Ustaz Roslan Md Esa selaku Pengerusi GENERASI berada di
Parlimen hari ini menyerahkan memorendum kepada ahli Parlimen PAS berhubung isu
FELDA...
Kami menerima memorundum dari NGO GENERASI di pintu masuk
Parlimen (kerana tidak dibenar penyerahan memorundum di laman dalam parlimen)
untuk mendesak agar Pengerusi FELDA digantikan segera. Memorundum mereka
seperti berikut 👇
MENUNTUT PENGERUSI FELDA TAN SRI ISA ABDUL SAMAD DIGANTIKAN
SEGERA.
SEJARAH PENUBUHAN
Setelah Felda melalui zaman kegemilangan sejak penubuhan
1956, yang dikenali Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (L.K.T.P) dengan
kemasukan peneroka pertama di rancangan Lurah Bilut 1959, Felda bergerak maju
sehinggan 317 tanah rancangan dibuka seluruh negara dan yang terakhir Felda
Sahabat 2 pada tahun 1990.
Dengan bermodalkan pinjaman RM42juta dari bank dunia pada
tahun 1968, ianya mampu mengubah nasib rakyat yang terpilih untuk menyertai
skim gagasan menginjak rakyat keluar dari kemiskinan yang diasaskan Tun Abdul
Razak, Perdana Menteri kedua. Seramai 112, 635 peneroka Felda berjaya dibentuk
menjadi peneroka Felda setelah melalui perit jerih kehidupan di Tanah Rancangan
Felda.
ZAMAN KEGEMILANGAN
Kegemilangan bermula apabila Koperasi Permodalan Felda
berjaya ditubuhkan pada tahun 1980 dan dipacu dengan komitmen mereka yang
ikhlas sehinggakan mereka berjaya meletakan KPF menjadi Koperasi terbaik di
Malaysia dan disenaraikan tangga ke 20 diantara koperasi terbailk dunia.
Tahun 2000 mencatatkan sejarah apabila hutang Bank Dunia dan
Kerajaan persekutuan dilangsaikan hasil dari kecekapan pengurusan yang amanah
sebelum ini. Tokoh yang pastinya dikenang oleh Peneroka Felda ialah Pengerusi
Felda yang kedua, Tan Sri Taib Andak.
Namun kini setelah FGV mengambil alih kedudukan KPF dalam
Felda Holdings sejak 2012, tranformasi yang dibawa oleh anak kepada pengasas
Felda, Tan Sri Najib telah mengubah hampir keseluruhan lanskap Felda. Penyenaraian
FGV ke BSKL yang menjadi tugasan utama Pengerusi Felda Tan Sri Isa Abdul Samad
telah menambahkan lagi kejutan peneroka felda apabila perkara yang dicanang
boleh membawa perubahan pendapatan peneroka Felda bertaraf penduduk negara maju
berlaku sebaliknya.
KEJATUHAN HARGA SAHAM FGVH
Saham FGV yang diniagakan dengan nilai IPO RM4.45 seunit
menjunam dengan teruk sehingga kini. Dengan harga semasa tidak melepasi RM1.90
pada suku pertama tahun ini, menambahkan lagi keluh resah peneroka Felda.
Peneroka Felda berhutang dan mengalami kerugian RM3276 pada
pada 25hb Mac 2016, apabila urusniaga ditutup dengan nilai semasa RM1.48
seunit. Lebih malang lagi peneroka terpaksa membayar pinjaman kepada Felda
RM50.00 setiap bulan untuk melunaskan pinjaman pembelian saham sebanyak 800
unit.
NASIB KPF
Penyingkiran KPF dari dari menguasai FHB dengan 51 peratus
pegangang saham yang sebelum ini menjadi kebanggaan peneroka Felda telah
membuka mata peneroka felda seluruh negara. FGV telah mengambil alih semua
kepentingan 112,199,999 unit saham bersamaan 51 peratus dengan nilai yang
sangat tidak munasabah iaitu RM2.2bilion ataupun RM19.61sesaham. Dakwaan yang
dibuat oleh beberapa pihak sebelum penyenaraian FGV, yang mana mereka bimbang
KPF akan disingkirkan ternyata benar. Kini KPF terpaksa mencari sumber lain
untuk terus membayar dividen kepada pencarum yang terdiri daripada peneroka
Felda seluruh negara.
