenazah bila berlaku sesuatu kematian sambil memukul-mukul kepala dan dada berkali-kali. Hal ini hampir setiap hari dapat saya saksikan disebabkan Kuliyah Perubatan dan Pergigian University Baghdad berada di satu komplek yang turut menempatkan hospital terbesar di Baghdad dipanggil Saddam Medical City.

Apabila berlaku sesuatu kematian di hospital, keluarga simati biasanya akan memuatkan beberapa orang wanita yang agak berusia berpakaian serba hitam ke dalam sebuah kenderaan. Bermula dari rumah atau kampung mereka bergerak menuju ke hospital dan mereka akan beramai-ramai merintih, meraung dan menangis dengan suara tinggi yang boleh didengari sepanjang perjalanan.

Sampai di hospital sementara menunggu jenazah dibawa keluar, tangisan, ratapan dan rintihan sambil memukul-mukul dada dan kepala dapat disaksikan lagi di kaki lima bangunan hospital sehingga riuh rendah jadinya. “Yaa... Allah! Yaa... Ali! Yaa... Hussein! Mati sudah saudara kami si polan bin si polan, sebab apa kamu ambik nyawa dia yaa... Allah! Dia orang baik! Manusia pemurah! Suka tolong orang! Sebab apa yaa... Allah??” Ini antara ungkapan rintihan mereka menyesali kematian yang telah berlaku. Selalu saya pergi dekat menghampiri mereka. Tengok macam tangisan dan ratapan sengaja dibuat-buat. Tak nampak pun air mata yang keluar.

Saya tidak dapat mengesahkan kebenaran dakwaan penganut syiah memandikan jenazah sambil berdiri kerana saya tak pernah melihatnya. Jenazah yang telah dikapankan, di solat dan ditalkinkan sebelum dibawa ke perkuburan. Semasa ditalkinkan, setiap kali nama simati disebut, seseorang akan mengoncang-goncangkan tubuh simati seolah-olah untuk mengejutkannya dari tidur, sambil yang lain berterusan meratap dan menangis. Keranda yang berisi jenazah kemudiannya diletakkan di atas bumbung kenderaan untuk dibawa ke tanah perkuburan. Kebiasaannya perkuburan di bandar Kadhimiya, menjadi pilihan mereka. Sebuah bandar yang juga dianggap sebagai penempatan suci penganut syiah.

Seterusnya ‘Majlis Fatihah’ akan diadakan dengan sebuah khemah didirikan di hadapan rumah simati. Setiap tetamu yang datang akan bersalaman dengan waris terdekat arwah, membaca surah al Fatihah, minum segelas syai (tea) kemudian minta izin untuk pergi. Majlis Fatihah ini biasanya diadakan sehari sahaja



Menjawab dakwaan palsu kaum syiah

Hadis-hadis yang diriwayatkan oleh Abu Huraira r.a ditolak secara total penganut syiah. Pengalaman saya menjadikan hadis Abu Huraira ketika berhujah dengan mereka akan dibantah mentah-mentah. Di samping kerana alasan Abu Huraira bukan ahlul bait, hujah mereka juga, mana mungkin Abu Huraira boleh meriwayatkan hadis lebih banyak dari Abu Bakar, Umar, Uthman dan Ali sedangkan keberadaan Abu Huraira bersama Rasulullah adalah lebih singkat dari kesemua empat Khalifah ar Rasyidin tersebut. Ini menjadi hujah untuk mereka menuduh hadis yang diriwayatkan oleh Abu Huraira r.a sebagai hadis palsu.

Untuk menjawab dakwaan ini, sirah sahabat perlu diteliti...
Nama penuh Abu Huraira ialah Abdul Rahman bin Sakhrin Ad-Dausiy dilahirkan di Yaman dan dibesarkan dalam keadaan yatim dan serta miskin tanpa kaum keluarga kecuali ibunya.
Beliau terus kekal menetap di Yaman setelah memeluk Islam dan hanya berhijrah ke Madinah pada tahun ke 6 Hijrah.

Di zaman jahiliah beliau bernama Abdul Syams kemudian ditukar oleh Rasullullah kepada Abdul Rahman. Rasulullah s.a.w sering memanggil beliau: "Wahai Abu Hirr!"kerana pada masa kecil beliau mempunyai seekor kucing kecil sebagai teman permainan beliau menyebabkan kawan-kawan beliau memanggil beliau dengan panggilan: Abu Huraira.

Selepas Abu Huraira memeluk Islam dan berhijrah ke Madinah, Beliau diberi penghormatan menjadi pembantu Nabi membolehkan beliau menghabiskan masa beliau untuk menemani Nabi s.a.w dan melayan baginda.

Abu Hurairah tinggal di As-Suffah, sebuah tempat yang terdapat di masjid Rasulullah yang dikhususkan sebagai tempat tinggal para sahabat yang miskin. Keberadaan Abu Huraira bersama-sama dengan Nabi s.a.w walau di mana baginda berada dan tidak pernah berpisah dengan baginda menyebabkan beliau dapat menghafal hadis dengan jumlah yang terlalu banyak, lebih-lebih lagi selepas Rasulullah s.a.w berdoa kepada beliau supaya tidak melupakan ilmu yang dipelajari.

Abu Hurairah telah menghafal sebanyak lebih dari 1,600 buah hadis daripada Rasulullah s.a.w dan beliau pernah berkata: "Aku sibuk menghafal hadis sedangkan saudara-saudara aku dari kalangan Muhajirin sibuk dengan perniagaan mereka manakala saudara-saudara aku dari kalangan Ansar pula sibuk dengan pertanian mereka.

Ini jawapan secara fakta dan ilmiah untuk mereka. Kalau jawapan untuk pulangkan paku buah keras, kita pulangkan balik persoalan ke muka mereka. “Kenapa hadis yang diriwayatkan oleh Abu Bakar, Umar dan Uthman serta sahabat-sahabat lain yang bukan dari kalangan ahlul bait juga kamu tolak sedangkan kamu mengakui bahawa mereka telah lama Islam serta telah lama berada di sisi Nabi?”


Kesan Sekatan Ekonomi PBB Terhadap Iraq tahun 1991

Apakah makna sebenar sekatan ekonomi PBB ke atas Iraq pada 1991? Ianya bermakna tidak ada lagi sebarang aktiviti perdagangan import eksport antara Iraq dengan negara-negara dunia yang lain. Iraq tidak dibenarkan menjual minyak yang merupakan nadi ekonomi mereka sejak berdekad yang lalu.

Kemasukkan barangan ke Iraq juga dipantau rapi dengan kebenaran diberikan hanya untuk bekalan makanan dan ubatan sahaja. Amerika dengan kekuatan ketenteraannya menguatkuasakan sekatan ini melalui armada lautnya di Teluk Parsi di samping Pengkalan Udara Amerika yang terletak di Kuwait, Arab Saudi dan Turki.

Lapangan Terbang Antarabangsa Baghdad dan Pelabuhan Basrah yang sebelum ini menjadi pintu masuk serta penghubung Iraq dengan dunia luar ditutup. Pesawat milik Iraqi Airways satu-satunya syarikat penerbangan yang wujud di Iraq, banyak yang tersadai di beberapa negara Arab antaranya di Arab Saudi, Jordan dan Yaman. Yang berada di Iraq musnah dalam peperangan.

Minyak Iraq hanya boleh dijual dengan selian PBB (baca US) dengan kadar terhad. Hasil jualannya digunakan untuk membangunkan kembali Kuwait dari kerosakkan perang teluk. Perlu dimaklumi bahawa yang mendapat kontrak untuk membina semula Kuwait adalah kontraktor US! Bermakna duit minyak Iraq dibayar kepada US secara tipu muslihat politik. Sebahagian hasil minyak juga dibayar kepada kawasan Autonomi Kurdish di utara Iraq. Bakinya dipulangkan ke Iraq bukan dalam bentuk wang tetapi dalam bentuk bekalan makanan dan ubat-ubatan. Program ini dipanggil ‘bekalan minyak untuk tukaran bahan makanan dan ubatan.’

Dahulu Iraq negara yang sangat kaya dengan ‘emas hitam’. Nilai matawang Dinar Iraq antara yang tertinggi di mana 1 Dinar Iraq bersamaan hampir RM8. Istimewanya bagi duit dinar kerana emas yang menjadi nilai dinar tersebut memang terdapat pada duit itu sendiri dalam bentuk ‘jalur emas’ bukannya emas dicagarkan di Bank Dunia sebagaimana matawang-matawang yang lain. Inilah sebab kukuh kenapa dinar adalah matawang yang paling stabil di dunia tanpa dipengaruhi dan terkesan dek pergolakkan politik dunia.

Sekatan PBB yang membawa kepada penamatan segala aktiviti perdagangan Iraq dengan masyarakat luar ternyata memusnahkan terus ekonomi Iraq dan menjadikan Dinar Iraq seolah-olah kertas kosong di luar Iraq. Tak laku dan tak bernilai walau satu dirham pun. Bawak duit Iraq keluar dari Iraq, macamlah bawak kertas surat khabar. Tak ada money changer yang nak terima.

Inflasi tak dapat dielakkan lagi. Saddam terpaksa mencetak duit lain yang tak lagi berkualiti serta hanya dapat digunakan di Iraq sahaja. Kertasnya macam kertas photostate. Kalau terlupa dikeluarkan semasa membasuh seluar, duit itu akan hancur jadi debu. Mungkin gambaran seperti ‘duit pokok pisang’ ketika penjajahan Jepun di negara kita.

Dahulu sekeping duit dinar original yang mempunyai jalur emas, nilaian note paling besar hanya 25 Dinar. Kemudian mula dicetak ‘Dinar photostate’ dengan nilai 50 Dinar, seterusnya dikeluarkan pula sekeping dengan nilai 100 Dinar akhirnya yang paling besar sebelum kepulangan saya dulu pada tahun 1999, matawang 250 Dinar.

Gambar siapakah yang tertera pada matawang tersebut? Tentunya gambar Saddam yang terpampang! Bagaimana nilainya? Sebelum ‘Ummul Ma’arik’ (mother of the war) nilai Dinar sebenar yang terdapat jalur emas di atasnya, 1 Dinar Iraq bersamaan $US3.30. Bermula pasca Perang Teluk dan sekatan ekonomi PBB pada 1991, ianya merudum serta diburukkan lagi apabila matawang tempatan terpaksa dicetak.

Semasa awal saya menjejakkan kaki di Iraq sekitar September 1993, 1 USD boleh ditukar dengan 800 Dinar. Ianya terus dan terus merudum. Sehingga sekitar September 1999 sebelum kepulangan saya, 1 USD yang ditukar, sudah membolehkan kita mengenggam 2,500 Dinar!

Sebelum tercetusnya Perang teluk, diistilahkan di Iraq sebagai ‘Ummu Ma’arik’ dengan makna ibu segala peperangan yang membawa kepada ‘hisoor’ atau sekatan ekonomi, rakyat Iraq dikategorikan mewah. Walaupun ketika era Perang Iran-Iraq 1980-1988, yang diistilahkan Kerajaan Iraq sebagai ‘Perang Qadisiyyah’ kehidupan seharian mereka tidak begitu terjejas kerana konflik antara dua negara berjiran ini banyak melibatkan kawasan sempadan sahaja.

Ketika itu, jarang rakyat Iraq yang bekerja sebagai buruh kasar. Tenaga buruh kasar diisi pekerja-pekerja asing dari Mesir, Yaman, Palestin, Sudan serta beberapa negara dunia ketiga lain. Mereka adalah boss...


Tinggalan ‘Perang Qadisiyya’

Sebelum tercetusnya Perang teluk, diistilahkan di Iraq sebagai ‘Ummu Ma’arik’ dengan makna ibu segala peperangan yang membawa kepada ‘hisoor’ atau sekatan ekonomi, rakyat Iraq dikategorikan hidup mewah. Walaupun ketika era Perang Iran-Iraq 1980-1988, yang diistilahkan Kerajaan Iraq sebagai ‘Perang Qadisiyya’ (diambil sempena nama Peperangan Qadisiyyah yang berlaku antara tentera Islam dan Parsi dizaman pemerintahan Khalifah Umar al Khattab) kehidupan seharian mereka tidak begitu terjejas kerana konflik antara dua Negara berjiran ini banyak melibatkan kawasan sempadan sahaja.

Korban yang gugur dek ‘Perang Qadisiyya’ ini juga bukanlah sedikit. Dalam tempoh 8 tahun peperangan berlaku, jutaan tentera dan orang awam telah terbunuh, ditawan atau hilang. Pernah dikisahkan oleh seorang teman yang pernah berkhidmat sebagai pegawai perubatan di medan peperangan selama 5 tahun, tapi syukur kepada Allah, umurnya masih panjang. Rakan-rakan setugas ramai yang gugur di medan.

Beliau bercerita... “Dahsyatnya peperangan digambarkan, dalam sesuatu misi serangan, apabila 1 batalion tentera seramai seribu orang dihantar ke medan tempur untuk operasi serangan besar-besaran khususnya ketika pengambilan balik mana-mana sempadan Iraq yang ditawan Iran, tak sampai separuh dari kami yang berjaya kembali dengan selamat. Bakinya sama terbunuh, ditawan atau hilang.”

Kalau kita bertandang ke rumah teman-teman Iraq, hampir setiap rumah ada digantung frame gambar seseorang ahli keluarga mereka. Bila ditanya ke mana tuan gambar ini? Jawapan yang diterima, “Allah yarhamhuu... dia telah syahid di medan perang!” Istilah ‘syahid’ memang menjadi sebutan rasmi kerajaan. Rupanya amalan masyarakat Arab Iraq, selagi masih hidup, seseorang tidak akan digantung frame gambarnya di rumah kecuali gambar Saddam. Apabila gambarnya dipamerkan di dinding rumah bermakna hamba Allah tersebut telah menjadi arwah.

Tarikh 8.8.1988 hari tamatnya peperangan Iran-Iraq akan disambut setiap tahun sebagai ‘Yaumul Nasrul ‘Adhim’ (Hari Kemenangan Yang Agung). Di samping pada hari tersebut, pembesar Negara akan meletakkan kalungan bunga di Tugu Pahlawan, rakyat akan berpesta dengan cara mengisi air ke dalam beg plastik lalu dibaling kepada orang yang lalu –lalang. Habis basah kuyup kita kena baling!

Suatu hari ketika sambutan ‘Yaumul Nasrul Adhim’ pada tarikh 8 Ogos 1996, dalam perjalanan pulang ke rumah dari kuliah dengan menaiki teksi, jalan yang dilalui melintasi sekumpulan anak-anak muda yang sedang berhimpun di tepi jalan dengan beg-beg plastik berisi air. Apa lagi... tanpa sempat menutup cermin kereta, teksi dihujani lontaran bom air. Kesian pemandu teksi itu, ‘bom’ yang dilontar tepat kena ke kepalanya. Sambil marah-marah beliau menyumpah... “Siapa punya mak bapak budak-budak ini? Kurang ajar!” Saya yang turut kebasahan hanya tergelak kecil, “biarlah pak cik, mereka nak bergembira menyambut hari kemenangan.” “Kemenangan apa??” jawab pak cik drebar itu dengan nada tinggi. “Apa yang kita dapat selepas lapan tahun berperang? Anak yatim? Orang cacat? Tawanan perang? Berbilion dinar habis untuk beli senjata! Ada Iraq dapat seinci dari bumi Iran atau Iran dapat seinci dari bumi Iraq? Tiada!! Sempadan Iran-Iraq kekal sebagaimana tahun 50 an! Berperang sesama Islam, kita sama-sama bodoh!” Serius sekali pak cik ni melepaskan apa yang terbuku di hatinya.

Sambil ketawa bergurau, saya mencelah, “Pak cik kena hati-hati bila bercakap dalam hal ini, bimbang didengar oleh ‘mukhabarat’ (perisik Iraq), naya pak cik nanti.” “Ha..ha..haa.. dengan awak saja saya bercakap begini, kalu bercakap dengan orang Iraq....” beliau menunjukkan isyarat tangan ke leher. Saya memahami maksudnya...

Hasil dari konflik selama lapan tahun ini boleh disaksikan dengan mudah. Anak-anak yatim dan isteri-isteri yang bergelar ‘balu syuhada’ lumrah ditemui di mana-mana. Pernah saya bertemu dengan pemandu teksi yang kudung kedua-dua belah kaki hingga paras lutut, memandu sebuah kereta yang telah diubah suai untuk mencari rezeki. Bila disapa, dengan sedih beliau mengisahkan bahwa kedua-dua kakinya hilang di medan perang di sempadan Iran.

Pernah saya bertemu dengan pemandu teksi yang seakan kebingungan, seakan tak tahu arah mana yang nak dituju untuk menuju lokasi yang saya pinta. Saya pula yang ditanya, “jalan mana kita perlu lalu?” Jawab saya, “awak orang Iraq, tentulah awak yang lebih arif.” “Ooo... saya dah tak ingat jalan.” Jawabnya dalam keadaan agak kebingungan. “Kenapa sampai tak ingat jalan saudara?” Tanya saya kehairanan. “Sebenarnya saya baru dibebaskan dari menjadi tawanan perang di Iran.” “MasyaAllah... berapa lama saudara ditahan?” “Saya tak ingat secara tepat, tapi rasanya sekitar 10 tahun.” “Bagaimana keadaan saudara semasa dalam tahanan?” Soal saya dengan rasa sangat ingin tahu. “Biarlah sejarah pahit itu berlalu pergi, saya tak ingin mengingatkannya lagi.” Riak wajahnya membayangkan peritnya pengalaman silam yang telah ditempuhinya.


Antara Pensyarah yang paling saya ingati dan kenangi jasanya adalah pensyarah dan pakar bedah maxillo-facial (pakar bedah muka dan rahang) Prof. Dr Raja' Kammunah. Seorang pakar bedah berstatus QC (Queen Council), terkenal di peringkat antarabangsa. Tulisannya selalu disiarkan di dalam journal-journal bertaraf internasional. Seorang yang bertubuh gemuk dan agak rendah malah hampir sama tinggi dengan saya yang sememangnya tak berapa tinggi kalau dibandingkan dengan teman-teman berbangsa Arab.

Ada kenangan 'manis' yang menyebabkan beliau agak rapat dengan saya. Suatu hari lantaran kesesakan ketika berebut-rebut menaiki coaster, saya agak terlewat ke kuliah di mana subjek pertama jam 8.00 pagi hari tersebut adalah maxillo-facial surgery. Dalam jarak lebih kurang 50 meter kelihatan Prof Dr Raja' Kammunah melangkah menuju ke dewan kuliah.

Langkahnya yang tidaklah begitu pantas dan saya sebenarnya berkemampuan untuk melangkah mendahuluinya tetapi adab kita orang Melayu terasakan tidak manis lantas saya mengikutinya beberapa langkah di belakang. Masuk saja beliau ke dewan kuliah, bammm!!! pintu dewan ditutupnya dengan keras walaupun beliau menyedari saya berada dibelakangnya. Dengan sopan pintu saya ketuk saya sambil memohon izin untuk masuk. Tapi amat mengejutkan, beliau terus bertempik kepada saya... “Barraahh...!! ("Get Out...!!!") begitu kasar beliau menghalau saya sehinggakan malunya saya pada teman-teman usah digambarkan lagi.

Berbagai warna bintang-bintang berpinar-pinar di mata saya. Aib sekali rasanya bila dihalau sebegitu rupa. Harga diri saya terasakan diletak di bakul sampah. Ku pujuk diriku ini... Aahhh!! Aku hanyalah anak dagang di rantau orang... Tak boleh terlalu sentimental. Bukannya mati pun setakat dihalau begitu. Sabarlah wahai diriku, aku akan buktikan bahawa dugaan ini terlalu enteng! Orang nak berjaya, mana ada jalan mudah?

Sehingga tamat waktu kuliah, saya tak dibenarkan masuk. Adab seorang anak dagang di rantau orang, pandai-pandailah membawa diri, jaga tutur kata, jaga budi bahasa seperti pesan Allahyarham Sudirman. Tiada makna untuk saya berkecil hati dan tersinggung atas suatu perkara yang saya rasakan saya tidaklah melakukan kesalahan besar. Saya perlu bersemuka dan memohon maaf. Kalau beliau sudi saya ingin menjelaskan situasi sebenarnya.

Lantas saya mengekorinya kembali ke biliknya.
Pintu biliknya saya ketuk sambil memberi salam dengan penuh kesopanan dan saya bersedia untuk disergah serta di'get out!' sekali lagi. Apa nak jadi pun jadilah... He...he...

Tapi amat memeranjatkan, beliau bangun menyambut kedatangan saya, sambil memeluk dan mencium pipi saya gaya seorang ayah kepada seorang anak sehingga saya terpinga-pinga seakan tak percaya dengan apa yang sedang berlaku. "Silakan duduk wahai anakku." Pelawanya dengan penuh kasih sayang. Saya ingin membuka mulut untuk memberikan penjelasan atas apa yang telah berlaku di dewan kuliah tadi, tapi beliau terlebih dahulu bersuara.

"Wahai anakku, hidup kita perlu berdisiplin. Saya dahulu seorang pegawai tentera. Dalam tentera satu saat boleh membezakan kita antara hidup dan mati. Saya tahu awak seorang pelajar yang baik dan saya biasa mendengar pensyarah-pensyarah lain bercerita tentang awak. Maafkan saya kerana mendisiplinkan awak dengan cara yang kasar.”

"Oh... tak apalah, perkara kecil saja, saya tak sikit pun ambil hati."

“Anakku... ingatlah apa yang berlaku pada hari ini sepanjang hayatmu, jangan pandang mudah tentang masa sekalipun ianya hanya sesaat kerana sesaat itu ada ketikanya menentukan antara hidup dan matimu...”

"Anak ku, berminatkah kamu untuk menjadi seorang pakar bedah maxillo-facial?" "Tentu sekali!!" Jawab saya penuh kesungguhan. Semenjak hari itu, beliau selalu mengundang saya menghadiri kes-kes pembedahan rumit yang sebenarnya belum layak dihadiri oleh pelajar-pelajar ijazah pertama seperti saya. Sebagai sebuah negara perang, tanggungjawab doktor yang terpaksa berhadapan dengan kes-kes pesakit dengan kecederaan kritikal dan rumit adalah mainan harian sahaja.

Amat berbeza disiplin kami di sana dengan disiplin pelajar-pelajar saya di sebuah university tempatan, ketika saya berkhidmat sebagai pensyarah di sana dari 2001 - 2003. Sesi pembelajaran bermula jam 8.00 pagi. Tapi satu fenomena biasa. Jam 8.30 masih ada belajar yang baru datang. Bila ditegur, kenapa lewat? Selamba saja mereka menjawab, tertidur...
Saya sebenarnya gagal mendisiplin mereka, lantaran kita memiliki pensyarah-pensyarah lain dari luar Negara yang juga tidak berdisiplin terutamanya pensyarah-pensyarah dari luar negara seperti Indonesia, Bangladesh, Myanmar, Pakistan dan Sri Lanka. Amat malang sekali apabila suatu mutira yang kita belajar akhirnya tak mampu nak diajar balik kepada orang lain.

Berhadap Sikap Perkauman Sempit

Walaupun ada yang menyayangi kita, tak dinafikan ada pensyarah yang bersikap perkauman dengan sengaja menunjukkan kebencian tanpa sebab. Seorang pensyarah bernama Dr Rafil Hamid, antara yang kekal saya ingati. Secara jelas dan ketara tindak tanduk yang ditunjukkan menyebabkan saya menyedari bahawa beliau tak menyukai saya. Tak apalah...

Selalu beliau bersikap tidak adil walaupun saya cuba melakukan yang terbaik untuk subjek Oral Medicine (perubatan mulut) yang diajarnya. Kerap kali ketika sesi seminar, saya ditekan dan diasak dengan persoalan-persoalan yang belum dipelajari sebenarnya ketika sesi kuliah dan selalu saya diperlekehkan, tak layak menjadi doktor sepertinya.

Pernah keluar dari mulutnya soalan, “Azman! Sebab apa awak datang ke sini? Di Malaysia tak ada tempat belajar ke?” Suatu hari ketika berselisih dengannya beliau menyapa saya. "Azman, I don't know why I hate you..." Saya hanya mampu tersenyum kelat "Up to you." Jawab saya ringkas. Kalau orang tak sukakan kita, tak kan kita nak paksa. Saya hanya berada di sini untuk sementara. Habis nanti, baliklah saya. Tak ada apa yang perlu dirisaukan. Life is easy. Begitulah saya selalu memujuk diri sendiri.


Menumpang di Kejiranan Adhamiya

Selepas berpindah keluar dari Asrama yang ditumpangi sementara di Sa’dun, keterbatasan kewangan menyebabkan saya hanya mampu menyewa rumah flat yang terletak di kawasan Pasar Adhamiya, kawasan penempatan rakyat berpendapatan rendah dan sederhana tapi masih berpegang dengan nilai agama yang tinggi.

Masih saya ingati seorang ‘Abu Hallaq’ (tukang gunting rambut) bernama Ra’ad menjadi sahabat baik saya. Juga seorang pemilik kedai membaiki radio dan TV bernama Abu Samir. Tidak ketinggalan seorang pemilik kedai percetakkan bernama Adnan yang selalu saya singgah dalam perjalanan balik dari kuliah.

Abu Hallaq selalu marah sekiranya dalam perjalanan pulang ke rumah dari kuliah, saya tak singgah di kedainya terlebih dahulu. “Kita saudara... singgahlah... sekurang-kurangnya kalau awak tak mahu gunting rambut pun, saya nak tanya khabar awak.” Pesannya penuh ikhlas.

Kadang-kadang bila lama saya tak menjenguknya, Abu Hallaq akan datang mengetuk pintu rumah sambil ‘marah-marah’, bersamanya sedulang makanan yang dikirimkan ibunya untuk saya. Sebab itu saya selalu terfikir, penjajah boleh menakluk, membunuh, merampas, memonopoli hasil bumi serta pelbagai lagi tindakan zalim dan jahat tetapi belum tentu mereka mampu menakluki iman, aqidah serta merubah hati budi masyarakat.

Adnan tuan punya kedai percetakan berhampiran dengan Saddam Medical City, tempat pengajian saya, dia antara sahabat Iraq yang saya kekal ingati. Berbekalkan sebuah Komputer bersama sebuah pencetak laser, beliau mencari rezeki mengambil upah menaip tesis atau apa sahaja yang diminta oleh pelanggan. Penggunaan komputer di Iraq ketika itu masih tersangat terhad. Saya sendiri hanya memiliki sebuah computer dengan processor XT sahaja. Processor Pentium dah dikira sangat mahal.

Disebabkan penguasaan Bahasa Inggerisnya yang agak lemah, apabila saya singgah dikedai percetakanya setelah selesai pembelajaran pada sesi petang, ada sahaja apa-apa yang sedang ditaipnya akan ditunjukkan kepada saya untuk membantunya memperbetulkan apa-apa ejaan yang silap. Selepas itu kami akan sama-sama ke restoran, makan ‘timman wa marak’ (nasi dengan kuah sahaja). Minumnya air sejuk kosong. Lauk ayam atau kambing bukannya boleh selalu dinikmati oleh perantau seperti saya. Bajetnya perlu diperuntukan untuk keperluan yang lebih mendesak terutamanya keperluan pengajian. Saya masih mampu melangkah hanya berbekalkan nasi dan kuah serta sedikit khubuz (roti arab).

Biasanya bila ke kedai atau ke pasar untuk membeli barangan keperluan, sambil tuan kedai membungkus barangan yang saya beli, kesempatan akan diambil untuk bertanya itu dan ini terutamanya nama barangan-barangan yang dijual mengikut panggilan orang tempatan. Contohnya di sana kalau kita mencari beras dengan nama ‘ar ruzz’ mengikut istilah standard, jawabnya kempunanlah kita nak makan nasi sebab Iraq memanggilnya ‘timman’.

Pernah diawal ketibaan, saya yang kelaparan berpusing-pusing mencari restoran yang menjual nasi dengan mengintai perkataan ‘ar ruzz’ yang ditulis pada senarai menu yang terpampan di cermin restoran. Akhirnya hampa dan tidak ketemuan. Rupanya nasi bagi orang Iraq dipanggil ‘timman’ bukannya ‘ar ruzz’! Apatah lagi nasi tersebut memang tak kelihatan sebab ianya diisi di dalam perut ayam yang dipanggang sekaligus. Belah ayam baru keluar nasi!

Pergaulan mesra dengan masyarakat ini menjadikan saya mampu menguasai Bahasa Arab gaya Iraqi dengan begitu cepat sekali malah kata mereka saya telah menjadi ‘lebih Iraq dari Iraq’.


Coaster dan Naazill!!

Berulang-alik dari Bandar Adhamiya lokasi tempat tinggal saya ke kuliah di Bandar Baab al Muadham dengan jarak kira-kira 5 km setiap hari dengan menaiki mini bas yang dipanggil coaster suatu kenangan menarik. Mini bas milik Kementerian Pengangkutam Iraq ini cuma mengenakan tambang sekitar 5 sen sekali naik, tak kira nak turun di mana pun di sepanjang laluannya. Sangat sesuai untuk golongan berpendapatan rendah seperti anggota tentera dan para buruh kasar. Saya tidak terkecuali termasuk antara mereka yang tidak mampu untuk menggunakan perkhidmatan teksi yang jauh lebih selesa. Coaster pun kira memadai, yang penting sampai.

Selalunya saya akan keluar pada awal pagi, bersarapan dulu dengan ‘makhlamah’ (daging hancur digoreng dengan telur dimakan bersama roti arab) di sebuah kedai kopi kecil hadapan Masjid Abu Hanifah sambil membaca meneliti berita-berita tempatan di muka surat khabar ‘al Iraqi’. Maknanya saya setiap pagi akan tengok muka Saddam sebab wajib bagi surat khabar Iraq, muka depannya mesti gambar Saddam!

Diwaktu awal pagi, sesaknya untuk menaiki coaster usah dicerita lagi. Kalau mampu berdiri dengan dua kaki sahaja sudah dikira sangat selesa. Kerapnya cuma ada ruang untuk berdiri dengan sebelah kaki sahaja. Bau badan dan pakaian anggota-anggota tentera yang sudah beberapa hari tak mandi ditambah lagi dengan buruh-buruh kasar usah digambarkan lagi. Sangat ‘wangi’!

Menariknya, coaster ini tak ada loceng. Bila telah sampai ke destinasi yang kita hajati, kita perlu menjerit kepada pemandu “naazill!!!” dengan makna turun! Lucunya bila saya menjerit “naazill” semua orang akan memandang saya sambil berbisik, “Pandai juga orang Jepun ni cakap Arab.” Ha... ha... haa... begitulah selalunya, kita selalu dianggap sebagai Jepun walaupun bila direnung balik muka ini depan cermin, tak nampak pun iras-iras Jepun!

Coaster tidak akan lalu jalan terus di hadapan kuliah sebaliknya akan berhenti di stesen bas Baab al Muadham sebagai perhentian terakhir. Jarak perhentian bas dengan kuliah pengajian saya kira-kira 1 km. Menjadi kelaziman saya menapak 2 km setiap hari pergi dan balik. Kata orang Iraq, menaiki kereta Renault 11. Mulanya saya tak berapa faham kerana yang saya tahu ketika itu hanya model kereta buatan Francis di panggil Renault 12. Rupanya Renault 11 adalah istilah untuk 2 batang kaki yang digunakan untuk berjalan. Musim sejuk, menapak dalam kesejukan yang mencengkam, musim panas, menapak di bawah terik panas matahari... saya pujuk diri ini tatkala keletihan, tak apa Azman, berjalan kaki bagus untuk kesihatan.



Hari ini kawan, esok mungkin sebaliknya...

Mungkin benar ungkapan bahawa orang kaya tidak akan berminat untuk belajar dan bersusah payah. Duit ada minyak serta kekayaan, semuanya mampu dibeli. Sebab itulah di Iraq samada kenderaan, jentera, peralatan pembinaan, peralatan elektrik, pakaian dan makanan termasuk biskut yang mudah untuk dibuat pun turut diimport.

Mereka hanya menggunakan barangan tanpa ada industri untuk menghasilkan pengeluaran barangan. Mungkin juga kerana faktor suasana peperangan yang berpanjangan sebelum ini antara Iran dan Iraq menuntut tumpuan mereka lebih kepada aspek pertahanan.

Pergantungan keterlaluan kepada teknologi asing ada ketikanya memerangkap dan membahayakan diri sendiri. Apabila kontrak pembinaan bangunan-bangunan penting dan strategik yang berkait dengan keselamatan dan kementerian-kementerian penting terutama yang dibina era perang Iran-Iraq banyak diserahkan kepada syarikat-syarikat barat, secara tak langsung akan menyebabkan maklumat strategik berkaitan pertahanan, kekuatan dan kelemahan negara berada di tangan mereka. Amat malang sekali lantaran negara-negara barat yang sebelum ini banyak mendapat kontrak pembinaan di Iraq, akhirnya mereka turut sama bergabung dalam pasukan bersekutu tajaan US.

Tugas mereka untuk menganyang Iraq pastinya menjadi lebih mudah disebakan data-data yang sedia mereka miliki dan maklumi. Malja’(Kubu) Amriyyah contohnya, di mana tragedi pengebomannya mengorbankan ribuan kanak-kanak dan wanita yang ketika itu sedang berlindung di dalamnya. Kubu ini adalah satu kubu perlindungan di bawah tanah yang sangat besar dan kukuh di bina oleh sebuah syarikat Sweeden.

Sekukuh mana pun sesuatu binaan itu, tukang binanya pasti akan tahu di mana kelemahannya. Malang sekali apabila Sweeden turut bersama US dalam Angkatan Bersekutu untuk menyerang Iraq tahun 1991. Hasilnya kubu yang sangat kukuh ini juga berhasil ditembusi Tomahawk Amerika. Natijahnya sangat memilukan. Tragedi Malja’ Amriyyah ini akan diceritakan secara detail dalam bab yang lain.

Kontrak pembinaan jalanraya dan jambatan pula kebanyakkannya dimonopoli syarikat-syarikat dari Korea. Kata orang Iraq, orang Korea semasa kerja buat jambatan dulu, di musim sejuk mereka suka makan anjing. Habis anjing-anjing yang berkeliaran ditangkap dan di 'babeque'. Kononnya daging anjing boleh memanaskan badan dimusim sejuk. Mereka ingat kita ni serupa dengan Korea, sebab itu biasa kita ditanya apakah orang Malaysia makan anjing? Hishh!!

Tiba-tiba ekoran dari tindakan nekad Saddam menceroboh Kuwait pada 1991 yang menyebabkan pasukan tentera bersekutu bersama ‘membelasah’ Iraq disusuli pula dengan hukuman sekatan ekonomi PBB tajaan Amerika, segala kemewahan mereka lenyap tanpa disangka.

Hikmatnya, Iraq mula belajar untuk menghasilkan sendiri barangan keperluan mereka. Ibarat kata, kesusahan dan kesukaran akan mengajar kita berdikari. Ketika tahun-tahun awal pengajian, rasa tak tergamak saya nak menyarung kemeja yang dibeli dari kedai-kedai pakaian mereka. Kualitinya amat teruk, maklumlah mereka baru nak belajar menjahit. Dahulu kebanyakkannya pakai baju import...



Latihan Praktikal di Hospital Saddam

Ketika dulu media hangat membincangkan isu ketidak cekapan pegawai perubatan siswazah lulusan luar negara melakukan kerja-kerja asas kedoktoran, saya terpanggil untuk berkongsi pengalaman. Universiti Baghdad yang menjadi tempat saya menumpang menimba ilmu selama lebih 5 tahun adalah antara sebuah universiti tertua di Iraq malah di rantau Timur Tengah. Di asaskan ketika era Khilafah Uthmaniyyah lagi dan mempunyai rekod kecemerlangan keilmuan yang mengkagumkan. Apatah lagi Kota Baghdad pernah mencatatkan sejarah sebagai pusat perkembangan ilmu bertaraf dunia ketika era Daulah Abbasiyyah.

Tetapi sekatan ekonomi ekoran resolusi 678 PBB tahun 1991yang turut disokong Malaysia ketika itu, susulan dari penaklukan Iraq terhadap Kuwait memberikan impak kepada hampir keseluruhan sistem negara termasuklah sektor pendidikan dan pembelajaran.

Kami dinafikan dari mendapatkan bahan-bahan rujukan terkini dan kelengkapan pembelajaran tidaklah semoden seperti negara-negara Eropah tetapi yang membezakan adalah peluang yang terhidang untuk kami mempraktiskan apa yang dipelajari ketika sesi klinikal seluas-luasnya.
Masyarakat Iraq terutamanya golongan bawahan dan sederhana tidak mempunyai sikap prejudis terhadap saya selaku orang luar. Tidak sedikit pun timbul masalah untuk mendapatkan pesakit pada sesi klinikal malah sebaliknya ramai pesakit Iraq yang lebih percayakan kejujuran dan kemahiran kita orang luar dari pelajar-pelajar Iraq sendiri.

