Sebagaimana diramal, Barisan Nasional (BN) memenangi pilihan
raya kecil (PRK) Kuala Besut dengan meningkatkan jumlah majoritinya dari 2,434
pada pilihan raya umum ke-13 (PRU13) kepada 2,952 undi di kerusi berhampiran
dengan kubu kuat PAS di Kelantan.
Tengku Zaihan Che Ku Abdul Rahman menang bergaya kali ini
dengan mengalahkan calon PAS, Endut @ Azlan bin Yusof atau lebih dikenali
masyarakat setempat dengan nama Che Long, dengan majoriti yang lebih besar.
Benar Che Long popular di kalangan masyarakat setempat iaitu
71.6 peratus lebih dikenali berbanding calon BN 14.2 peratus (tidak kenal
kedua-duanya, 14.2 peratus) berdasarkan kajian Ilham Centre, tetapi popular
tidak semestinya disukai.
Kajian juga menunjukkan 82.7
peratus pengundi Kuala Besut yakin dengan kelebihan BN yang mempunyai sumber
kewangan yang besar.
Sebagaimana didedahkan oleh
PAS, BN yang membelanjakan hampir setengah bilion ringgit atau RM19,000 bagi
setiap pengundi untuk pilihan raya ini berjaya memenanginya.
Kenapa pengundi Kuala Besut
tidak mengundi calon PAS?
Faktor terbesar adalah
kedudukan Kuala Besut yang terpencil dari arus perdana politik tanah air yang
mahukan perubahan.
Presiden PAS, Datuk Seri
Abdul Hadi Awang sendiri mengakui penduduk Kuala Besut perlu memperkasa
penggunaan IT mereka untuk membolehkan mereka terdedah kepada maklumat semasa
tanpa dikawal BN.
Dalam PRU13, pengundi bandar
yang terdedah kepada penggunaan internet dan media sosial menolak BN dan
mengundi Pakatan Rakyat (PR) hampir di semua bandar utama di Malaysia kecuali
Kangar melalui wakil mereka sama ada PAS, PKR atau DAP.
Di samping itu, kenangan
lama perpecahan penduduk kawasan itu antara PAS dan Umno mengongkong mereka
dari mendekati PAS walaupun PAS sudah berubah.
Isu kafir mengkafir dan
sembahyang dua iman masih menjadi stigma yang tidak boleh mendekatkan penyokong
Umno yang meninggalkan PAS sebelum ini.
Usaha PAS untuk menampilkan
seorang ahli perniagaan dan bercakap tentang ekonomi berbanding dengan tradisi
meletakkan calon 'ustaz' dan bercakap mengenai agama semata-mata, belum berjaya
memecahkan tembok minda.
Isu-isu yang dimainkan PAS
dalam menyerang Umno juga nampaknya berjaya dipatahkan dengan baik oleh BN
dengan menggunakan kuasa wang mereka.
Misalnya, apabila PAS
memainkan isu empangan yang rosak di bawah tangan calon BN, rakyat bertanya
balik, siapa yang boleh memberi penyelesaian kepada masalah mereka, PAS atau
Umno?
PAS berjaya mendedahkan isu
tetapi BN melalui pengarah pilihan rayanya, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang
datang dengan penyelesaian iaitu pengumuman peruntukan RM35 juta untuk membaiki
balik empangan itu.
Begitu juga kemiskinan. PAS
memang berjaya mendedahkan betapa miskinnya penduduk Kuala Besut tetapi siapa
yang boleh menyelesaikannya, PAS atau BN?
Pengumuman PAS bahawa mereka
tidak mahu jawatan menteri besar bahkan Datuk Seri Ahmad Said akan terus jadi
memegang jawatan itu walaupun menang dalam PRK ini lebih memburukkan keadaan.
Ia menghantar signal salah
kepada pengundi. Kalau PAS menangpun, parti itu bukan boleh menyelesaikan
kemiskinan mereka, BN juga yang mampu, melalui Ahmad Said di Terengganu dan
kerajaan Pusat yang dikuasai BN.
Jika begitu, buat apa undi PAS? Baik kekal bersama BN, duit
dapat, penyelesaian kepada masalah jelas kelihatan dan masa depan lebih cerah.
- the malaysian insider
Tiada ulasan:
Catat Ulasan