INI BLOG PENEROKA FELDA ADMIN HANYA MENYOKONG GERAKKAN ISLAM ALIRAN SUNNAH WAL JAMAAH SAHAJA

"Felda untuk Felda dan Generasinya"
Orang luar boleh masuk tapi di bawah kuasa Felda ..
Bukanya masuk untuk menguasai Felda.

“Dalam Isu FELDA
Berkaitan Ketidak Puasan Hati,
Komplen Dan Rungutan
Didalam Blog Ini
Ia Terlebih Dulu Telah Dibawa Berunding
Diperingkat Rancangan

SABUN MADU KELULUT.

10 ARTIKAL TERKINI

CARIAN BLOG INI

Isnin, April 20, 2015

KEPALSUAN BULAN REJAB

BULAN REJAB: KEMULIAAN DICEMARI KEPALSUAN
Oleh:
Dr.Arieff Salleh bin Rosman,
Felo Fatwa
Bulan Rejab merupakan salah satu daripada 'al-Ashur
al-Hurum' (bulan-bulan haram) selain bulan Muharram,
Zulkaedah dan Zulhijjah. Bulan-bulan haram merupakan
bulan mulia sebagaimana firman Allah SWT dalam
surah al-Taubah ayat 36, yang bermaksud,
"Sesungguhnya bilangan bulan-bulan di sisi (hukum)
Allah ialah dua belas bulan, (yang telah ditetapkan)
dalam Kitab Allah semasa Dia menciptakan langit dan
bumi. Antaranya empat bulan haram (yang dihormati).
Ketetapan yang demikian itu ialah agama yang betul
lurus, maka janganlah kamu menganiaya diri kamu
dalam bulan-bulan yang dihormati itu (dengan
melanggar laranganNya)...." Abu Bakrah melaporkan,
Nabi Muhammad saw bersabda, "Sesungguhnya masa
itu beredar sebagaimana hari Allah mencipta langit dan
bumi iaitu setahun itu ada dua belas bulan. Antaranya
ada empat bulan haram (yang dihormati) iaitu tiga
bulan berturut-turut: Zulkaedah, Zulhijjah, dan
Muharram. Seterusnya Rejab iaitu antara bulan
Jamadilakhir dan Sya'ban." (Hadis sahih direkodkan
oleh Imam Bukhari dan Muslim).
Imam Ibnu Rajab al-Hanbali menjelaskan, maksud Rejab
ialah agung (Lata'if al-ma'arif, hlm. 117). Oleh sebab
itu, bulan Rejab adalah bulan yang agung dan mulia.
Antara keistimewaan bulan Rejab ialah berlakunya
peristiwa Isra' dan Mikraj yang menurut majoriti ulama'
ia berlaku pada 27 Rejab.
Namun isu yang timbul ialah kemuliaan bulan Rejab
sebagai salah satu bulan haram telah dicemari dengan
pengagungan yang bersumberkan kepada laporan/hadis
palsu yang direka-reka yang diistilahkan dalam ilmu
hadis sebagai hadis maudhuk.
Mengagungkan bulan Rejab bukanlah satu persoalan
yang baru. Ia telah pun wujud pada zaman Jahiliyyah;
sebelum kedatangan Islam. Masyarakat Arab Jahiliyah
begitu mengagungkan bulan Rejab sehingga mereka
menjadikannya sebagai perayaan. Antara amalan
popular yang dilakukan oleh sebahagian orang Islam di
Malaysia apabila datangnya bulan Rejab ialah mereka
berusaha bersungguh-sungguh untuk melakukan puasa
sunat Rejab dan menghidupkan malam dengan
sembahyang sunat Rejab.
Umat Islam di Malaysia khususnya dan dunia umumnya;
kini dan dahulu, telah disajikan dengan pelbagai janji
manis jika melakukan sesuatu amalan khusus di bulan
Rejab. Satu kebenaran yang perlu dijelaskan kepada
umat Islam ialah tiada amalan khusus dalam bulan
Rejab yang dilaporkan daripada Rasulullah SAW dari
hadis sahih. Amalan tertentu seperti solat sunat Rejab,
puasa Rejab dan umrah di bulan Rejab adalah
sebahagian kecilnya bersandarkan kepada hadis lemah
(daif) dan kebanyakkannya adalah hadis palsu
(maudhuk).
Isu mencemarkan bulan Rejab dengan janji-janji
daripada sumber yang palsu ini sudahpun wujud sekian
lama. Antara ulama terdahulu yang membongkar usaha
golongan pemalsu hadis yang membuat pembohongan
terhadap Nabi Muhammad saw berkaitan kelebihan
bulan Rejab dan amalan khusus padanya, antaranya
ialah Imam ahli hadis Abu al-Khattab 'Umar bin Hasan
ibn Dihyah (w. 633H) yang mengarang buku yang
bertajuk 'Ada' ma wajab min bayan wad' al-wadda'in fi
Rajab (Melaksanakan apa yang wajib dengan
menerangkan pemalsuan yang dilakukan oleh