Menjalani latihan praktikal dalam bidang pergigian memang banyak memerlukan kelengkapan peralatan dan bahan-bahan. Sekatan ekonomi menghadkan keupayaan Universiti untuk membekalkan semua keperluan ini kepada para pelajar. Bahan-bahan pergigian untuk rawatan terpaksa dibeli sendiri oleh pelatih-pelatih menyebabkan biasanya pelajar-pelajar tempatan Iraq akan mengenakan sedikit bayaran kepada pesakit-pesakit mereka.

Terhadnya sumber peralatan dan bahan-bahan yang dibekalkan universiti menyebabkan saya memperuntukkan duit belanja seharian yang sememangnya tak berapa banyak untuk menampung apa yang terkurang dari peralatan sehingga bahan-bahan bagi memastikan saya dapat menjalani latihan secara sempurna.

Tanpa sedinar pun bayaran, pesakit-pesakit saya rawat dengan percuma menyebabkan saya agak dikenali di kalangan pengunjung Hospital Saddam Mecical City, tempat di mana para pelatih-pelatih perubatan dan pergigian menjalani latihan praktikal. Mungkin juga kerana saya ini seorang pelajar asing yang berasal dari Jepun! Hehee...

Kadang-kadang biasa saya mengunjungi Pasar Adhamiya, berdekatan rumah sewa bagi mendapatkan pesakit-pesakit yang memenuhi kriteria yang diperlukan terutamanya dari kalangan warga usia emas. Saya akan menjemput mereka dengan teksi di hadapan rumah (walaupun saya sendiri lebih kerap menaiki coaster sahaja), tiba di hospital, pesakit istimewa ini akan saya ajak ke kantin, dijamu sekadarnya kemudian barulah mereka dibawa ke klinik untuk sesi rawatan.

Seseorang pesakit memerlukan 3 atau 4 sesi rawatan sebelum 'case complete'. Begitulah ianya berulang sehingga kes selesai dan kita diberikan markah oleh pensyarah. Peraturan Universiti sangat tegas. Sekiranya bilangan pesakit yang dirawat tak mencapai target, kita akan dihalang dari menduduki peperiksaan akhir. Alamatnya kena ulang tahun sekali lagi. Tentunya hal ini amat mendukacitakan. Sebab itulah tiada istilah sambil lewa.

Ada kisah lucu bercampur sedih . Ada seorang Pak Cik tua di kalangan pesakit saya yang sedang menjalani rawatan, diwaktu pagi sebagaimana biasa saya menjemputnya dengan teksi di hadapan rumah. Tidak sebagaimana biasa, kelihatan ramai tetamu berkumpul di rumahnya dengan khemah dipasang di halaman. Saya mula rasa tak sedap hati kerana suasana sebegini biasanya bila ada kematian. Tepat sebagaimana yang dijangkakan, Pak Cik yang menjadi pesakit saya telah pergi menemui Allah tanpa sempat memakai gigi palsu yang sedang saya siapkan untuknya. Antara kehidupan dan kematian, hanya ajal yang memisahkan kita.

Bersama Prof. Raja' Kammunah yang pernah saya ceritakan sebelum ini, kami mengendalikan kes-kes kecederaan teruk terutamanya luka peperangan. Ratapan keluarga dan sanak-saudara, semuanya sudah lali saya lalui pada usia yang terlalu muda (kira-kira 22 tahun ketika itu) untuk berhadapan dengan ini semua.

Perlu dimaklumi bahawa dalam tempoh sekatan ekonomi, Iraq masih secara berterusan dibom oleh Tomahawk Amerika kerana sebab-sebab dan alasan tertentu yang kadang-kadang dijadikan alasan walaupun kelihatannya sangat remeh umpamanya apabila ada dakwaan Iraq gagal memberikan kerjasama kepada Pasukan Pemeriksa Senjata PBB untuk menjalankan tugas mereka.

Sebagaimana catatan saya sebelum ini, Pasukan Pemeriksa Senjata PBB ini adalah di bawah arahan Agensi Tenaga Atom Antarabangsa PBB yang diketuai oleh seorang diplomat Mesir bernama Mohammed El Baradei. Licik bukan politik US apabila meletakkan seorang yang berbangsa Arab menjadi boneka untuk mengetuai suatu misi bagi menjayakan penaklukan mereka di sebuah negara Arab lain agar kelihatan betapa adilnya mereka!


Syiah dan Nahj al Balaghah

Pernah ketika bermusafir ke Bandar Samarra’ kira-kira 125 km ke utara Baghdad untuk memenuhi undangan seorang teman, rupanya pemandu teksi yang disewa adalah seorang penganut syiah. Melihat saya membawa beberapa buah buku di dalam beg, lantas keluar soalan dari mulut ‘Abu Taxi’ ini... “Buku apa awak bawa?” “Ini buku perubatan, rujukan kuliah saya..” Jelas saya. “Adakah awak memiliki ‘Nahj al Balaghah’?” “Ya!!” Jawab saya pantas. “Bagus!!” Kata ‘Abu Taxi’ itu lagi . “Sekalipun kamu membaca seribu buku, kalau kamu tak membaca Nahj al Balaghah, umur kamu akan rugi!”

Saya ungkapkan hal kisah perjalanan ke Samarra’ di atas kerana ada insiden menarik antara saya dengan penganut syiah di sana yang akan diceritakan nanti. Tetapi dialog dengan pemandu teksi di atas bukanlah asasnya untuk saya menulis topik ini.

Adalah biasa apabila penganut syiah melihat kamu membawa buku, mereka dengan ramah akan menyapa, “Apakah kamu memiliki Kitab Nahj al Balaghah?” Ungkapan “sekalipun kamu membaca seribu buku, kalau kamu tak baca Nahj al Balaghah, umur kamu akan rugi..” seakan sinonim dengan penganut syiah.

Entah berapa ratus kali saya telah mendengarnya walaupun ada sebahagiannya bila saya tanya balik kepada mereka yang bertanya, “apa itu kitab Nahj al Balaghah?” Jawapan yang diterima, “saya pun tak pernah baca lagi!” “Kalau begitu, umur kamu juga dalam kerugian!!” Hehehe... Giliran saya pula untuk menyindir mereka.

Kitab Nahj al Balaghah yang saya miliki ini edisi bahasa Arab, hadiah dari seorang Syeikh Syiah di Kadhimiya ketika saya dibawa oleh seorang teman sekuliah untuk mengunjunginya. Sebagaimana biasa, saya diajukan soalan “Apakah awak memiliki Nahj al Balaghah?” bila saya jawab, belum ada! Lantas saya dihadiahkan sebuah olehnya.

Nahj al Balaghah adalah buku rujukan utama syiah yang dianggap ke 3 pentingnya selepas al Quran dan Hadis, mengandungi koleksi 241 khutbah, 79 surat dan 489 ucapan-ucapan yang dinisbahkan kepada Syaidina Ali k.w. Bilangan khutbah, surat dan ucapan-ucapan ini pula pelbagai dari 238 hingga 241, 77 hingga 79, and 463 hingga 489 dalam beberapa versi dan edisi yang diubah pengarangnya.

Perlu juga dimaklumi, apabila disebut hadis sebagai sumber rujukan ke 2 syiah selepas al Quran, ianya bermaksud hadis yang diriwayatkan oleh perawi-perawi mereka. Tentunya bukan hadis yang diriwayatkan sahabat Nabi seperti Abu Hurairah dan Anas bin Malik r.a.

Nahj al Balaghah telah diterjemahkan ke dalam pelbagai bahasa antaranya edisi Inggeris diberi tajuk ‘Peak of Eloquence’ (Kemuncak Kefasihan). Terdapat juga edisi dalam Bahasa Urdu dan Spanish. Sekitar tahun 2007 dan 2008 selepas kejatuhan Iraq ke tangan Amerika dan syiah menguasai Iraq, dengan biaya Kerajaan Iraq, buku ini diterjemah dalam bahasa Rusia, German dan Romania.
Penganut syiah di Malaysia, edisi Nahj al Balaghah dalam bahasa apa yang anda semua baca?

Buku ini mengisahkan, inilah kononnya riwayat dari kata-kata Syaidina Ali dalam pelbagai bentuk samada khutbah, ucapan dan surat-surat serta menyentuh pelbagai topik, bermula dari penciptaan Dunia, penciptaan Adam, akhir alam semesta sehingga kedatangan Imam al-Mahdi.

Nahjul al-Balagha telah ditulis oleh al Sharif al Radi atau dalam Bahasa Parsi (Iran) dikenali Sharif Razi, seorang penganut syiah yang diakui mereka sebagai ulama’, lahir 930M di Baghdad. Lebih 300 tahun selepas kewafatan Syaidina Ali. Meninggal 977 M, kuburnya terdapat di Karbala’ bersebelahan dengan makam Syaidina Husein.

Kebanyakkan apa yang didakwa sebagai kata-kata, khutbah, ucapan dan surat-surat Syaidina Ali tersebut telah dipindahkan secara lisan, antara generasi ke generasi yang lain, jesteru menyebabkan ia terdedah kepada perubahan dan salah tafsir.

Tiada rantaian riwayat yang kukuh, kuat dan thiqah (dipercayai) sebagaimana sepatutnya. Sharif Razi menyebut bahawa dia menulis apa-apa yang dia dengar dan terserempak. Disiplin tinggi yang diamalkan pengumpul hadis seperti Imam Bukhari dan Muslim sama sekali tidak diberikan perhatian oleh Sharif Razi. Sebab itulah apa yang dihimpunkan dalam Nahj al-Balaghah tidak dianggap sebagai sahih oleh ulama’-ulama’ hadis yang muktabar.



Kena Pusing Kepala...

Samarra’ merupakan Bandar yang menjadi pusat pemerintahan Khalifah al Mu’tasim Billah, Khalifah terakhir kerajaan Abbasiyyah yang dijatuhkan dan baginda terbunuh dalam pencerobohan tentera Mongol Tartar sebagaimana yang saya ceritakan sebelum ini.

Tinggalan kompleks Istana al Mu’tasim Billah masih wujud dan boleh dilawati termasuklah menara masjid berbentuk skru yang dipanggil ‘Malwiyya.’ Ianya sebuah kompleks yang besar lengkap dengan kolam renang yang airnya disalurkan terus dari Sungai Dajlah, tempat bermain kuda, bilik-bilik di bahagian atas dan bawah tanah mengambarkan kehebatan seni bina Islam dan kemewahan kehidupan khalifah ketika itu.

Ketika melawatnya, saya terfikir dari gambaran keadaan kehebatan istana ini, mungkin lantaran kemewahan yang telah menyaluti kehidupan seorang pemimpin negara menyebabkan banyak amanah yang telah dicuaikan apatah lagi apabila kepercayaan mentadbir negara diserahkan kepada Perdana Menteri syiah yang khianat, Alaudin ibnu al Qami dibantu seorang lagi menteri syiah, Nashiruddin Ath-Thusi.

Elemen kelemahan dibantu unsur pengkhianatan dalaman telah menamatkan keagungan khilafah Abbasiyyah pada tahun 656H.

Penduduk di sini majoritinya Muslim Sunni walaupun di Bandar ini terdapat makam Imam Ali al Hadi dan Imam Hassan al Askari yang dianggap oleh penganut syiah sebagai Imam ke 10 dan ke 11 mereka. Makam kedua-dua Imam ini terletak di masjid yang kubahnya di bina daripada emas.

Di sinilah juga penganut syiah meyakini akan lahir Imam ke 12 mereka, Muhammad al Mahdi yang juga dipanggil Imam Mahdi di akhir zaman nanti. Kitab Nahj al Balaghah banyak menceritakan hal kebangkitan Imam Mahdi dengan merujuk kepada kata-kata yang dinisbahkan pengarangnya kepada Syaidina Ali k.w.

Komposisi majoriti Muslim Sunni yang terdapat di Bandar ini menjadikan ia antara target utama serangan hebat tentera Amerika ekoran hebatnya kemunculan gerakan jihad menentang penjajahan di sini di samping sebuah lagi bandar yang terletak di Wilayah Diyala bernama Fallujah.

Umumnya ketika pencerobohan Amerika, di mana lokasi penduduknya Muslim Sunni, di situ Amerika ditentang hebat. Yang paling menyedihkan adalah Fallujah apabila bandar ini dengan penduduknya yang pada pandangan saya paling taat beragama, di ganyang sehabisnya oleh Amerika. Pengalaman menziarahi Fallujah terutamanya ketika Ramadhan akan diceritakan secara detail.

Keadaannya tentu sekali berbeza di wilayah-wilayah majoriti syiah seperti Basrah, Nasiriyyah, Najaf, Karbala’, Kufah dan Babil (Babylon).

