Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Peneroka Felda Bukit Rokan Utara, Said Dalil berkata, Felda telah memulakan proses tanam semula pokok kelapa sawit pada tahun 2004.
Bagaimanapun, katanya, sehingga tempoh lapan tahun ini, pokok tersebut tidak mengeluarkan hasil.
“Tempoh matang untuk sebatang pokok kelapa sawit mengeluarkan hasil kebiasaannya mengambil masa tiga tahun tetapi tanaman peneroka di sini sudah berusia lapan tahun, namun tetap tidak mampu mengeluarkan hasil.
“Malah tanaman sawitnya kelihatan seolah-olah baru berusia satu tahun, ibarat tidak dijaga dan dibiarkan begitu sahaja,” katanya pada sidang media yang diadakan di kawasan rumahnya, kelmarin.
gambar hiasan
Turut serta, Timbalan Pengerusi Biro Felda dan Orang Asal Keadilan Pusat, T Kumar; Setiausaha Jawatankuasa Bertindak Peneroka Felda Bukit Rokan Utara, Nizam Ahmad dan Pengerusi Lajnah Felda Pas Negeri Sembilan, Abdul Rahman Ramli.gambar hiasan
Sementara itu, menurut Nizam, sebanyak 200 peneroka di kawasan ini menjadi mangsa kecuaian Felda sehingga menyebabkan kerugian.Katanya, melalui rumusan penyata pendapatan dan perbelanjaan salah seorang peneroka, kos meracun adalah RM13,182 dan kos membaja pula ialah RM17,918 untuk tempoh 2004 sehingga 2010.
gambar hiasan
“Berdasarkan kepada kos membaja dan meracun yang tercatat dalam penyata tersebut, jumlahnya sangat tinggi, namun hasil yang diperolehi langsung tidak ada.“Saya sangat terkejut apabila melihat kos tersebut memandangkan keadaan ladang kelapa sawit ini yang tidak terurus ibarat seperti hutan simpan, serta tidak mengeluarkan hasil, bagaimana mereka boleh mengenakan caj sebanyak itu?, katanya.
Menurutnya, masalah berkaitan tiada kaitan dengan politik, tetapi lebih kepada kepentingan dan masa depan peneroka itu sendiri.
gambar hiasan
“Ini soal masa depan peneroka, kami dibebankan dengan hutang yang tinggi dalam usia muda sehingga mencecah ke warga emas, sedangkan Felda gagal uruskan ladang peneroka," katanya.Sementara itu, usaha Sinar Harian bagi mendapatkan penjelasan Felda tidak berhasil apabila pegawai yang layak memberi penjelasan sedang mengerjakan umrah.
Sinar harian
Tiada ulasan:
Catat Ulasan