Sesuatu yang tidak dapat diungkapkan dengan kata2,
menyaksikan kegigihan para peneroka Felda yang datang dari seluruh tanahair
bagi menghadiri Himpunan Aman dan penyerahan memorandum di SUHAKAM dan pejabat
YAB Perdana Menteri di Putrajaya pada hari semalam(11 sept).
13 buah bas dari Pahang, Johor, Selangor, Perak dan
kenderaan lain telah mula sampai di Kuala Lumpur sebelum tengah malam lagi. Ada
juga yang menaiki bas Express, keretapi dan menunggang motosikal. Seawal lepas
subuh jumaat, deringan talipon bimbit saya macam Bursa Malaysia, bertanyakan
saya ada di mana.
Kebetulan, saya sampai KL hampir subuh. Seusai solat Subuh,
ingin melelapkan mata barang seketika. Namun, deringan talipon bimbit
merencatkan tidor saya. Sekejap Ust Rahim dari Jengka 15, kemudian Hj Hashim,
Jengka 2, Abg Din Keratong, dan disusuli panggilan dari merata tempat. Tidak
sampai hati membiarkan deringan tanpa membalasnya meskipun saya amat keletihan.
Saya bingkas bangun apabila menginsafi bahawa peneroka yang
hadir itupun tidak cukup tidor seperti saya juga. Kalau para peneroka yang
datang jauhnya ratusan kilometer dengan usia yang lanjut masih bersemangat,
kenapa saya yang lebih muda mahu bermalas- malasan dan rehat?
Saya bersama tidak kurang 400 orang para peneroka dan
Generasi Baru Felda di ruang legar Menara TH Perdana. Ketika jam 9.30 pagi,
masih ada peneroka yang hadir belum sarapan pagi. Hanya pekena teh sahaja.
' Perjuangan lebih penting kata seorang peneroka dari Bera.
Lepas jumpa Suhakam, baru saya nak makan'. Katanya.
' Saya harap betul Suhakam boleh bantu kita. Dah penat turun naik mahkamah, keluhan makcik dari Felda Maokil, sambil minta bergambar beramai2 dengan saya.
' Saya harap betul Suhakam boleh bantu kita. Dah penat turun naik mahkamah, keluhan makcik dari Felda Maokil, sambil minta bergambar beramai2 dengan saya.
Berbagai ragam, gelagat dan rintihan yang saya dengar.
Tersentuh perasaan saya tatkala menekuni cerita mereka. Susah payah puluh
tahun. Bayar hutang tidak kurang 20 tahun. Hutang dah habis lama Geran Hak
Milik tak dapat lagi. Mencarum RM40 sebulan selama tidak kurang 15 tahun untuk
Tabung Tanam Semula, hingga kini wang tersebut gagal di perolehi.
Tertarik cerita wakil Felda Keratong 10 di depan Pesuruhjaya
SUHAKAM, kebunnya sudah memasuki tahun ke 7, kerja tanam semula yang Felda
lakukan tidak sempurna. Kos Sara hidup sudah mencecah hampir 70 ribu. Bayangkan
jika dicampurkan kos yang lain.
Terimakasih atas keprihatinan pihak SUHAKAM. En James
Nayagam, Pesuruhjaya SUHAKAM berjanji akan membuat siasatan, bertemu Jabatan
Perdana Menteri, meninjau sendiri ke Tanah Rancangan Felda dan akan mengadakan
Sidang Meja Bulat membincangkan aduan peneroka.
Bahkan, beliau minta mana2 pegawai Felda atau pihak yang
ugut peneroka ambil nama dan maklumat, serah pada Suhakam.
Dengan rendah diri, En James dan beberapa pegawai SUHAKAM
turun ke ruang legar dan bertemu para peneroka sebelum menerima memorandum yang
saya serahkan kepadanya.
Dari Suhakam, peneroka ke Putrajaya. Keluar belanja sendiri
untuk makan tengahari. Saya merasa bersalah kerana tidak mampu menyediakan
makan tengahari buat peneroka kerana jumlah yang ramai dan ANAK tiada bajet
untuk meraikan makan tengahari buat mereka.
Berjalan kaki dari Masjid Putra ke Pejabat YAB Perdana
Menteri meskipun tidak jauh, ia tentu memenatkan bagi peneroka yang rata rata
usianya 60 tahun keatas. Terkial kial menapak. Sambil berjalan kaki, saya asyik
memerhati dan mendengar berbagai cerita mereka. MasyaAllah, hebat perjuangan
mereka; suka duka dan ujian yang dilalui...
Saya, Hj Razman Zakaria, En Rahman Ramli, En Rahman Jamri
dan Sdr Mohd Din, mewakili peneroka di bawa masuk ke ruang tamu dan mengadakan
perbincangan dengan En Nizam Shaari, Pegawai Khas Seranta di Jabatan Perdana
Menteri. Walaupun sekitar 20 minit, bagi saya ia menepati maksud dari isi
memorandum yang ditujukan kepada YAB Perdana Menteri.
Rayu saya, Perdana Menteri terlalu sibuk, mana mungkin boleh
bertemu. Apatah lagi rakyat biasa macam peneroka. Tetapi, ambillah sedikit masa
menyemak isi memo yang di utarakan. Peneroka ni orang melayu, seagama dan
sebangsa...
Dulu, Datuk Ahmad Maslan beria2 mahu berdialog setelah
menolak debat yang saya cadangkan. Dia kata kalau dialog, tiga hari tiga malam
pun pun boleh. Bila saya sedia dialog, sampai ke sudah tidak menjadi kenyataan.
Menunggu jawapan Ahmad Maslan macam buah tak gugur. Saya harap Dato' Razali
Ibrahim yang ganti tempat Datuk Ahmad Maslan lebih terbuka mendengar suara hati
masyarakat Felda.
Alhamdulillah, kesediaan wakil YAB PM, Nizam Shaari menerima
memo di hadapan para peneroka sangat dihargai. Ia diharap membuka era baru
keprihatinan semua pihak menangani isu isu berkaitan kepentingan para peneroka.
Saya tinggalkan Putrajaya sekitar jam 4.30 petang dengan
azam membara demi peneroka yang tercinta. Harapan masyarakat begitu tinggi.
Meskipun saya hanya pemimpin kecil, yang tidak mampu memenuhi tuntutan
peneroka, namun keberadaan dan sensitiviti kita sudah memadai.
Sayu hati ini memandang wajah bangsa ku. Derita tiada henti,
menuntut hak sendiri.
Sebagai anak peneroka, kasih dan sayang saya tidak pernah
padam pada bapa bapa dan ibu ibu peneroka. Dengan mereka saya bergelumang,
mengajar saya erti kehidupan.
Kebanggaan sebagai anak peneroka, mesti saya balas dengan
memberi khidmat bakti sekadar termampu.
Moga ada sinar di hujung terowong.......
Tiada ulasan:
Catat Ulasan