PETALING JAYA: Laporan Ketua Audit Negara 2015 (Siri
2) mendedahkan Felda mengalami kerugian lebih RM45 juta dalam usahasama
penternakan ikan dengan salah sebuah anak syarikatnya.
Laporan tersebut turut berkata Felda mengalami kerugian
sebanyak RM28 juta membabitkan empat anak syarikat dan syarikat dibawah
kumpulannya yang ditubuhkan tanpa kelulusan Menteri Kewangan.
Syarikat tersebut ditubuhkan untuk melaksanakan Projek
Pertanian Sturgeon, restoran Savaro dan Projek Pastri Schneeballen.
Menurut laporan itu, Felda Caviartive Sdn Bhd (FCSB)
membelanjakan RM47.61mil dalam projek ternakan ikan tetapi pulangannya termasuk
dari penternakan sturgeon dan pemindahan teknologi tidak disedari susulan
penggantungan projek tersebut.
FCSB menandatangani kontrak bernilai AS$45 juta (RM146.25
juta) dengan dua syarikat I2C Hassed Co Ltd dan I2C Hassed (M) Sdn Bhd yang melebihi
had RM110 juta yang diluluskan lembaga pengarah Felda.
"Syarat perjanjian perkhidmatan pemindahan teknologi
dan perjanjian kontrak reka bentuk binaan yang ditandatangani antara FCSB dan
syarikat yang dilantik tidak melindungi kepentingan FCSB," kata Ketua
Audit Negara.
Global Settlers Sdn Bhd (GSSB) pula membelanjakan RM8.4 juta
untuk membuka lima restoran Savaro tetapi kesemuanya ditutup selepas dua atau
tiga tahun beroperasi.
Sementara itu, bagi Projek Pastri Schneeballen, GSSB membuat
bayaran berjumlah RM2.29 juta kepada sebuah syarikat yang tidak berkaitan.
"Bayaran itu juga dibuat tanpa dokumen sokongan yang
mencukupi dan penglibatan syarikat tidak berkaitan ini tidak dinyatakan dalam
kontrak," katanya.
Laporan itu turut mendedahkan Projek Pastri Schneeballen
ditamatkan pada Oktober tahun lalu dan RM6.39 juta dibayar untuk kontrak dan
mesin pastri.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan