Peneroka Buat Aduan Perlantikan Isa Samad Kepada SKM
Posted by Addin at 10/18/2011KUALA LUMPUR - Sebuah NGO pro peneroka – Gerakan Kebangkitan Peneroka Felda Kebangsaan (Bangkit) – membuat aduan kepada Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) berhubung perlantikan Pengerusi Felda Tan Sri Isa Samad sebagai Pengerusi Koperasi Permodalan Felda (KPF) yang baru. Presiden Bangkit, Abdul Rahman Ramli dalam aduannya berkata Isa tidak layak memegang jawatan itu kerana beliau bukan ahli KPF yang keahliannya hanya terhad kepada peneroka atau kakitangan tetap Felda sahaja.
“Kedudukan Tan Sri Isa hanyalah bertaraf kontrak, justeru perlantikan beliau adalah bertentangan dengan undang-undang koperasi dan menyalahgunakan kuasa,” katanya dalam memorandum aduan yang difailkan di pejabat SKM di sini pagi tadi. Katanya, perlantikan itu bertentangan dengan Akta Koperasi 1993 (pindaan 2007) kerana mengangkat dirinya sendiri dan mengambil alih jawatan yang sebelum ini disandang Datuk Dzulkifli Abdul Wahab.
Beliau turut mempersoalkan tindakan KPF menerima Isa sebagai ahli pada 22 Jun lalu sedangkan matlamat asal penubuhan KPF adalah memberi peluang secara adil kepada warga Felda untuk turut serta memiliki ekuiti dalam syarikat Felda. Kira-kira 20 peneroka Felda sekitar Pahang, Negeri Sembilan, dan Terengganu turut tampil ke pejabat SKM dan aduan itu diterima pegawai SKM, Mulidan Ilyas.
Mahu Isa disiasat
Mereka turut mengemukakan tuntutan tribunal supaya SKM menyiasat pelantikan dan kedudukan Isa dalam KPF. Sementara itu, Pengerusi Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak) Mazlan Aliman berkata pihaknya akan melancarkan ‘Gerakan Mansuh Tan Sri Isa Samad’ (ISA 2) bagi membantah perlantikan Isa sekaligus mendesak supaya kontraknya ditamatkan serta-merta.
“Kita akan mengumpul beberapa tanda tangan daripada peneroka dan kemudiannya akan serahkan memorandum berkenaan kepada Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak) sebelum sidang Parlimen selesai bulan depan,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Isa sebelum ini dipersoalkan perlantikannya sebagai Pengerusi KPF kerana tidak menepati syarat walaupun dipersetujui melalui mesyuarat Lembaga Pengarah. Lantikan itu juga menjadi kontroversi apabila jawatan asal yang disandang Dzulkifli yang ketika itu sedang menunaikan umrah diketepikan sama sekali.
Mazlan sebelum ini juga menyatakan kebimbangannya pelantikan Isa itu dikhuatiri menjadi ‘pintu belakang’ bagi membolehkan 51 peratus ekuiti KPF bernilai RM398.32 juta dalam Felda Holding dibawa masuk kedalam Felda Global Ventures Holding (FGVH) untuk pelaburan luar negara./fmt
Tiada ulasan:
Catat Ulasan