Masuk bulan Ramadan ini, sudah tiga tahun penduduk Felda
Gugusan Sungai Koyan dan kampung tradisi sekitarnya bersolat tarawih,
solat Eidulfitri dan aktiviti ibadat lain tanpa masjid.
Ini disebabkan Masjid Muhajirin yang selama ini menjadi
tempat penduduk serta musafir menjalankan aktiviti keagamaan, telah diruntuhkan
oleh kontraktor yang dilantik Jabatan Kerja Raya (JKR) iaitu tiga hari sebelum
bulan Ramadan tiga tahun lalu.
Mengikut perancangan asal, sebuah masjid baru bernilai RM4.5
juta yang boleh memuatkan 2,000 orang akan dibina bagi menggantikan masjid yang
runtuh itu. Malangnya pembinaannya terbengkalai dan sehingga kini belum
mencapai 40 peratus siap.
Sebagai alternatif, penduduk terpaksa mengerjakan solat di
bangunan Dewan Orang Ramai di situ. Tetapi dikatakan mempunyai masalah besar
kerana ketiadaan ruang terutama apabila generasi kedua Felda pulang
beramai-ramai untuk menunaikan sembahyang raya.
Bagi
Timbalan Pengerusi Masjid Muhajirin, Wan Mahadir Wan Mahmud berkata, pihak
berkuasa tersilap meruntuhkan masjid berkenaan tiga tahun lalu kerana ia
terletak 50 kaki jarak daripada masjid baru yang terbengkalai sekarang.
“Sepatutnya Masjid Muhajirin tidak dirobohkan sebab masjid
baru bukan di tapak itu. Lagipun ia bukanlah uzur. Jika masjid baru siap pun
masjid lama tetap boleh digunakan sebagai kelas fardu ain, pusat dakwah dan
aktiviti lain.
“Sekarang sudah menjadi kerumitan pula kepada penduduk
kerana nak sembahyang di masjid lama dah diruntuhkan masjid baru pula entahkan
bila siapnya,” keluhnya.
Wan Mahadir turut membayangkan masjid yang baru mungkin
tergendala lagi berikutan tersiar di akhbar baru-baru ini pemilik bergelar
Datuk syarikat yang membina masjid terbengkalai itu sedang disiasat Suruhanjaya
Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selepas umat Islam setempat membuat laporan
berkaitan projek berkenaan, hujung tahun lalu.
Katanya, Masjid Muhajirin dibina pada tahun 1974 bagi
menampung penduduk Felda dan sekitarnya. Namun istimewanya masjid berkenaan
ialah menjadi mercu tanda penduduk Sungai Koyan kerana menjadi tempat
persinggahan pelancong apabila ke Cameron Highlands melalui Sungai Koyan.
"Ia juga menjadi transit musafir dan pelancong yang
berulang alik ke Cameron Highlands dari Lembah Klang, Pahang dan Kelantan
antara laluan alternatif paling dekat ke destinasi tanah tinggi
berkenaan," ujarnya.
Peruntukan membina masjid baru diluluskan oleh Perdana
Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak ketika melawat penempatan Orang Asli Pos
Betau beberapa tahun dahulu.
Berdasarkan papan notis yang dahulu, kerja pembinaan bermula
pada Jun 2012 dan sepatutnya siap pada September tahun lepas. Dalam pada itu
Wan Mahadir berkata, sudah ada anak-anak peneroka yang pulang beraya mengeluh,
“dulu elok-elok ada masjid dirobohkan sekarang dah masuk tiga tahun solat raya
di dewan badminton. Ini menyebabkan menimbulkan rasa tidak selesa.
1 ulasan:
Ini ibarat pepatah Melayu,"Dengar guruh di langit, air di dalam tempayan dicurahkan", "Yang dikejar tak dapat, Yang dikendong berciciran" dan
"Sesal dahulu berpendapatan, Sesal kemudian terjun kepala dalam parit le".
Inilah akibatnya meruntuhkan masjid.
Di Jitra, masjid lama tidak diruntuhkan walaupun masjid baru dibina malahan kedua-dua masih digunakan. Yang bezanya ialah masjid lama tidak diguna untuk sembahyang jumaat dan raya sahaja. Aktiviti lain masih dijalankan.
Catat Ulasan