Apa yang hendak dibanggakan jika kita mati dengan hutang
ratus ribu?. Inilah hakikat yang perlu dilalui oleh semua peneroka Felda
seluruh negara bila mereka memasuki Fasa tanam semula kali kedua. Felda yang
sudah seusia dengan umur kemerdekaan negara kini bakal dirosakan oleh sistem
baharu dan bakal menjadikan ibarat kata ' Harimau mati meninggalkan belang,
Peneroka mati meninggalkan hutang'.
Setelah Felda melalui zaman kegemilangan sejak penubuhan
1956, yang dikenali Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (L.K.T.P) dengan
kemasukan peneroka pertama di rancangan Lurah Bilut 1959, Felda bergerak maju
sehinggan 317 tanah rancangan dibuka seluruh negara dan yang terakhir Felda
Sahabat 2 pada tahun 1990.
Dengan bermodalkan pinjaman RM42juta dari bank dunia pada
tahun 1968, ianya mampu mengubah nasib rakyat yang terpilih untuk menyertai
skim gagasan menginjak rakyat keluar dari kemiskinan yang diasaskan Tun Abdul
Razak, Perdana Menteri kedua. Seramai 112, 635 peneroka Felda berjaya dibentuk
menjadi peneroka Felda setelah melalui perit jerih kehidupan di Tanah Rancangan
Felda.
Kegemilangan bermula apabila Koperasi Permodalan Felda
berjaya ditubuhkan pada tahun 1980 dan dipacu dengan komitmen mereka yang
ikhlas sehinggakan mereka berjaya meletakan KPF menjadi Koperasi terbaik di
Malaysia dan disenaraikan tangga ke 20 diantara koperasi terbailk dunia.
Namun kini setelah FGV mengambil alih kedudukan KPF dalam
Felda Holdings sejak 2012, tranformasi yang dibawa oleh anak kepada pengasas
Felda, Tan Sri Najib telah mengubah hampir keseluruhan lanskap Felda.
Penyenaraian FGV ke BSKL yang menjadi tugasan utama Pengerusi Felda Tan Sri Isa
Abdul Samad telah menambahkan lagi kejutan peneroka felda apabila perkara yang
dicanang boleh membawa perubahan pendapatan peneroka Felda bertaraf penduduk
negara maju berlaku sebaliknya.
Saham FGV yang diniagakan dengan nilai IPO RM4.45 seunit
menjunam dengan teruk sehingga kini. Dengan harga semasa tidak melepasi RM1.90
pada suku pertama tahun ini, menambahkan lagi keluh resah peneroka Felda.
Durian runtuh RM15 ribu yang diberi kepada setiap peneroka
Felda sebelum PRU13 mampu membeli undi hampir 2juta warga Felda untuk terus
memastikan penguasaan 54 parlimen dimenangi Barisan Nasional.
Penyingkiran KPF dari dari menguasai FHB dengan 51 peratus
pegangang saham yang sebelum ini menjadi kebanggaan peneroka Felda telah
membuka mata peneroka felda seluruh negara. Dakwaan yang dijaja oleh PAS
keseluruh pelusok Felda beberapa tahun lalu kini menjadi kenyataan yang benar.
Lebih parah lagi, tanah seluas 360ribu Hektar yang selama
ini menjadi pendapatan kumpulan, telah diserahkan secara pajakan kepada FGV.
Pendapatan yang dijana hasil dari tanah ini mencecah RM1.8bilion setahun, kini
sudah dikongsi dengan pemegang saham FGV seluruh dunia dan kehilangan besar kepada
pendapatan Felda.
Hasilnya, peneroka Felda tidak lagi disalurkan peruntukan
RM60juta setahun seperti sebelum ini. Adakah peneroka Felda sedar perkara ini?
Apakah Menteri-menteri berbangsa Melayu tahu?
Kini Peneroka Felda berdepan dengan penjajahan baharu zaman
Datuk Seri Najib Tun Razak. Tanam semula kedua akan merekodkan hutang di tahun
ke-8 selepas perjanjian baharu ini ialah RM169,600.00 setiap peneroka Felda.
Jika kita ambil purata hutang lama RM30,000 yang masih berbaki dan dicampur
dengan hutang ini, maka pastinya peneroka bakal berhutang lebih RM200ribu
diketika berusia 80 tahun.
Apakah mereka mampu melunaskan hutang ratus ribu ini sebelum
mengadap Allah? Kejayaan apakah melakar peneroka Felda mati dengan hutang
sebanyak itu? Apakah ada mekanisma mengubah aturan penjajahan ini? Adakah nilai
10 ekar tanah peneroka lebih tinggi dari hutang ini? Bersediakah generasi
anak-anak peneroka Felda mewarisi hutang ini?
Semua persoalan ini mesti dijawab oleh seluruh Ahli-ahli
Yang Berhormat Barisan Nasional.
Sekian...
Naraza Muda
Pengerusi Hal Ehwal Felda PAS
24 Mac 2016 Jumaat.
Naraza Muda
Pengerusi Hal Ehwal Felda PAS
24 Mac 2016 Jumaat.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan