Ust. Hj Idris Hj Ahmad
15/2/16
Kenapa kalut sangat apabila tokoh ulama PAS berada di dalam
Majlis Perundingan Islam yang dipengerusi oleh Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi?
Adakah dijemput atas surat Setiausaha Agung Umno?
Bukan perkara baru Datuk Dr Haron Din menganggotai
jawatankuasa kerajaan. Walaupun menjadi calon PAS dan Ahli Majlis Syura beliau
pernah dilantik sebagai Ahli Majlis Fatwa Kerajaan Negeri Perlis. Adakah satu
penghinaan, sedangkan yang menjadi Pengerusi Majlis Fatwa Negeri ialah Mufti.
Walaupun beliau pemimpin PAS tetapi beliau lebih dilihat
seorang ilmuan agama yang dihormati daripada kawan dan lawan. Beliau seorang
yang cukup dihormati juga dalam kalangan istana. Ramai tokoh-tokoh korporat
rapat dengan beliau sejak dahulu hingga sekarang. Mungkin ini pendekatan beliau
dalam berdakwah, yang pemimpin PAS tidak boleh lakukan.
Pelik juga orang yang menuduh macam-macam kepada beliau,
kerana rapat dengan orang atasan. Adakah salah? Adakah beliau tidak berkawan
dengan ahli PAS bawahan dan rakyat biasa? Adakah beliau tidak menerima jemputan
orang ramai untuk menyampaikan kuliah?
Berapa banyak sumbangan beliau kepada masyarakat awam
melalui perubatan syifa'. Adakah salah? Mereka yang fitnah beliau, berapa ramai
pula masyarakat bertemu dengan mereka untuk berdoa kepada Allah supaya
menyembuh penyakit.
Saya pun pelik mereka marah kepada PAS apabila ada dalam
kalangan pemimpin PAS menerima jemputan kerajaan, bukan parti. Ketika Tuan Guru
Presiden PAS hadir dalam Multaqa Serantau Alumni Al-Azhar Malaysia 2015
bercakap benar dan menasihat pemimpin negara, bukan minta projek. Dituduh pula sudah
bersama Umno, kerana baju sedondon.
PAS dituduh berfikiran IS dan radikal. Tetapi apabila PAS
menyertai program anjuran kerajaan dituduh mengukuhkan Umno.
Kalau Pas ini IS, sudah tentu PAS tidak akan hadir dalam
program kerajaan. Bukankah PAS mengambil pendekatan "muwajahah
silmiah" untuk menggunakan pelbagai platform untuk menarik sokongan. Ada
dalam kalangan ahli PAS bersama NGO, PIBG, persatuan penduduk, AJK masjid, AJK
surau, AJK Badan Kebajikan di pejabat kerajaan. Semuanya berperanan, walaupun
jawatankuasa tersebut bercampur dengan ahli Umno. Apa yang penting pengaruh
dakwah dan fikrah perjuangan dapat disampaikan.
Mana-mana ahli PAS yang berada di mana-mana posisi kena
berperanan, syaratnya jangan masuk Umno. Sekolah PAS turut mengambil aliran perdana
sebagai silibus pengajian adakah bererti PAS mengukuhkan Umno. Berapa ramai di
kalangan orang PAS yang memegang jawatan di dalam peringkat kementerian, turut
merangka dasar, adakah mereka boleh dituduh mengukuhkan kepimpinan Datuk Seri
Najib. Tentunya tidak.
Mungkin ada yang menjawab, ini analogi yang tidak betul.
Yang betulnya apa? Yang betulnya kerana memang aku tidak suka individu di dalam
PAS. Buatlah macam mana pun aku tidak setuju. Kalau orang yang aku setuju,
hendak bekerjasama dengan Umno dan Tan Sri Muhyiddin pun tidak mengapa kononnya
atas alasan Selamatkan Malaysia. Hendak buat konsensus nasional pun tidak
mengapa. Kalau pimpinan PAS terus dikatakan PAS sudah hendak berUG. Ini masalah
hati, bukan masalah politik.
1 ulasan:
ok..apa masalahnya jika PAS masuk BN.
Catat Ulasan