pembohong berkaitan Rejab)' dan Imam Ibnu Hajar
al-'Asqalani (w. 852H) yang mengarang risalah yang
bertajuk 'Tabyin al-'ajab bi ma warada fi fadhl Rajab
(Menjelaskan perkara yang pelik berkaitan dengan apa
yang disampaikan tentang kelebihan Rejab)'.
'Ata; seorang ulama tabi'in menjelaskan, Nabi
Muhammad saw melarang daripada berpuasa penuh
sebulan bulan Rejab agar ia tidak dijadikan sebagai
perayaan sebagaimana yang dilakukan oleh orang Arab
Jahiliyyah (Ibnu Rajab, Lata'if al-ma'arif, hlm. 11). Ibnu
Hajar al-'Asqalani menjelaskan, "Larangan daripada
berpuasa sebulan penuh pada bulan Rejab adalah
berkaitan dengan individu yang melakukannya kerana
terpengaruh dengan amalan orang Arab jahiliyyah yang
begitu mengagungkan bulan Rejab.
Tetapi jika seseorang itu berpuasa sunat sama seperti
bulan lain tanpa menganggap puasa bulan Rejab adalah
lebih utama daripada bulan lain, tidak mengkhususkan
puasa hari tertentu bulan Rejab bagi mendapat ganjaran
tertentu, maka amalan itu tidak menjadi kesalahan.
Begitu juga dengan individu yang menghidupkan malam
bulan Rejab dengan beribadah sebagaimana dia
beribadah pada malam bulan lain. Tetapi jika seseorang
beribadah sunat hanya pada bulan Rejab sahaja dengan
anggapan ia khusus untuk bulan Rejab, maka ia adalah
amalan yang dilarang." (Tabyin al-'ajab, hlm. 49).
Imam Ibnu Hajar al-'Asqalani menjelaskan tujuan beliau
mengarang risalah yang bertajuk 'Tabyin al-'ajab bi ma
warada fi fadhl Rajab' : "Telah berulang-ulang soalan
yang dikemukakan tentang kelebihan bulan Rejab,
tentang berpuasa dan solat sunat padanya. Serta untuk
menjelaskan yang mana hadis yang sahih dan yang
palsu." Kesimpulan daripada analisa yang dilakukan
oleh Imam Ibnu Hajar ialah, "Langsung tidak terdapat
hadis sahih yang boleh dijadikan hujah tentang
kelebihan bulan Rejab, puasa sunat khusus Rejab, juga
solat sunat qiyamullail khusus Rejab...namun begitu
terdapat sebahagian ulama yang membenarkan
menerima hadis yang menjelaskan tentang kelebihan
bulan Rejab walaupun hadis itu daif, tetapi tidak boleh
diterima jika ia hadis mauduk."
Antara kelebihan bulan Rejab dan amalan khusus
padanya yang bersumberkan laporan/hadis palsu ialah:
i. Hendaklah kamu memuliakan bulan Rejab nescaya
Allah muliakan kamu dengan seribu kemuliaan di hari
Qiamat Laporan ini palsu kerana ia direka oleh seorang
pelapor hadis yang dilabel oleh ulama hadis sebagai
seorang pembohong iaitu Abu al-Barakat Hibatullah ibn
al-Mubarak al-Saqati.
ii. Bulan Rejab Bulan Allah, Bulan Syaaban bulanku, dan
bulan Ramadhan bulan umatku. Laporan ini palsu
kerana ia direka oleh seorang pelapor hadis yang dilabel
oleh ulama hadis sebagai seorang pembohong iaitu Abu
Bakar Muhammad bin Hasan al-Naqqash. Dalam
rantaian pelapor hadis ini juga terdapat individu yang
tidak dikenali seperti al-Kassa'i.
iii. Kelebihan bulan Rejab dari segala bulan seperti
kelebihan Quran atas segala zikir. Laporan ini palsu
kerana ia direka oleh seorang pelapor hadis yang dilabel
oleh ulama hadis sebagai seorang pembohong iaitu Abu
al-Barakat Hibatullah ibn al-Mubarak al-Saqati.
iv. Sesiapa berpuasa tiga hari pada bulan Rejab, Allah
menuliskan untuknya pahala berpuasa sebulan. Sesiapa
yang berpuasa tujuh hari ditutup baginya tujuh pintu
neraka. Sesiapa berpuasa lapan hari, Allah membuka
baginya lapan pintu syurga. Sesiapa berpuasa setengah
bulan Rejab, Allah menuliskan untuknya memperoleh
keredaanNya, sesiapa yang ditulis baginya keredaanNya,
orang itu tidak akan diazab. Sesiapa yang berpuasa
sebulan Rejab, Allah akan menghisab orang itu di
padang Mahsyar dengan hisab yang mudah. Laporan ini
palsu kerana ia direka oleh seorang pelapor hadis yang
dilabel oleh ulama hadis sebagai seorang pembohong
iaitu Aban bin Abi 'Iyash. Laporan-laporan lain yang
menjelaskan kelebihan berpuasa mengikut bilangan hari
di bulan Rejab juga laporan palsu, antaranya direka oleh
Uthman bin Matar, Harun bin 'Antarah, dan Farrat bin
al-Sa'ib.
v. Sesiapa sembahyang maghrib pada hari pertama
bulan Rejab, kemudian selepas itu dia bersembahyang
sunat 20 rakaat dengan sepuluh kali salam, setiap
rakaat dibaca surah al-Fatihah dan selepas itu
membaca surah al-Ikhlas sekali, adakah kamu tahu
pahalanya? Laporan ini palsu kerana ia direka oleh
seorang pelapor hadis yang dilabel oleh ulama hadis
sebagai seorang pembohong iaitu al-Husayn bin
Ibrahim. Terdapat laporan palsu lain yang direka
menjelaskan kelebihan tertentu jika bersembahyang
sunat dengan bilangan rakaat tertentu dengan bacaan
tertentu pada bulan Rejab. Antara individu lain yang
bertanggungjawab membuat laporan palsu tersebut
ialah Ali bin Abdullah bin Jahdam, Aban bin Abi 'Iyash.
Sembahyang tersebut juga diistilahkan sebagai
sembahyang sunat Ragha'ib.
vii. Bersedekah pada bulun Rejab dijauhkan Allah
daripada api neraka. Laporan ini palsu kerana ia direka
oleh seorang pelapor hadis yang dilabel oleh ulama
hadis sebagai seorang pereka hadis iaitu Aban bin Abi
'Iyash.
HARAM MENYEBAR HADIS PALSU
Al-Mughirah bin Syu'bah melaporkan, Nabi Muhammad
saw bersabda, "Sesungguhnya pembohongan yang
dilakukan ke atasku adalah tidak sama dengan
pembohongan yang dilakukan ke atas orang lain.
Sesiapa yang membuat pembohongan terhadapku
dengan sengaja, maka bersedialah dia dengan tempat
duduknya di dalam api neraka." (Hadis sahih direkod
oleh Imam al-Bukhari).
Syeikh Abu Asma' Ibrahim bin Ismail Ali 'Asr
menjelaskan dalam pendahuluannya kepada suntingan
karya Imam Ibn Hajar al-'Asqalani yang bertajuk 'Tabyin
al-'ajab bi ma warada fi fadhl Rajab', ramai dalam
kalangan pendakwah, penceramah, guru agama, khatib
yang tidak sensitif terhadap hadis maudhuk, sehingga
mereka menyampaikannya kepada masyarakat tanpa
berusaha mengenalpasti status sesuatu hadis. Perkara
merbahaya ini boleh menceburkan mereka dan anggota
masyarakat yang menyebarkan hadis palsu dalam
ancaman Nabi, "Sesiapa yang berdusta terhadapku,
maka bersedialah tempatnya di dalam api neraka".
Walaupun mereka tidak berniat untuk melakukan
pendustaan terhadap Rasulullah, tetapi dengan tindakan
mereka menyebarkan hadis palsu sedangkan mereka
sudah dijelaskan kepalsuan hadis itu, mereka telah
terjebak dalam melakukan pendustaan terhadap
Rasulullah saw.
Abu Hurairah melaporkan, Nabi Muhammad saw
bersabda, "Cukuplah seseorang itu sudah dianggap
berdosa dengan dia menyebarkan segala berita yang
didengar tanpa disiasat terlebih dahulu." (Hadis sahih
direkod oleh Imam Muslim).
Umat Islam tidak perlu disajikan dengan pahala dan
fadhilat untuk melakukan amalan khusus hanya di bulan
Rejab sahaja, sedangkan ia bersumberkan laporan/hadis
palsu yang merupakan pembohongan terhadap Nabi
Muhammad saw. Adalah amat baik kita dapat melazimi
diri dengan melaksanakan amal ibadah secara
berterusan yang bersumberkan dalil yang benar
daripada al-Quran dan hadis sahih; tentang kelebihan
menghidupkan malam dengan solat sunat seperti
tahajud dan witir, puasa sunat isnin khamis, puasa
sunat hari ke 13, 14, dan 15 setiap bulan, puasa sunat
selang sehari seperti cara puasa Nabi Daud.
Marilah sama-sama kita memelihara kemuliaan bulan
haram seperti bulan Rejab ini daripada dicemari dengan
hadis palsu.
Wallahu a'lam.
Stumble
Twitter
Digg
Facebook
Yahoo
Feed

Tiada ulasan:

kosong

Receive all updates via Facebook. Just Click the Like Button Below

Powered By Blogger Widgets

kosong