Jamek (Masjid) Hasan al Askari juga antara masjid yang menjadi tumpuan utama penganut syiah. Seakan tidak lengkap mengunjungi Samarra’ tanpa menjejakkan kaki ke masjid ini. Kelihatan ramai penganut syiah yang bertawaf di sekeliling makam, sembahyang dan berdoa.

Sedia dimaklumi ini adalah masjid penganut syiah. Tetapi melihat kepada ruang kosong yang masih banyak tambahan pula waktu zohor telah masuk, di satu sudut masjid saya solat seorang diri secara jama’ qasar.

Habis sahaja memberi salam, datang seseorang dari belakang, dengan kasar dipegangnya kepala saya dan dipusingnya sambil bertanya dengan kasar “Apa yang kamu buat???” “Saya solat tuan syeikh..” jawab saya lembut walaupun hati rasa panas sekali diperlakukan begitu. “Solat apa macam ini??” “Saya seorang musafir, saya solat jama’ dan qasar” “kamu dari mana?” “Saya dari Malaysia, maafkan saya tuan, izinkan saya pergi...” Saya tidak berminat memanjangkan pertengkaran.

Keluarlah saya dari masjid tanpa sepatah pun lelaki syiah itu memohon maaf atas perlakuannya terhadap saya. Huh! Nasib baik tak terseliuh tengkuk aku!


Beberapa Soalan Mudah Untuk Syiah

Yang pertama, kenapa kita perlu hidup dengan menyimpan dendam silam yang tak berkesudahan. Kisah pembunuhan Syaidina Husein adalah peristiwa yang telah berlaku lebih 1,000 tahun yang lalu. Ahli-ahli sejarah Islam yang adil dan teliti dalam penulisan menegaskan bahawa yang paling bertanggungjawab atas kematian Husein, yang pertama adalah seorang perusuh dan pembuat fitnah bernama Syamar bin Dzil Jausyin kemudian yang kedua Ubaidillah bin Ziyad (Ibnu Ziyad).

Adapun Yazid bin Muawiyah yang dihadapkan fitnah ini serta dituduh membunuh cucu Rasulullah, dengan linangan air mata ketika menerima berita kematian Husein, sebagaimana dicatatkan oleh Dr Yusuf al ‘Isy seorang pakar sejarah Islam dalam kitabnya Dinasti Umawiyyah.
Yazid berkata, “Aku telah memerintahkan kamu untuk tidak membunuh Husein, semoga Allah melaknati Ibnu Ziyad dan semoga Allah merahmati Husein. Kemudian Yazid memasukkan keluarga Husein ke kediamannya, menetapkan 3 hari untuk berkabung dan Yazid tidak pernah makan kecuali keluarga Husein diajaknya.” Fakta ini juga dicatatkan dalam Kitab Ibid.

Penganut-penganut syiah di Malaysia, kamu kenalkah siapa itu Syamar bin Dzil Jausyin? Kalau tak kenal dan tak pernah dengar nama, tolong tanya dengan orang yang telah mempengaruhi kamu sehingga kamu jadi syiah!

Memang kenyataan ini sangat pahit untuk kamu terima dan kamu masih menuduh Yazid yang membunuh Husein. Doa kamu semua semoga laknat Allah ke atas Yazid dan ayahnya Muawiyah!

Tak apalah... Walaupun kamu tidak mahu membuka hati untuk menerima kebenaran dan terus berpegang dengan pendapat kamu, baiklah... saya ingin bertanya secara mudah. Dalam konteks kita di Malaysia, kamu semua penganut syiah di sini bukannya keturunan Husein dan kami ahli sunnah waljamaah di sini bukanlah juga keturunan Muawiyah!

Kenapa peristiwa yang telah berlaku lebih 1,000 tahun yang tak ada kena mengena sedikit pun dengan kamu, kamu juga tidak pernah mengkaji fakta sebenar di sebalik peristiwa yang berlaku, tetapi peristiwa ini dipendam sebagai nostalgia silam untuk membajai dendam yang tak berkesudahan?

Syiah di Iraq mungkin boleh mendakwa bahawa mereka adalah keturunan Husein, tapi siapa kamu di Malaysia ini? Mereka juga mungkin boleh mendakwa bahawa sunni di Iraq adalah keturunan Muawiyah, tapi apa salahnya kami orang Melayu Islam sunni di sini?

Sesebuah mazhab wujud kerana ikhtilaf (perbezaan) pendapat berkaitan masalah-masalah furu’ dalam agama yang tidak mempunyai dalil yang qat’ie dari al Quran dan Hadis Nabi s.a.w. Ulama-ulama mazhab ahli sunnah waljamaah mempunyai sikap toleransi dan hormat menghormati yang sangat tinggi antara sesama mereka sehingga mereka biasa menyebut, “Ijtihad saya ini benar, tetapi mungkin tersilap. Sekiranya terdapat dalil dan hujah yang lebih kuat dari pendapat saya, maka saya bersedia untuk menariknya balik pada bila-bila masa..”

Imam Shafie pernah ditanya oleh muridnya kenapa beliau tidak menguatkan bacaan ‘Bismillahirrahmaanirrahiimm’ ketika bersolat di sebuah masjid yang mempunyai ramai pengikut Imam Abu Hanifah. Jawab Imam Shafie, “Kerana saya menghormati tuan masjid ini.” Perlu dimaklumi bahawa dalam Mazhab Hanafi, bacaan “Bismillah...” tidak dikuatkan ketika membaca al Fatihah dalam sembahyang.

Ini cuma contoh kecil bagaimana bertoleransinya kami antara sesama ahli sunnah wal jamaah. Tak pernah timbul pun orang Hanafi nak ajak dan mempengaruhi pengikut Sahfie supaya jadi Hanafi seperti mereka! Orang Maliki nak ajak pengikut Hambali supaya jadi Maliki.

Habis tu kenapa kamu orang syiah sibuk sangat nak menyebarkan dakyah kepada orang sunni supaya ikut syiah? Bolehkah sebuah mazhab itu wujud ekoran dari dendam dan pertelingkahan politik zaman silam?

Yang kedua, Apa dosa dan kesalahan yang telah Abu Bakar, Umar dan Uthman buat terhadap kamu pengikut syiah di Malaysia ini sehingga melayakkan sahabat-sahabat nabi yang mulia ini dicerca, dikeji, dicaci sehingga dikafirkan? Dengan mencerca mereka apa yang kamu semua dapat?

Kalau betul mereka telah merampas hak Ali sebagai khalifah, saya nak tanya, telah berapa ribu tahun peristiwa itu berlaku? Apakah dengan terus mendendami Abu Bakar, Umar dan Uthman, maka apakah fakta sejarah mampu diubah dengan meletakkan Ali sebagai Khalifah ar Rasyidin yang pertama?

Apakah dengan terus mendendami mereka bertiga, kamu semua mahu nama mereka dipadamkan dari senarai penjawat khalifah? Cuba kamu beritahu secara jelas, apa sebenarnya yang kamu mahu tanpa perlu beretorik !

Nanti akan ada syiah yang bertaqiyah bahawa dakwaan ini tak betul! Kami tak pernah mencaci Abu Bakar, Umar dan Uthman apa lagi nak mengkafirkan mereka. Kami cuma nak menegur beberapa kesilapan yang telah mereka buat.

Ya!! Silakan tegur sahabat-sahabat Nabi yang telah dijamin syurga ini, kemudian cerminlah diri kamu sendiri!!

Soalan-soalan mudah seterusnya akan menyusul...


Islam agama mudah, kenapa perlu dipermudah-mudahkan?

Topik bagaimana syiah memudah-mudahkan amalan agama antara perbincangan yang sering berakhir dengan suhu panas antara saya dan kawan-kawan penganut syiah. Mereka sering bertegas bahawa mereka mempunyai dalil dan ikutan atas apa yang mereka amalkan. Saya selalu bertegas bahawa dalil mereka terlalu lemah dan tiada sandaran hukum dalam syariat. Selalunya ia akan berakhir, mereka dengan cara mereka, kita istiqamah dengan apa yang kita pegang.

Pendirian kita, Islam adalah agama yang mudah, tapi jangan dipermudah-mudahkan! Syariatnya mencakupi soal-soal yang sangat peribadi termasuk bagaimana nak mensucikan diri dari hadas sehingga kepada urusan pentadbiran negara dan bagaimana nak mengadakan hubungan diperingkat antarabangsa. Semuanya diajar oleh Islam.

Kesyumulannya mencakupi keseluruhan umur manusia bermula semasa seseorang masih dalam kandungan ibunya sehinggalah dia menuju ke liang lahad.

Ibadat-ibadat yang diwajibkan oleh Allah kepada hamba-hambanya dengan aturan dan dalil yang qat’ie (putus) wajib dikerjakan mengikut aturan syariat. Ada Ibadat yang diwajibkan secara harian, seperti solat 5 waktu.

Bagi yang bermusafir ada kemudahan dan hadiah dari Allah kepada hambanya untuk dikerjakan secara solat jama’ dan qasar. Ada juga rukhsah tertentu yang membolehkan solat dikerjakan secara jama’ seperti doktor yang melakukan pembedahan untuk menyelamatkan nyawa.

Berat sangatkah solat 5 waktu sehari semalam bagi penganut syiah sehingga ianya perlu dijama’kan tanpa mengira waktu dan keadaan? Dalil dan hujah memang kamu boleh reka macam-macam tapi bertepatankah amalan kamu semua dengan solat yang diajar Rasulullah s.a.w?

Ada ibadat yang kewajipannya secara mingguan seperti solat Jumaat. Ada pula yang ditunaikan sekali setahun seperti zakat dan puasa sebulan Ramadhan malah ada yang diwajibkan sekali seumur hidup seperti haji.

Aturan-aturan ini membentuk kita ummat Islam menjadi manusia yang berdisiplin tinggi dalam hidup tanpa sedikit pun matlamat dari perlaksanaan syariat ini adalah untuk menyusahkan manusia.

Lantas bagaimana mungkin untuk kita mereka-reka ajaran yang mempermudah-mudahkan agama sedangkan agama sebenarnya telah cukup mudah untuk diamalkan. Ianya terasa sukar sekiranya hati manusia dipenuhi pelbagai wabak dan penyakit yang merbahaya lalu boleh membunuh aqidah.

Rukhsah (keringanan) dan kemudahan telah sedia diberikan oleh Allah kerana Islam bukan agama rigid, kaku dan beku. Ianya bersesuaian dengan fitrah kejadian manusia. Tak mampu solat berdiri, boleh duduk, tak mampu duduk boleh berbaring hatta dengan kerlipan mata sekalipun tetap boleh dikerjakan solat.

Kalau tak mampu puasa Ramadhan dengan sebab-sebab yang syar’ie, ianya boleh diqada’ dibulan yang lain. Tak mampu langsung untuk berpuasa? Boleh digantikan dengan bayaran fidyah.

Zakat, kefardhuannya untuk yang mampu. Bagi yang tak mampu? Mereka adalah penerima, bukan pembayar zakat.

Perkahwinan dalam Islam suatu yang sangat mudah dan penuh kemurnian. Ianya bukan setakat untuk melunaskan syahwat, tetapi di dalamnya ada aspek tanggungjawab dan bagaimana generasi masa depan dibentuk. Yang menyusahkan perkahwinan adalah adat, bukannya syariat.

Perlukah syiah mempermudahkan lagi syariat perkahwinan dengan nikah mut’ah? Cuba jelaskan apakah di dalam nikah mut’ah ada kewajipan nafkah, perlindungan dan kehormatan kepada wanita yang menjadi isteri, tanggungjawab serta hak-hak seorang suami dan isteri, hubungan kekeluargaan antara dua pihak, matlamat untuk melahirkan zuriat serta tanggungjawab terhadap pendidikan anak-anak yang akan membentuk generasi masa depan? Adakah semua ini dalam mut’ah?

Kalau ada, bolehkah hak-hak ini ditunaikan untuk tempoh kontrak 1 bulan, 3 bulan, 6 bulan hatta dalam tempoh setahun sekalipun?

Kalau tak ada, maka apa matlamat sebenar dari kewujudan perkahwinan mut’ah? Sekadar sebagai melunaskan nafsu tanpa sebarang ikatan tanggungjawab? Meletakkan harga wanita di tahap yang begitu rendah dan murah, boleh dikontrakkan kemudian ditinggalkan begitu sahaja? Tak ada manusia yang waras boleh menerima perlakuan ini.

Tolong senaraikan kepada saya, siapakah wanita yang telah dikahwini secara mut’ah oleh Syaidina Ali, Syaidina Husein dan Syaidina Hasan? Mungkin Syaidina Ali jauh sangat dari zaman kita, tak apalah... kalau tak dapat senaraikan, saya nak tanya siapakah isteri mut’ah Imam Ja’far as Sadiq, Imam Musa al Kahdim, Imam Ali al Hadi atau Imam Hasan al Askari?

Kalau ada mereka ini mengamalkan nikah mut’ah, tolong bagi pendetailannya. Kalau tak ada, syariat ini kamu ambik dari mana? Awas!! Jangan babitkan Rasulullah dengan dalil-dalil yang palsu!!

Kisah Ummu Zaid

Membaca berita-berita berkenaan penderaan anak-anak kecil oleh ibu-ibu yang melahirkan mereka membuatkan saya tergerak untuk memasukkan catatan ini.

Seorang teman sekelas bernama Zaid Ghazi Solleh, seorang teman yang baik. Dari tahun pertama lagi saya perhatikan setiap hari beliau akan datang ke kuliah menaiki coaster bersama-sama seorang wanita lingkungan usia 50 an. Wanita tersebut akan menunggu di luar pintu dewan kuliah setiap masa, juga menunggu di luar pintu makmal termasuk menunggu di luar pintu klinik ketika kami menjalani sesi klinikal. Masa makan di kantin pun ditemani bahkan bila Zaid masuk ke bilik air pun, wanita ini akan tetap menunggunya di luar!
Mendengar teman-teman yang lain memanggil wanita tersebut dengan nama ‘Ummu Zaid’, fahamlah saya bahawa beliau adalah ibu kepada teman saya Zaid Ghazi Solleh.

Awalnya, bila melihat kehadiran beliau setiap hari ke universiti, saya menjangkakan bahawa ibu ini adalah salah seorang kakitangan universiti yang mengambil ruang ketika sedang bekerja untuk mengambil berat hal anaknya yang sedang belajar sehingga saya pernah ajukan solan kepada Zaid, “Di bahagian mana ibu awak bertugas?” Dia hanya tersenyum tanpa jawapan. Tetapi timbul kehairanan, kalau Ummu Zaid seorang kakitangan, bila masa dia buat kerja di pejabat sebab seimbas pemerhatian saya memang setiap masa dia ada bersama Zaid!

Kemusykilan ini saya bisikkan dengan seorang teman lain. Rupanya Zaid ini adalah anak tunggal, yatim setelah kematian bapa. Hanya dia dan ibunya di rumah, tiada saudara-mara yang lain. Bagi ibunya, hanya Zaid satu-satunya permata hati. Kepada anak yang seorang inilah ditumpahkan segalanya.

Kasih sayang yang melampau menjadikan Ummu Zaid seorang ‘over protective mother’. Setiap langkah Zaid dituruti. Pernah saya melihat seorang pensyarah menegur perlakuannya, mungkin terasa rimas dengan kewujudan Ummu Zaid pada setiap masa memerhatikan anaknya ini di setiap tempat. Datangnya setiap hari sebelum jam 8.00 pagi. Pulangnya selepas jam 5 petang.

Saya menjangkakan bila kami semakin meningkat tahun pengajian atau dengan erti lain kami semakin dewasa, kebiasaan Ummu Zaid ini akan berkurangan. Rupanya tidak, ibu yang terlalu sayangkan anaknya ini tetap istiqamah datang dan pulang dari kuliah setiap hari bersama anak tunggalnya, sehinggalah 5 tahun tempoh pengajian kami. Mungkin beliau satu-satunya ibu di dunia yang melakukan rutin sedemikian.

Pernah saya bergurau, “Mak Cik... boleh tak saya nak ajak Zaid pergi main bola lepas kuliah nanti?” Kebetulan di Saddam Medical City, ada satu gelanggang macam gelanggang futsal lebih kurang, kadang-kadang kami bersukan bersama-sama selepas habis sesi klinikal. “Tak boleh wahai anakku... nanti jatuh, luka. Siapa yang susah... Mak Cik tak ada orang lain lagi di dunia ini selain Zaid..” Jawab Ummu Zaid serius.

Pernah saya terfikir... Apa akan jadi dengan temanku nanti, bagaimana beliau akan menjadi dewasa? Nanti dia akan menerima ijazah, bekerja, berkahwin dan... apakah ibunya akan terus mengawasi dia dengan ketat? Mampukah beliau berdikari sebab mengikut pemerhatian saya, nak minum segelas air di kantin pun, ibunya akan membelikan untuknya! Sekeping nota nak fotostate pun, ibunya akan tolong.

Syukur kepada Allah. Kami sama-sama menamatkan pengajian. Pengorbanan ibunya boleh dikira sebagai berbaloi. Teman saya Zaid muncul sebagai antara 10 pelajar terbaik. Di sana, 10 yang terbaik akan terus direkrut sebagai tenaga pengajar di Universiti. Hubungan kami terputus dari saat kepulangan saya tahun 1999 sehinggalah dunia FB mendekatkan yang jauh. Sebahagian besar dari teman-teman sekuliah berjaya dihubungi semula kira-kira 2 tahun lepas.

Dari mereka saya mendapat khabar duka, Zaid Ghazi Solleh telah kembali kerahmatullah kira-kira 3 tahun lepas akibat penyakit lelah. Ibunya menyusul tidak lama selepas itu. Tidak dapat saya gambarkan, bagi hakikat Ummu Zaid menerima hakikat kematian anaknya... Semoga Allah merahmati ibu yang berhati mulia ini walaupun kita mungkin mempunyai pelbagai tafsiran dengan apa yang beliau telah lakukan.
Travelog di Bumi Dajlah dan Furat Siri 24
Budak Pencuci Kasut

Hanya mereka yang cekal dan keras hati mampu bertahan di sini. Mungkin saya salah seorang daripadanya. Walaupun begitu, air mata seorang lelaki seperti saya masih tak dapat ditahan dari mengalir apabila suatu hari ketika kami dihantar bertugas di sebuah sekolah rendah untuk pelajar lelaki di tengah-tengah Kota Baghdad bagi program rawatan anak-anak sekolah. Untuk makluman, di Iraq semua sekolah rendah dan menengah diasingkan mengikut jantina.

Ketika kanak-kanak sedang belajar di dalam kelas, saya melihat di luarnya tersusun beberapa buah kotak kayu yang dilengkapi dengan alat-alat mencuci kasut. Ini bukan aktiviti untuk kegiatan ko-korikulum, tetapi anak-anak ini walaupun masih berusia sekolah rendah, apabila habis waktu persekolahan, mereka tidak akan terus pulang ke rumah. Bukan mereka tidak mahu terus pulang ke rumah. Sebaliknya dengan menggalas satu tong berisi alat-alat mencuci kasut tersebut, mereka yang keseluruhannya yatim serta belum mengenal erti sebenar kehidupan ini akan mencari mana-mana lokasi laluan orang ramai untuk menawarkan khidmat mencuci kasut.

Hasilnya yang tak seberapa di bawa balik untuk ibu dan adik-adik perempuan lain di rumah. Walaupun masih kecil, kehilangan ayah di medan perang menyebabkan mereka terpaksa menjadi dewasa sebelum usia. Sememangnya natijah dari peperangan adalah sangat kejam. Kemusnahan infrastruktur dan prasarana boleh dibina kembali. Tetapi kesan kepada kemanusian adalah sangat tragis. Bangunan boleh dibina kembali dengan duit, tetapi bolehkah bencana yang telah menimpa anak-anak, balu-balu dan kaum keluarga serta trauma dahsyat yang dialami mereka di bayar dengan dinar dan dirham? Kepahitan ini akan dibawa dan ditanggung sepanjang hayat kehidupan.

Menariknya kasut yang nak dicuci tak perlu dibuka. Cukup letakkan kaki kita di atas tong kayu yang telah direka khas, kanak-kanak ini akan mencucinya sehingga berkilat walau macam mana kotor sekalipun kasut tersebut. Upahnya tak seberapa, lebih kurang nilai 10 sen sahaja.
Pernah saya mempelawa untuk membawa seorang budak pencuci kasut ini ke Pasar Adhamiya yang berdekatan, lalu dibelikan beberapa keperluan harian supaya dibawa balik oleh anak ini untuk keluarganya.

Uday Saddam Hussein

Catatan berkenaan Iraq tak akan lengkap kalau tidak diceritakan berkenaan anak lelaki sulong Presiden Saddam Hussein dan isteri pertamanya Sajida Tulfah, Uday Saddam Hussein al-Tikriti.

Dilahirkan 18 Jun 1964 ketika bapanya sedang dipenjarakan. Asalnya beliau dilihat sebagai bakal penganti bapanya, tetapi perlakuan buruk, salah laku seks, perlakuan jenayah serta hubungan renggangnya dengan adik beradik yang lain meminggirkannya beliau dari peranan penting Negara.

Uday menamatkan pengajian peringkat menengah dengan markah tertinggi luar biasa yang tak pernah dicapai oleh sesiapa, 100 % dari kesemua 6 subjek! Realitinya, pernah saya diberitahu bahawa guru yang mengajarnya diarahkan mengurniakan markah istimewa kerana beliau anak Presiden dengan markah penuh bagi semua subjek sekalipun Uday menghantar kertas jawapan kosong dalam peperiksaan! Wallahua’lam...

Memasuki Kuliah Perubatan, Universiti Baghdad tetapi Uday hanya belajar di kuliah tersebut selama 3 hari sebelum bertukar ke Kuliah Kejuruteraan, Universiti Baghdad. Saya sangat pasti ramai di kalangan pensyarah kuliah perubatan yang menarik nafas lega dengan pemergian Uday.

Saya menyatakan sedemikian kerana semasa di Universiti Baghdad dahulu, antara teman sekuliah saya adalah anak lelaki Tariq Aziz, bekas Perdana Menteri Iraq dan bekas Menteri Luar Iraq. Saya dapat rasakan bagaimana ketatnya kawalan keselamatan untuk seorang anak Perdana Menteri, apatah lagi untuk Uday, anak seorang Presiden.

Di Kuliah Kejuruteraan, sebagaimana dijangka, sekali lagi beliau berjaya menamatkan pengajian dan muncul sebagai pelajar terbaik dari seramai 76 pelajar di kelasnya! Tentu sekali kedudukannya sebagai anak lelaki Presiden mewajibkan pensyarah mengurniakan markah penuh kepadanya sekalipun beliau lebih banyak ponteng dari hadir ke kuliah!

Tahun 1988, ketika penganjuran satu parti yang dihoskan oleh Suzanne Mubarak, isteri bekas Presiden Hosni Mubarak, Uday terlibat dalam jenayah besar pertamanya, membunuh pembantu peribadi bapanya merangkap tukang rasa makanan (food tester) Kamel Hana Gogeo.

Ada dakwaan yang mengatakan, ia adalah arahan ibunya Sajida Tulfah kerana Gogeo bertanggungjawab memperkenalkan seorang wanita bernama Samira Shahbanbar kepada bapanya yang akhirnya menjadi isteri kedua Saddam. Bagi Uday, hadirnya Samira dalam keluarganya telah merampas hak ibunya.

Ekoran pembunuhan ini, Uday telah dijatuhkan hukuman penjara selama 8 tahun. Tetapi atas permintaan peribadi Raja Hussein Jordan, Uday telah diampunkan oleh Saddam hanya setelah 3 bulan sahaja menjalani hukuman penjara.

Kemudian Uday dihantar ke Switzerland sebagai pembantu duta Iraq di Swiss. Ekoran satu perlakuan jenayah yang dilakukan apabila Uday menikam seorang rakyat Swiss di sebuah restoren, beliau telah dihalau keluar oleh kerajaan Swiss.

Berkahwin dengan anak perempuan Izzat Ibrahim Ad Douri, Naib Presiden Iraq yang juga Timbalan Pengerusi Majlis Pimpinan Revolusi Iraq. Isteri beliau kemudiannya diceraikan.

Memiliki dan menguasai akhbar harian Iraq, Babel dan saluran stesyen TV tempatan, As Shabab TV serta memegang tugas sebagai Presiden Majlis Olimpik Iraq dan Presiden Persatuan Bolasepak Iraq, Uday kelihatan begitu berkuasa tanpa dapat dibantah oleh sesiapa.

Selaku Presiden Majlis Olimpik Iraq dan Presiden Persatuan Bolasepak Iraq, sebuah negara dengan rakyat yang sangat fanatik terhadap sukan bolasepak, Uday meletakkan sasaran wajib menang apabila pasukan bolanya atau atlit Iraq beraksi .

Kekalahan bermakna mereka akan dihukum dan didera, kepala akan dibotakkan. Atlit-atlit yang gagal untuk menang akan dirotan di tapak kaki, lokasi yang mendatangkan kesakitan yang bersangatan tetapi tidak meninggalkan bekas. Uday akan memberikan arahan bertulis tentang berapa kali bilangan rotan yang sepatutnya diterima oleh seorang atlit berdasarkan tahap kegagalan mereka. Atlit-atlit yang gagal akan dipanggil dengan panggilan monyet dan anjing, suatu penghinaan yang amat memalukan bagi orang-orang Arab.

Kegagalan memasuki pusingan akhir Bolasepak Piala Dunia 1994 menyebabkan sebahagian pemain dipenjarakan dan dipaksa menyepak bola yang dibuat daripada konkrit! Kekalahan 4-1 di tangan Jepun ketika pusingan akhir Piala Asia 2000 di Labenon ternyata menjadi petaka buat penjaga gol, Hashim Hassan, pemain pertahanan, Abdel Jabbar dan penyerang, Qahtan Chatir apabila mereka dipersalahkan dan diseksa selama 3 hari oleh pengawal-pengawal Uday.

Selalu juga diceritakan bagaimana gadis-gadis Iraq ramai yang dilarikan untuk menjadi mangsa kebuasan nafsu Uday, tanpa pernah diadili. Ada yang akhirnya membunuh diri atau dibunuh keluarga sendiri untuk menutup aib.

Antara kegemaran pelik Uday adalah memelihara binatang buas seperti singa, cheetah dan harimau di rumahnya. Singa selalunya menjadi lambang kegagahan dan keberanian sehingga ada yang menamakan anak lelaki mereka dengan nama ‘Haidar’ bermakna anak singa.

Uday Saddam pernah membelasah sehingga tidak sedarkan diri seorang pegawai tenteranya yang enggan membenarkan beliau menari bersama isterinya. Pegawai tentera tersebut akhirnya meninggal dunia di hospital. Ada anggota tentera yang tidak memberikan tabik hormat kepadanya ditembak mati.


Satu tragedi hitam telah berlaku sekitar Disember tahun 1996 di Wilayah Mansour, Baghdad ketika beliau sedang memandu Porsche di mana satu serangan hendap bertujuan membunuh Uday berlaku. 8 butir peluru yang singgah di tubuhnya menyebabkan kecederaan parah kepada anak lelaki sulong Saddam ini sehingga memaksa satu pasukan pakar bedah diterbangkan dari Francis ke Hospital Ibnu Sina, Baghdad untuk berusaha menyelamatkan nyawa beliau.

Jangkaan awal beliau akan lumpuh. Beberapa pembedahan berulang kali dilakukan untuk mengeluarkan peluru tetapi satu peluru masih melekat di tulang belakangnya yang terlalu hampir dengan saraf tunjang dan tidak dapat dikeluarkan. Beliau pulih walaupun terpaksa bertongkat.

Terselamat dalam serangan pertama dan setelah melalui pelbagai episod hitam dalam hidupnya, tanggal 22 Julai 2003 adalah hari terakhir Uday melihat matahari apabila beliau terbunuh dalam serangan hendap anggota marin US di sebuah rumah yang terletak di daerah Mousul, bahagian utara Iraq.

Wolkswagen Buruk dan Istana Saddam

Kawasan di sekitar Istana Presiden Saddam Hussein termaktub sebagai kawasan larangan dengan kawalan ketat ketenteraan. Kawalan ini merangkumi pos kawalan termasuk juga meriam penangkis pesawat. Laluan jalan raya di hadapan istana diwartakan sebagai kwasan larangan berhenti untuk semua kenderaan. Mungkin sebagai langkah berjaga-jaga terhadap sebarang ancaman serangan.

Jalan di hadapan salah satu Istana Saddam dipanggil ‘Qasr Jumhuri’ atau Istana Republik merupakan laluan saya setiap hari untuk pergi dan balik dari kuliah. Malangnya setelah hampir 6 tahun saya berulang-alik di situ, bayang Saddam pun tak pernah kelihatan. Apatah lagi nak tengok tuannya. Qasr Jumhuri adalah sebuah istana yang sangat besar dan indah sesuai dengan status pemiliknya seorang Presiden negara yang kaya dengan minyak.

Terdetik juga hati saya, mungkin suatu hari, aku akan berpeluang berselisih dengan Saddam Hussein, tapi hanya gambar besar beliau dengan aksi melambai tangan tersergam di hadapan istana yang setia melambai tangan kepada saya setiap hari. Jadilah…

Mungkin telah tertulis, kawasan perkarangan istana ini akan merakamkan kenangan yang tak dapat saya lupakan. Seorang kawan sekelas bernama Umar Faiq, Bila bernama Umar tentunya dia seorang sunni. Suatu petang selesai habis kuliah, beliau mempelawa untuk menghantar saya balik ke rumah dengan keretanya, Wolkswagen model lama buatan Jerman atau dipanggil di Malaysia sebagai kereta kura-kura. Satu-satunya model kereta yang enjinnya di belakang.

Saya pastinya menerima perlawaan ini dengan senang hati. Ianya tentu lebih lumayan dari saya menaiki Renault 11 ke stesen bas. Di Iraq sistem pemanduannya di sebelah kiri sebagaimana yang diamalkan di Amerika.

Tanpa direncana, sampai saja betul-betul di hadapan istana, wolkswagen kura-kura kawan saya ni meragam dan enjinnya terus mati secara tiba-tiba. Ya Allah… terus sekumpulan askar menyerbu kami dengan Kalashinkov AK 47 dihalakan betul-betul ke arah kami. Bukan itu sahaja, muncung meriam penangkis pesawat juga dipusingkan ke sasarannya. Saya keluar dengan tangan di kepala sambil memaklumkan bahawa kami ini pelajar. Saya pula orang Malaysia sambil mengeluarkan kad permastautin untuk ditunjukkan kepada mereka.

Kami disoal dengan kasar dan tegas. “kamu tak tahu ini kawasan larangan berhenti??” “Tahu tuan! Sebenarnya kereta kami rosak, enjinnya mati…” jelas saya dalam ketakutan. “Ooo.. begitu..” Nada suara pegawai tentera tersebut mula menurun. Alhamdulillah… lega… penjelasan saya diterima.

Tapi timbul pula satu lagi masalah lain. Mereka tak membenarkan kereta diperiksa di situ sebaliknya diarahkan supaya ditolak ke tempat lain yang jauh dari kawasan istana. ‘Baiknya’ askar-askar ini. Tak pula mereka turut sama menolong menolak kereta kura-kura yang sangat berat ini. Sebaliknya hanya melihat saja, saya dan Umar Faiq bermandi peluh menolaknya. Fuuhh!!

“Pesan saya kepada Umar… “jangan jual kereta ni, simpanlah sebagai kenang-kenangan antara kita…”

Revolusi demi revolusi

Saya melihat masyarakat Iraq mempunyai jiwa memberontak. Mereka selalu berfikir untuk memberontak dan melakukan revolusi. Sejarah mungkin membentuk cara mereka berfikir. Jatuh bangun pemimpin mereka hampir kesemuanya dengan pertumpahan darah. Saya cuba gambarkan sejarah panjang jatuh bangun dan pertumpahan darah ini dengan seringkas mungkin.

Iraq adalah sebahagian dari Khilafah Uthmaniah yang berpusat di Turki. Kemudian rakyat Iraq sendiri yang membantu tentera Inggeris melawan askar-askar Uthmaniah dalam Perang Dunia Pertama kerana tertipu dengan dakyah Inggeris kononnya orang-orang Uthmaniah Turki adalah penjajah dan Inggeris datang untuk membantu membebaskan Iraq.

Ramai orang-orang Iraq yang saya ajukan persolan berkenaan Khilafah Uthmaniah tidak mengakui bahawa Uthmaniah adalah sebuah khilafah tetapi menganggap sebagai penjajahan. Mungkin mereka diselewengkan dengan sejarah yang diajar di sekolah-sekolah. Putar belit sejarah ini berlaku di mana-mana termasuk di negara kita.

Kejatuhan Uthmaniah meletakkan Iraq di bawah British bermula 1921. British lah yang melantik Faisal bin Hussein sebagai Raja di Iraq pada 1921. Faisal adalah anak lelaki kepada Sherif Hussein bin Ali, Sharif Mekah ketika itu. Keluraga di Raja Saudi sekarang adalah berasal dari keluarga Sherif Hussein. Bermula 1921 sehingga 1958 Iraq adalah sebuah negara monarki.
Tanggal 14 Julai 1958 Raja Iraq yang terakhir, Raja Faisal II dijatuhkan dalam satu revolusi ketenteraan yang dipimpin Jeneral Abdel Karim Qaasim.

Semua keluarga Diraja Iraq samada tua muda, lelaki perempuan dan kanak-kanak terbunuh dan dibunuh dalam revolusi ini. Mayat Abdul aI Ilah, bapa saudara Raja Faisal II yang ketika itu sedang memangku kuasa raja disebabkan Raja faisal II masih usia kanak-kanak diseret dengan kenderaan di sekitar Jalan ar Rasyid di tengah-tengah Baghdad sehingga ianya hancur menjadi cebisan-cebisan daging. Kemudian mayat ini digantung untuk tontonan umum.

Semua keluarga diraja ini dikuburkan di satu perkuburan di Adhamiya dipanggil ‘Maqbarah Malikiyyah’ tidak jauh dari lokasi rumah sewa saya.
Jeneral Abdel Karim Qaasim memerintah Iraq sebagai Perdana Menteri sejurus selepas pemerintahan beraja ditamatkan di Iraq pada 1958 sehingga beliau dijatuhkan apabila berlaku Revolusi yang diterajui Parti Baath, sebuah Parti Sosialis Arab pada tahun 1963 dikenali sebagai ‘Thaurah Ramadhan’ atau Revolusi Ramadhan. Jeneral Abdel Karim Qaasim ditembak mati.

Revolusi Ramadhan pada 8-10 Februari 1963 ini mengorbankan kira-kira 5,000 nyawa. Walaupun Jeneral Abdel Karim Qaasim menyerah diri dan memohon untuk keluar dari Iraq dengan selamat, permohonan beliau ditolak oleh Ketua Majlis Pimpinan Revolusi dan beliau dijatuhkan hukuman ditembak mati. Mayatnya dipamerkan dikaca TV.

Parti Baath yang mengepalai revolusi ini berjuang dengan motto ‘Wahdah, Hurriyyah, Isytiraqiyyah’ bermakna ‘Penyatuan, Kebebasan, Sosialis’. Kejayaan Revolusi Ramadhan ini mengangkat Presiden pertama dari Parti Baath bernama Jeneral Abdul Salam Arif sementara Jeneral Ahmad Hassan al Bakr sebagai Perdana Menteri.

Abdul Salam Arif berkuasa sehingga April 1966 apabila beliau terbunuh dalam nahas helikopter yang disyaki perbuatan khianat. Abangnya Jeneral Abdul Rahman Arif mengantikan beliau.

Abdul Rahman Arif adalah antara personal militer yang terlibat dalam revolusi menggulingkan pemerintahan beraja pada tahun 1958 untuk mengangkat Ketua Turus Angkatan Bersenjata ketika itu, Abdel Karim Qaasim sebagai Perdana Menteri. Kemudian Abdul Rahman Arif juga terlibat dalam Revolusi Ramadhan tahun 1963 untuk menjatuhkan Abdul karim Qaasim.

Perlantikan Abdul Rahman Arif mendapat sokongan kuat dari Presiden Gamal Abdel Nasser dan Iraq turut menghantar tentera dalam Perang Enam Hari menentang Israel.

Pada tarikh 17 Julai 1968, Sebagaimana dulu apabila Jeneral Abdul Rahman Arif dan Adiknya Abdul Salam Arif merampas kuasa dari Perdana Menteri Abdul Karim Qaasim pada 1963, sekarang beliau pula berada di pihak yang dirampas. Kekuatan ketenteraan yang dipimpin Menteri Pertahanan ketika itu, Hamdan at Tikriti menjatuhkan beliau dalam satu rampasan kuasa tanpa pertumpahan darah.

Bila saya catatkan Menteri Pertahanan Iraq, Hamdan berasal dari Qabilah at Tikriti, bermakna beliau berasal dari Qabilah yang sama dengan Saddam Hussein.

