INI BLOG PENEROKA FELDA ADMIN HANYA MENYOKONG GERAKKAN ISLAM ALIRAN SUNNAH WAL JAMAAH SAHAJA

"Felda untuk Felda dan Generasinya"
Orang luar boleh masuk tapi di bawah kuasa Felda ..
Bukanya masuk untuk menguasai Felda.

“Dalam Isu FELDA
Berkaitan Ketidak Puasan Hati,
Komplen Dan Rungutan
Didalam Blog Ini
Ia Terlebih Dulu Telah Dibawa Berunding
Diperingkat Rancangan

SABUN MADU KELULUT.

10 ARTIKAL TERKINI

CARIAN BLOG INI

Jumaat, Jun 27, 2014

USTAZ ABU BAKAR CHIK DARI KACAMATA USTAZ ARIS HAMZAH DAN VIDEO AMANAT TERAKHIR ALLAHYARHAM.

..::Ustaz ‘Kor’
Setakat Yang Saya Kenal::..

Biarpun pelbagai label dilemparkan kepada pengajian di institusi pendidikan Islam di Pakistan, saya rasa beruntung dapat peluang belajar di sana dari 1991 hingga 1995. Di sana saya berguru dengan guru-guru yang hebat. Di sana saya kenali manusia dari pelbagai bangsa dan latar belakang. Saya dapat menguasai Bahasa Arab ketika belajar di sana.

Beruntung juga saya dapat mengenali gerakan-gerakan Islam dari serata dunia. Kala itu saya sering menulis di dada akhbar khususnya Harakah dalam ruangan antarabangsa. Saya sering mengulas isu-isu politik antarabangsa kerana saya mendapat pendedahan yang banyak ketika belajar di sana.

Satu lagi keuntungan ialah saya dapat kenal dan berhubung rapat dengan pemimpin-pemimpin PAS yang ketika di Malaysia saya hanya mengenali mereka menerusi media dan memandang mereka di atas pentas ceramah dari jauh.

Pakistan ialah destinasi yang sering dikunjungi oleh pemimpin PAS.


Mereka datang dengan berbagai-bagai urusan. Ada yang datang kerana urusan peribadi atau menziarahi anak yang sedang belajar di sana. Ada yang datang dengan undangan dari gerakan Islam di Pakistan atau Afghanistan. Seringkali juga pemimpin-pemimpin PAS datang kerana menghadiri seminar, ijtima’ atau konvensyen gerakan-gerakan Islam dunia dan sebagainya.

Pernah di suatu ketika Presiden PAS, Ustaz Fadhil Noor dan timbalannya, Tuan Guru Haji Abd Hadi dijemput menyertai delegasi pimpinan-pimpinan gerakan Islam dunia untuk bertemu dengan pemimpin-pemimpin mujahidin yang bertelagah. Misi damai mereka singgah di Pakistan sebelum bergerak ke Kabul. Ketika di Pakistan, mereka sempat mengadakan pertemuan dengan pelajar-pelajar Malaysia di Karachi, Lahore dan Peshawar.

Saya merasa sangat beruntung ketika itu kerana berpeluang makan bersama, duduk bersama dan solat berjamaah bersama dengan tokoh-tokoh hebat dunia termasuk Al Marhum Ustaz Mustafa Masyhur (Mursyidul Am Ikhwan Mesir), Al Marhum Najmuddin Arbakan (ketua umum Refah Partisi yang kemudiannya menjadi Perdana Menteri Turkey), Al Marhum Qadzi Husain Ahmad (Amir Jamaat e Islami Pakistan), Dr Hasan Turabi dari Sudan dan lain-lain.

Ustaz Abu Bakar Chik (ABC) yang mesra dengan panggilan Ustaz Kor, antara tokoh dari Malaysia yang sering berkunjung ke Pakistan. Ketika itu beliau adalah Ketua Pemuda PAS Pusat. Antara misi utama kedatangan beliau ialah untuk menyatukan pelajar-pelajar Malaysia yang berpecah belah.

Ketika saya tiba di Karachi April 1991, pelajar Malaysia sangat ramai di sana. Ada yang belajar perubatan dan sebahagian besarnya belajar agama. Yang belajar perubatan, mereka terpaksa menyertai Kelab Umno kerana syarat kemasukan ke kolej perubatan mesti melalui kelab berkenaan. Yang belajar agama pula mereka kebanyakannya berfikrah PAS. Ada juga tabligh dan Abim, tapi tidak ramai.


Yang berfikrah PAS pula mereka berbalah sesama mereka atas beberapa isu yang saya kurang minat untuk mengulas. Berlaku perbalahan dalam MISG (Malaysian Islamic Student Group) sehingga ada kejadian tumbuk menumbuk.

Golongan yang tidak berpuas hati menubuhkan pula ISMU (Islamic Studies Of Malaysian Student). Kesemua pihak mengaku merekalah yang benar. Saya mengambil sikap non-partisan. Tak suka gaduh. Apatah lagi saya pelajar baru. Saya berkawan dengan semua pihak.

Dalam menyelesaikan perbalahan pelajar ini, beberapa kali pimpinan PAS datang termasuklah Dato’ Mustafa Ali dan Ustaz Kor. Paling saya ingat kedatangan Ustaz Kor pada November 1991. Satu himpunan pelajar Malaysia diadakan di Mansurah, Lahore.

Mansurah ialah markaz tarbiah pusat Jamaat e Islami Pakistan. Dalam perhimpunan itu Ustaz Kor memberikan ucapan dan peransang betapa perlunya pelajar Malaysia bersatu padu. Ia penting bagi meneruskan kesinambungan perjuangan Islam di Malaysia.

Jika perpaduan tidak dibina, dibimbangi pergaduhan ini akan melarat ke tanah air apabila mereka pulang nanti. Dengan semangat perjuangan yang ditiupkan oleh Ustaz Kor dalam himpunan itu, maka satu resolusi dicapai iaitu membubarkan semua persatuan yang ada di Pakistan dan India, lalu semua bergabung di bawah satu persatuan baru yang diberi nama MASA PAKINDO.

Lantas dengan itu MISG (Karachi) dibubar, ISMU (Karachi) dihapuskan, MASA Lahore dikuburkan, persatuan pelajar di India (saya tak ingat namanya) juga dibubar. Semuanya menjadi cawangan-cawangan MASA PAKINDO. Persatuan UKHUWWAH di Islamabad tidak dibubar untuk menjaga hubungan dengan pihak kedutaan Malaysia. Namun ahlinya yang berfikrah PAS menubuhkan MASA PAKINDO cawangan Islamabad dan Peshawar.

Ustaz Shaari Mustafa dilantik sebagai Amir atau Presiden pertama MASA PAKINDO. Walaupun ada yang tidak bersetuju kerana beliau adalah mantan Presiden ISMU yang terlibat dalam perbalahan dengan MISG sebelumnya, namun kami sepakat kerana soal kepimpinan adalah sesuatu yang tidak kekal. Jika tidak berpuas hati dengan kepimpinannya, muktamar tahun-tahun berikutnya boleh memilih presiden yang baru.

Dari situ bermulalah lembaran baru bagi perjuangan pelajar-pelajar Malaysia di Pakistan. MASA PAKINDO berperanan menjaga kebajikan pelajar-pelajar ini lebih dari peranan yang dimainkan oleh pihak kedutaan.

Ustaz Kor menjadi rujukan kami dalam banyak perkara. Beliau tidak kekok bergaul, makan minum, tidur bersama kami yang masih remaja. Apabila pulang ke Malaysia, pelajar-pelajar ini akan berkunjung ke Terengganu untuk menziarahi Ustaz Kor. Seolah-olah melapor diri, “Ustaz saya dah balik. Saya bersedia diarah untuk melakukan kerja-kerja jemaah Islam.”

Ada antara mereka yang terus lekat di Terengganu berkhidmat di sekolah Ustaz Kor. Antara mereka ialah saudara Sazali, Solehan, Shahril Azman dan lain-lain. Ada yang berkhidmat di Institut Berakan dan ada juga yang mengajar di Maahad Tahfiz Tok Jiring.

Ketika Ustaz Kor berkunjung ke Pakistan tahun 1991 untuk menubuhkan Masa Pakindo, ada dua peristiwa penting yang berlaku. Pertama Masjid Babri di Uttar Pradesh diroboh oleh pelampau Hindu. Kedua, sekolah agama yang diasaskan oleh Ustaz Kor dan rakan-rakannya, Institut Berakan dirobohkan oleh pihak berkuasa.

Sudah berkali-kali mereka cuba untuk meroboh namun dihalang oleh warga Institut Berakan. Ada pelajar yang sanggup berbaring di bawah jentolak untuk menghalangnya dari merobohkan sekolah agama mereka.

Setelah beberapa kali gagal merobohkannya, maka mereka mengambil kesempatan ketika Ustaz Abu Bakar berkunjung ke Pakistan. Bahkan apa yang dilihat lebih bacul, pihak berkuasa menggerakkan jenteranya pada waktu tengah malam untuk merobohkan sekolah agama rakyat itu. Pagi besok, kampus Institut Berakan bagaikan padang jarak padang terkukur. Kelihatan kitab-kitab agama termasuk mushaf Al Quran ditolak bersama dengan kumbahan najis.

Ustaz Kor sangat marah dengan tidakan biadap pihak berkuasa. Namun itu tidak mematahkan semangat beliau dalam bidang pendidikan Islam. Bahkan Ustaz Kor menubuhkan lebih banyak sekolah agama, Selepas menubuhkan MTT di Tok Jiring, ustaz Kor mengorak langkah mengasaskan sekolah rendah agama yang lebih ekslusif dan mempunyai cawangan di seluruh Malaysia iaitu SRIP (Sekolah Rendah Islam Pintar).

Ketika tamat pengajian pada 1995, saya pulang ke Malaysia. Saya mengambil kesempatan berkunjung ke MTT di Tok Jiring. Saya tidur di rumah Ustaz Kor.

Rumahnya dua tingkat. Ustaz Kor dan keluarga tinggal di tingkat atas, manakala tingkat bawah diwakafkan sebagai rumah guru-guru bujang. Walaupun saya tidur di bawah, Ustaz Kor seorang yang sangat meraikan tetamu. Pagi itu saya dijemput naik ke atas untuk bersarapan bersamanya. “Anta tamu ana, ana kena rai anta syeikh.”

Malamnya, selepas Maghrib kebiasaanya pelajar-pelajar MTT akan dihidangkan dengan tazkirah oleh Ustaz Kor. Namun pada hari itu Ustaz Kor minta saya yang menyampaikan tazkirah. Saya agak segan kerana Ustaz Kor ada sekali di situ. Saya penuhi permintaannya.

Di suatu ketika Ustaz Kor dijemput berceramah di Markaz PAS Kawasan Maran di Kg Embun bersama Cikgu Raja Ismail Raja Shahidan, Ketua Pemuda PAS Pahang. Selesai berceramah, jam sudah pukul 12 malam. Saya menemaninya pulang ke Terengganu dengan menaiki keretanya.

Ustaz Kor sangat marah dengan rakan-rakan yang meninggalkan jamaah setelah berkerjaya. Dalam satu ucapannya di Temerloh, secara terus terang beliau mengkritik guru-guru j-QAF yang dahulunya aktif dengan kerja-kerja dakwah, tetapi setelah berkerjaya, mereka meninggalkan dakwah.

Selesai ceramah, beliau dibawa ke tempat jamuan. Saya cuba mencelah untuk bertemu dengannya kerana sudah terlalu lama saya tidak bertemu dengan beliau.
Sebaik nampak saya, beliau sangat gembira.

“Apa khabar syeikh. Anta sihat ke. Lama benor ana dok jupe anta. Guane sekarang, anta dok buat mende?”

Saya jawab, “Ana bekerja sekarang ustaz.”

“Anta kerja mende?” Dia bertanya lagi.

“Ana guru j-QAF ustaz.”

Mendengar jawapan saya, Ustaz Kor agak terkejut kerana baru sebentar, dia palu dan hentam guru j-QAF kau-kau. Lantas dia berkata, “Yang ana ghoyak tadi tu guru j-QAF di Terengganu. Anta ni molek doh comel doh. Kerja dan dakwah pun tak berenti. Bagus la.”

“Dakpe.. dakpe... Ana dok terase pung ustaz.”

Tak berapa lama kemudian saya berpeluang berkunjung ke Terengganu. Saya pergi solat Jumaat di masjid sebuah kampung yang saya tak ingat namanya. Tak jauh dari Batu Rakit. Sahabat yang membawa saya ke situ beritahu, itulah kampung asal Ustaz Kor. Kebetulan bila saya sampai, Ustaz Kor ada di situ.

Selesai solat Jumaat, beliau terus bangun mengambil pembesar suara dan berucap, “Sedare sekalian. Alhamdulillah hari ini kita dikunjungi oleh seorang tokoh yang hebat.... (Bla bla dipujinya saya melangit).” Lantas dijemputnya saya berucap dan memberikan tazkirah ‘selepas jumaat’ kepada hadirin. Saya tunaikan permintaannya walaupun beliau jauh lebih hebat dari saya. Itulah sifat rendah diri seorang tokoh ulamak.

Ustaz Kor memang berhati mulia. Tahun 1999, beliau menang dlm PRU lantas dilantik menjadi exco kerajaan Terengganu. Waktu itu saya bertugas di Seremban.

Kami menjemput nya berceramah di Seremban. Selesai ceramah, seperti biasa kami hulurkan kepada nya sampul berisi sedikit wang sebagai menghargai kesudian beliau datang dari jauh.

Namun dengan rendah diri beliau memulangkan kembali sampul berkenaan, "Tak payah la. Takpe.... ana dah ada gaji."

Tahun lepas beliau berkesempatan singgah di rumah bapa saya di Jengka 16. Malangnya saya tiada di rumah. Beliau sempat mentahnik anak adik saya Fadhlullah yang baru lahir.

Kali terakhir saya bertemu Ustaz Kor ialah beberapa bulan lalu di Sg Gau. Itupun hanya melihatnya dari jauh.

Isnin lalu, bila saya mendapat berita Ustaz Kor meninggal dunia, saya rasa amat sedih. Sedih kerana kehilangan seorang guru dan bapa serta sahabat dalam perjuangan.

Namun saya gembira kerana beliau meninggal dalam perjuangan. 64 tahun usianya didambakan pada jalan Allah. Beliau terlibat dalam kemalangan ketika pulang dari aktiviti dakwah di Selangor.

Hari ini saya terkenang permintaan nya ketika kami duduk berdua di Taman Melewar. "Ana tengok anta lama doh tak nulih. Ngape tak buat buku? Kalu orang macam anta tok nulih, sape lagi nok nulih!" Hingga kini saya merasa masih belum melunaskan hutang ini.

Selamat jalan ustaz...
Selamat berehat setelah 64 tahun berpenat lelah berjuang.
Kami lepaskan mu bergerak menuju Kekasihmu.
Kami juga bakal menyusul ke sana...

اللهم ارزقه الشهادة فى سبيلك

Semoga Allah menerima perjuangan Ustaz Kor, Ustaz Harun, Ustaz Ghani, Ustaz Latif dan Ustaz Sulaiman yang meninggal dunia pagi tadi.

Semoga Allah menggantikan mereka dengan tokoh-tokoh yang lebih hebat dalam membela agama ini. Amin ya Rabb


Stumble
Twitter
Digg
Facebook
Yahoo
Feed

Tiada ulasan:

kosong

Receive all updates via Facebook. Just Click the Like Button Below

Powered By Blogger Widgets

kosong