Setelah disingkirkan , KPF telah membeli 48,839 ekar ladang
sawit di Samarahan, Sarawak dan Gua Musang, Kelantan. Apa yang menyedihkan
37,972 ekar ladang di Samarah, 80 peratus tanahnya dari jenis gambut dan nilai
belian yang mencecah RM1.2bilion dianggap terlalu mahal oleh penganalisis
perladangan.
KPF juga dipaksa membeli sejumlah saham FGV pula. Selepas
penyingkiran, KPF mula terjejas apabila tidak lagi mampu membayar dividen dan
bonus 17 peratus seperti sebelum ini. Pada tahun pembayaran dividen dan bonus
2015, KPF hanya membayar 10 peratus sahaja.
TANAH FELDA DIPAJAK
Lebih parah lagi, tanah seluas 360ribu Hektar yang selama ini
menjadi pendapatan kumpulan, telah diserahkan secara pajakan kepada FGV.
Pendapatan yang dijana hasil dari tanah ini mencecah RM1.2 hingga RM1.8bilion
setahun, kini sudah dikongsi dengan pemegang saham FGV seluruh dunia dan
kehilangan besar kepada pendapatan Felda.
Kesanya peneroka Felda tidak lagi disalurkan peruntukan
RM60juta setahun seperti sebelum ini. Ini menyebabkan banyak program sosial
peneroka tidak dapat dilaksanakan
RISIKO HUTANG TANAM KEDUA
Kini Peneroka Felda berdepan dengan penjajahan baharu zaman
Datuk Seri Najib Tun Razak. Tanam semula kedua akan merekodkan hutang di tahun
ke-8 selepas perjanjian baharu ini ialah RM169,600.00 setiap peneroka Felda.
Jika kita ambil purata hutang lama RM30 hingga RM140,000 ( nilai yang tidak
sama diantara peneroka) yang masih berbaki dan dicampur dengan hutang ini, maka
pastinya peneroka bakal berhutang sekurangnya RM200ribu atau lebih diketika
berusia 80 tahun.
PERUMAHAN GENERASI KEDUA
Bermula dengan Projek sentuhan kasih, Perumahan Warga Felda
( PWF ) dan kini Perumahan Generasi Baharu Felda ( PGBF) ianya masih sangat
perlahan untuk memenuhi keperluan anak peneroka Felda. Peruntukan RM1.4bilion
yang diumumkan beberapa tahun lalu dibimbangi tidak diurus dengan baik untuk
mencapai tujuan asal pembinaan 20,000 unit PGBF ini.
Di Pahang sahaja ada 7 projek PGBF yang dikotegerikan '
sakit '. Antaranya di Felda Bukit Sagu, Felda Sungai Retang, Felda Jengka 12,
Felda Jengka 6, Felda Bukit Tajau, Felda Kg. Awah dan Felda Chini 3. Lebih
pelik RM300juta terpaksa dipinjam dari bank perdagangan untuk menyelesaikan
PGBF sakit ini.
MEWAH
Sejak Pengerusi Felda, Tan Sri Isa Samad, dilantik menjadi
pengerusi Felda beberapa tahun lalu, banyak pembelian tanah perladangan dan
perhotelan di dalam dan luar negara telah dibuat. RM1.2bilion digunakan untuk
mengambil alih saham Pontian United Palntation Berhad, RM500juta untuk
pembelian Grand Plaza Service Apartment, RM110 juta dan perbagai transaksi
pengambilalihan saham syarikat tertentu.
TUKAR TAN SRI ISA
Felda mula menjadi tidak stabil bila Tan Sri Isa samad
dilantik menjadi Pengerusi Januari 2011 dan FGV disenaraikan di Papan Utama
Bursa Saham Kuala Lumpur setahun kemudian .
Dengan perkembangan terbaru, isu PT EHP , isu penjualan
kilang TRT, isu pembelian Hotel dan Apartmen, isu KPF, isu Perumahan Generasi
kedua Felda PGBF, isu kejatuhan komuditi sawit dan getah, isu tanam semula
kedua peneroka Felda, pembelian saham perladangan yang dengan harga lebih
tinggi dari pasaran dan berpuluh isu lain yang melanda Felda.
Justeru itu, Kami Pertubuhan Generasi Warisan Kebangsaan (
GENERASI ) mendesak Pihak Kerajaan bentindak segera sebelum parah dengan
mengantikan Pengerusi Felda ini.
Sekian, Terima Kasih.
Roslan bin Md Esa
Presiden GENERASI
29 Mac 2016
Presiden GENERASI
29 Mac 2016
Tiada ulasan:
Catat Ulasan