Jeneraal Abdul Rahman Arif mendapatkan perlindungan politik di Turki selepas kejatuhannya dan beliau hanya pulang ke Iraq selepas Saddam Hussein menduduki kerusi Presiden pada tahun 1979. Kejatuhan Saddam di tangan Amerika pada 2003 menyebabkan Abdul Rahman Arif berkelana membawa diri ke Jordan dan beliau meninggal dunia pada 2004.

Kejatuhan Abdul Rahman Arif mengangkat Jeneral Ahmad Hassan al Bakr sebagai Presiden baru Iraq bermula 17 Julai 1968 sehingga 16 Julai 1979, tarikh di mana bermulanya era Saddam Hussein.

Rata-rata masyarakat Iraq yang saya temui mengingati era Ahmad Hassan al Bakr sebagai Presdien adalah zaman keemasan Iraq dari segenap segi samada keamanan, kemakmuran, kedamaian dan pembangunan. Perkembangan ekonomi juga berlaku dengan pesat dan Iraq dilihat memainkan peranan penting dalam politik di rantau Arab.

Ketika ini Saddam adalah Timbalan Presiden yang secara beransur-ansur mengukuhkan kedudukannya di dalam parti dan kerajaan sehinggalah akhirnya Ahmad Hassan al Bakr terpaksa berundur dengan terhormat pada Julai 1979 dengan ‘alasan kesihatan’ walaupun sebenarnya faktor Saddam yang memainkan peranan utama.

Ahmad Hassan al Bakr meninggal dunia pada tahun 1982.
16 Julai 1979, bermulalah era SADDAM HUSSEIN AT TIKRITI…

Syari' Abu Nuwas

Di Baghdad ada satu jalan dinamakan Syari' Abu Nuwas (Jalan Abu Nuwas). Jalan ini terletak di sepanjang tebing Sungai Dajlah sepanjang kira-kira 2.5 km. Di kawasan berhampiran dengan Sungai Dajlah ini pula terletaknya sebuah taman dipanggil Hadiqah Abu Nuwas (Taman Abu Nuwas). Ketika saya menumpang tinggal seketika di Asrama Sa’adun yang berdekatan dengan lokasi ini, Taman Abu Nuwas ini pernah menjadi tempat kami bermain bola sepak.

Abu Nuwas dilahirkan pada tahun 756 M di Iran tetapi berhijrah dan menghabiskan masanya dari usia kanak-kanak sehingga meninggal dunia pada tahun 814 M di Baghdad. Satu nama yang cukup terkenal dalam ‘Hikayat 1001 Malam’ dengan kisah-kisah lucunya.

Dalam satu versi dari hikayat kehidupannya, hayat beliau banyak dikaitkan dengan arak dan perempuan sementara ada versi lain yang mengambarkan kehidupan Abu Nuwas sebagai seorang penyair, penulis kesusasteraan Arab yang luas ilmunya.

Seorang penulis Arab yang sezaman dengannya, Ismail bin Nubakht mencatatkan berkenaan Abu Nuwas: "Saya tidak pernah melihat seorang lelaki yang pembelajarannya lebih luas daripada Abu Nuwas, ingatannya sangat kuat dan kaya dengan pengetahuan, walaupun beliau hanya memiliki begitu sedikit buku. Selepas beliau meninggal dunia kami menemui hanya sebuah buku di rumahnya di mana di dalam buku tersebut terdapat koleksi ungkapan-ungkapan yang jarang disebut dalam ilmu tatabahasa Arab.

Mungkin mengambil versi hikayat Abu Nuwas dari sisi hitam kehidupannya yang bergelumang dengan arak dan perempuan, Jalan Abu Nuwas ini merupakan lokasi hiburan di pinggiran Sungai Dajlah. Terdapat di situ deretan bar-bar yang bersaiz kecil tetapi menghidangkan minuman arak. Perlu dimaklumi sebagaimana yang pernah saya catatkan, bahawa Iraq adalah sebuah negara sosialis di mana arak dibenarkan dijual secara meluas. Jangan terkejut kalau penjaga pintu bar juga berjubah putih lengkap dengan serban dan igal kerana jubah serban adalah pakaian kebangsaan mereka.

Lokasi di sekitar Jalan Abu Nuwas juga adalah sasaran pelanggan ‘fiki-fiki’ mengikut istilah orang Iraq. Nak tahu apa makna fiki-fiki? Kalau di negara kita, lokasi fiki-fiki yang masyhur adalah Lorong Haji Taib! Kesian tuan punya nama Haji Taib, sebagaimana bila saya membaca sudut positif dari kehidupan Abu Nuwas, saya kesian bila namanya digunakan untuk suatu lokasi hitam seperti ini.

Abu Nuwas seorang figur yang cerdik dan penuh helah. Selalunya beliau dijadikan sasaran Khalifah Harun ar Rasyid yang memerintah ketika itu untuk menguji kepintarannya.

Suatu hari khalifah memanggilnya lalu ditunjukkan sebuah lesung batu yang telah pecah. “Wahai Abu Nuwas, lesung batu kesayangan beta telah pecah. Beta boleh mendapatkan lesung batu yang baru dari pasar, tetapi beta sangat sayangkan lesung batu ini. Sekarang beta perintahkan kamu supaya menjahit lesung yang pecah ini dan pastikan ia menjadi elok seperti sediakala!” Perintah Khalifah dengan tegas. “Kalau perintah beta tak berjaya kamu laksanakan, kamu akan dihukum!”
“Baiklah tuanku... berikan patik masa sehari semalam untuk menyiapkan tugasan ini.” Jawab Abu Nuwas dengan yakin. Tujuan khalifah nak mempermainkan Abu Nuwas. Mari kita tengok siapa yang kena...

Keesokkan harinya, pagi-pagi lagi Abu Nuwas ke istana dengan lesung batu khalifah dibawanya bersama lalu masuk mengadap. Lantas khalifah bertanya, “Abu Nuwas, mana lesung batu beta?” Lalu ditunjukkan oleh Abu Nuwas lesung batu yang pecah belum diperbaiki. “Kenapa kamu tak jahit lesung itu sebagaimana perintah beta??”

Jawab Abu Nuwas, “Tuanku, bukannya patik ingkarkan perintah tuanku untuk menjahit lesung batu ini. Cuma bila patik cari di rumah patik, rupanya patik hanya ada benang kain. Nak jahit lesung batu, kita perlukan benang batu. Patik datang ni nak bertanya tuanku, kalau sekiranya tuanku memiliki benang batu, tolong berikan kepada patik supaya lesung ini dapat dijahit.” “Ooo... kalau benang batu, beta pun tak ada memilikinya wahai Abu Nuwas.” “Kalau begitu, baik tuanku beli saja lesung batu baru di pasar!” Pintas Abu Nuwas.

Ha... ha... haa... Khalifah telah terkena. Abu Nuwas diberikan hadiah oleh khalifah. Pulanglah beliau dengan senang hati.


Saddam Hussein al Majid at Tikriti

Info menarik berkaitan Saddam

Lahir di perkampungan al Awja di Wilayah Tikrit, sebuah wilayah di utara Iraq pada 28 April 1937 dari sebuah keluarga pengembala kambing. Maut di tali gantung pada 30 Disember 2006 ketika berusia 69 tahun. Perkataan ‘Sadd’ dalam bahasa Arab bermakna empangan. Nama Saddam memberi maksud ‘seseorang yang sentiasa bersedia untuk mengadapi’.

Saddam tidak pernah mengenali bapanya Hussein al Majid yang menghilangkan diri ketika usia beliau 3 bulan dalam kandungan ibunya. Bapa tirinya, Ibrahim al Hassan memperlakukan beliau dengan kasar dan keras. Mungkin memori pahit ketika kecil bersama bapa tirinya membentuk cara Saddam berfikir dan bertindak.

Selepas menghabiskan pengajian di sekolah menengah, Saddam memasuki kuliah undang-undang di Iraq tetapi meninggalkan universiti pada tahun 1957. Di usia 20 tahun, walaupun masih terlalu muda, beliau turut terlibat dalam Revolusi 14 Julai 1958 yang meletakkan batu nesan kepada semua keluarga Diraja Iraq dan mengangkat Jeneral Abdul Karim Qaasim sebagai Perdana Menteri.

Sesuai dengan makna namanya sebagai seorang yang sentiasa bersedia untuk menghadapi apa saja, pada tahun 1959, Saddam yang ketika itu seorang pegawai muda dalam tentera terlibat pula dalam cubaan bunuh terhadap Perdana Menteri Abdul Karim Qaasim sedangkan sebelum ini dia antara salah seorang yang terlibat mengangkat Perdana Menteri ini. Konvoi Perdana Menteri diserang di Jalan Ar Rasyid di tengah-tengah Baghdad tetapi tembakan yang tidak tepat dari Saddam Hussein menggagalkan cubaan bunuh ini dan Saddam melarikan diri ke Mesir.

Antara alasan cubaan bunuh ini kerana Perdana Menteri Iraq tersebut menolak cadangan Presiden Mesir, Gamal Abdul Nasser menggabungkan beberapa negara Arab termasuk Iraq dan Mesir bagi membentuk ‘United Arab Republic’.

Di Mesir, beliau menyambung semula pengajian undang-undang yang tergendala dulu. Presiden Gamal Abdel Nasser sangat mengasihinya sehingga beliau dijadikan anak angkat Presiden. Sebab itulah saya pernah mendengar ungkapan Saddam yang menyebut, “Bapaku Gamal Abdel Nasser...”

Kembali semula ke Iraq pada tahun 1964, ketika itu negara di bawah pemerintahan Presiden dari Parti Baath yang turut dianggotai Saddam, Presiden Abdul Salam Arif. Kerana kesalahan terlibat dalam cubaan bunuh dan melarikan diri dari Iraq sebelum ini, Saddam dipenjarakan pada 1964 sekembalinya beliau ke Iraq.

Akhirnya pada tahun 1967 beliau dibebaskan yang sebenarnya tindakan pembebasan individu seperti Saddam ini seolah memakan diri sendiri bagi Presiden Abdul Rahman Arif yang memerintah ketika itu.

Saya katakan memakan diri kerana pembebasan itu memberi ruang kepada Saddam untuk merancang rampasan kuasa tanpa pertumpahan darah bersama-sama Jeneral Ahmad Hassan al Bakr sehingga menjatuhkan Presiden Abdul Rahman Arif pada 1968. Jeneral Ahmad Hassan al Bakr diangkat sebagai Presiden pada 1968, sementara Saddam sebagai timbalannya.

Ahmad Hassan al Bakr memerintah sehingga 1979 apabila kuasa diserahkan kepada Saddam pada 16 Julai 1979.

Saya selalu menyebut, Saddam seorang yang sukakan peperangan. Buktinya, bermula tahun 1979 beliau menjadi Presiden, lebih kurang setahun selepas itu pada September 1980 bermulalah Perang Iran-Iraq. Sebabnya kenapa berlakunya perang ini perlu dibincangkan secara khusus. Perang Iran-Iraq berakhir pada 8 Ogos 1988. Hanya 2 tahun tanpa peperangan.

Selepas itu pada 2 Ogos 1990, Kuwait pula diserang. Sebabnya juga pelbagai, antaranya Iraq menuduh Kuwait mencuri minyaknya secara ‘penggerudian condong’. Maknanya penggerudian di lakukan di dalam Wilayah Kuwait yang bersempadanan dengan Iraq tetapi dilakukan secara menyondong lalu memasuki wilayah Iraq melalui dalam bumi.

Ada juga dikatakan alasan, ia berpunca kegagalan Iraq membayar balik hutang kepada Kuwait yang berjumlah USD80 bilion. Dana yang dipinjam untuk membiayai kempen Perang Iran-Iraq sebelum ini. Suka dimaklumi bahawa negara-negara Arab berdiri di sebelah Iraq ketika era Perang Iran-Iraq. Mungkinkan atas dasar semangat asobiyyah Arab?

Tindakan Kuwait yang meningkatkan pengeluaran minyak mereka sehingga menjejaskan pendapatan negara-negara pengeluar yang lain termasuk Iraq juga dikatakan antara puncanya.

Kelemahan pertahanan Kuwait digambarkan apabila pencerobohan Iraq ke atas Kuwait hanya mengambil masa selama 2 hari sahaja. Tentera elit Iraq, Iraqi Republican Guard ternyata tidak diberikan tentangan oleh tentera Kuwait. Beberapa hari selepas itu, Saddam mengistiharkan Kuwait adalah ‘Wilayah ke 19 Iraq’.

Bersambong………


Stumble
Twitter
Digg
Facebook
Yahoo
Feed

Tiada ulasan:

kosong

Receive all updates via Facebook. Just Click the Like Button Below

Powered By Blogger Widgets

kosong