TPPA adalah perjanjian multilateral terikat yang melibatkan
negara Asia Pasifik seperti Australia, AS, New Zealand, Kanada, Mexico,
Chile, Brunei, Malaysia dan Vietnam. TPPA ini alah tentang liberalisasi pasaran
di mana negara ahli bebas berniaga di pasaran negara ahli secara terbuka sesuai
dengan konsep globalisasi.
Masalahnya dengan TPPA ini ialah semua perbincangannya
dibuat secara rahsia dan semua teks perbincangan adalah rahsia sehinggalah
selepas empat tahun perjanjian dimeterai. Ini bermakna perjanjian TPPA ini
meletakkan rakyat dalam kegelapan, sesuatu yang cukup pelik dalam sebuah dunia
terbuka tanpa sempadan.
Apabila ditanya mengapa dirahsiakan, jawapan kerajaan adalah
standard: Perjanjian ini baik untuk negara kerana memudahkan barangan kita
untuk memasuki pasaran luar. Persoalannya, jika TPPA begitu bermanfaat, mengapa
teks perjanjian yang sedang dirundingkan tidak dibentangkan untuk pengetahuan
umum? Mengapa perlu berahsia?
Saya tanyakan hal di atas kerana terdapat beberapa klausa
dalam TPPA ini yang akan memberikan kesan yang cukup besar kepada rakyat dan
negara dan cukup membimbangkan saya. Untuk maklumat ringkas, di bawah ini saya
perturunkan beberapa kesan negatif yang perlu sangat kita ketahui:
i. Hampir 80% harga ubat akan menjadi mahal, sehingga
mencecah 1000% dari harga sekarang. Ini kerana ubat generik yang lebih murah
tidak boleh dijual lagi kerana Malaysia terikat menggunakan ubat patented
(asli) yang dihasilkan syarikat famarkeutikal dari luar negara. Kesannya akan
menyukarkan pesakit berpendapatan rendah dan sederhana kerana kos untuk
mendapatkan ubatan menjadi sangat tinggi. Bayangkan jika seorang guru menghidap
penyakit barah yang memerlukan ubat bernilai RM7000 sebulan, mampukah mereka
untuk membayar kos perubatan semahal itu? Apakah nasib ramai rakyat di negara
kita nanti?
ii. Syarikat gergasi akan bebas berniaga di negara kita
menyebabkan usahawan-usahawan kecil terpaksa bersaing dengan syarikat gergasi
dari luar negara. Ini seolah-olah meletakkan kepentingan syarikat asing
mengatasi kepentingan rakyat kita. Ini juga seperti memberi kuasa kepada negara
maju seperti AS, Singapura dan Australia untuk mencereboh ekonomi negara kita.
iii. Kerajaan boleh disaman oleh pelabur luar di tribunal
antarabangsa yang berpangkalan di Washington dan Geneva jika terdapat
dasar-dasar kerajaan yang boleh merugikan hak pelabur luar dan menghalang
aktiviti perdagangan mereka. Ini tentunya menjejaskan bidang kuasa kerajaan
dalam menentukan apa yang terbaik untuk rakyat dan negara.
iv. Petani kita terpaksa bersaing dengan hasil pertanian
luar negara. Lebih merisaukan lagi ialah TPPA bakal memberi kesan buruk ke atas
industri padi negara apabila beras dari AS yang menerima subsidi yang tinggi
dipasarkan di negara ini. Ratusan ribu keluarga petani padi di negara ini akan
terjejas jika TPPA dimeterai.
v. TPPA juga menyebabkan bidang pelaburan dan khidmat undang-undang
dan pelbagai khidmat profesional tempatan yang lain terpaksa berhadapan dengan
persaingan pasaran terbuka. Mampukah industri perkhidmatan kita berhadapan
dengan kemasukan syarikat gergasi ini?
vi. TPPA melanjutkan perlindungan hakcipta bahan-bahan rujukan
dari 50 tahun selepas kematian penerbit kepada 120 tahun. Ini bermakna segala
bahan-bahan rujukan yang kini percuma dan telah didigitalkan akan menjadi
terhad kepada pengguna. Ini juga bermakna segala bahan rujukan wajib dibeli
atau wajib dibayar sewa, sekaligus menghadkan kemudahan ilmu kepada rakyat yang
kurang mampu.
Justeru implikasi TPPA ini besar kepada rakyat dan negara,
maka saya merayu supaya kerajaan mengambil tindakan berikut terlebih dahulu
sebelum memetarai perjanjian ini. Antaranya:
i. Menangguhkan perundingan TPPA sehingga segala teks
mengenainya didedahkan kepada rakyat untuk mendapatkan maklumbalas. Rakyat
berhak tahu dan diberi hak memberi pandangan kerana perjanjian ini melibatkan
kualiti hidup mereka.
ii. Ahli parlimen perlu diberi pencerahan dan perlu
membahaskan baik buruk Perjanjian ini. Semasa membahaskan hal ini, ahli
parlimen perlulah melihat Perjanjian ini dari aspek kebaikannya untuk rakyat
dan negara, bukannya berterusan terikat kepada kepentingan parti.
iii. Kerajaan mesti menolak status layanan tempatan yang
perlu diberikan kepada syarikat gergasi luar.
Saya akui TPPA ini ada baiknya untuk negara kerana kita
bergantung kepada kemasukan pelaburan luar untuk memacu ekonomi negara kita.
Namun, setelah mengamati kesan perjanjian ini, saya dapati perundingan TPPA ini
perlu disemak semula dengan teliti oleh kerajaan kerana ia memberi kesan besar
kepada rakyat. Sekiranya kerajaan mendapati keburukannya lebih banyak dari
kebaikan, maka masih belum terlewat untuk kita menarik diri daripada Perjanjian
ini.
Harapan saya cuma satu dari keputusan muktamad yang bakal
diambil oleh kerajaan nanti: Jangan biarkan anak cucu kita tergadai melalui
perjanjian yang bersifat globalisasi ini. Jangan biarkan menang sorak kampung
tergadai.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan