KUANTAN, 16 Nov — Mahkamah Tinggi di sini, hari ini menolak
saman dikemukakan 571 peneroka daripada Felda Chini dan Chini Timur di Pekan
terhadap Felda dan sebuah anak syarikatnya atas dakwaan menipu kadar perahan
minyak kelapa sawit serta pecah amanah.
Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Seri Mariana Yahya membuat
keputusan itu selepas mendapati plaintif gagal membuktikan dakwaan itu setelah
mendengar keterangan 24 saksi daripada kedua-dua belah pihak sepanjang 51 hari
perbicaraan sejak 2014.
Beliau memerintahkan kesemua plaintif membayar kos ganti
rugi berjumlah RM300,000 kepada Felda dan Felda Palm Industries Sdn Bhd.
Dalam penghakiman setebal 69 muka surat itu, Mariana berkata
setelah mahkamah menilai keseluruhan keterangan dan kesemua dokumen dikemukakan
sepanjang tempoh perbicaraan kes itu, plaintif gagal membuktikan kewujudan
penipuan terhadap defendan.
“Tiada bukti konklusif bahawa saksi yang dikemukakan pihak
plaintif diberi kuasa untuk mewakili dan memberi keterangan bagi pihak kesemua
yang terlibat dalam kes ini,” katanya.
Beliau berkata kredibiliti saksi plaintif juga sangat lemah,
diragui dan tidak konsisten, pengakuan fakta penting oleh saksi itu mencacatkan
lagi kes.
“Atas imbangan kebarangkalian juga mahkamah merumuskan
antaranya pembuktian kerugian tidak konklusif dan bersifat anggaran semata-mata
dengan ketinggalan faktor penting dalam membuat pengiraan ganti rugi,” katanya.
Mariana berkata selain itu saksi plaintif turut gagal
membuktikan defendan telah melanggar mana-mana syarat kontrak atau pecah
amanah.
Sebahagian plaintif yang berada di dalam mahkamah, kelihatan
tenang sebaik hakim membacakan keputusan itu.
Pada 26 April 2012, 770 peneroka dari lapan tanah rancangan
di Felda Chini dan Chini Timur memfailkan saman atas dakwaan penipuan dan pecah
amanah terhadap Felda dan Felda Palm Industries Sdn Bhd.
Mereka mendakwa kedua-dua pihak telah menggredkan hasil
minyak sawit lebih rendah daripada sepatutnya sejak 17 tahun lepas.
Bagaimanapun 199 peneroka daripada jumlah itu menarik diri selain ada yang sudah
meninggal dunia.
Terdahulu, peguam mewakili defendan Ahmad Al-Hady Abdul
Razak dalam hujah penggulungannya meminta mahkamah mengenakan hukuman ganti
rugi RM5,000 terhadap setiap peneroka kerana perbicaraan itu memakan masa yang
lama selain kos yang tinggi.
“Ia melibatkan 20 saksi defendan termasuk dari Kuala Lumpur
dan siasatan juga terpaksa dilakukan dengan teliti sehingga melibatkan kos yang
tinggi, sehubungan itu amat wajar jumlah itu dikenakan untuk setiap plaintif,”
katanya.
Bagaimanapun, peguam yang mewakili semua peneroka berkenaan
R. Sivarasa berkata angka yang ditetapkan itu tidak munasabah dari segi prinsip
selain nilainya yang keterlaluan.
Beliau meminta mahkamah mempertimbangkan hanya mengenakan
jumlah keseluruhan sebanyak RM50,000 bagi membiayai kos perbicaraan. — Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan