10 ARTIKAL TERKINI
CARIAN BLOG INI
Rabu, Ogos 09, 2017
PAS Hanya Ramai Penyokong, Bukan Pendokong
Sungguh menarik pengalamanku bersama-sama PAS secara aktif sejak dua tahun lalu. Aku cepat belajar rupanya. Aku belajar kelemahan diriku dan aku belajar kelemahan ahli yang berada di dalam gerakan ini. Rumusanku ialah PAS hanya ramai penyokong tetapi kekurangan pendokong.
PAS kini mempunyai sejuta lebih ahli. Penyokong yang bukan ahli pastinya lebih dari itu. Ada yang sokong PAS kerana benci dan marah akan UMNO. Ada yang sokong PAS kerana tak yakin dengan PKR dan parti-parti pembangkang yang lain. Selebihnya adalah mereka yang sokong PAS kerana memahami tuntutan Islam dan melihat PAS sebagai sebuah gerakan Islam yang ikhlas berjuang, amanah dan bersih.
Boleh aku rumuskan bahawa mereka hanya menyokong melalui peti undi. Mereka begitu teruja untuk memenangkan PAS ketika PAS menghadapi pilihanraya. Mereka akan bersyarah dan berdebat dengan rakan taulan untuk meraih undi dan sokongan. Kalau nak bekerja dan berderma sedikit pun masa inilah pilihan mereka.Itulah kemuncak sokongan. Itulah dinamakan penyokong.
Siapakah yang mendokong PAS ketika PAS memerlukan tenaga sepanjang masa di cawangan-cawangan. Kalian di semua cawangan, bersetujukah kalau aku katakan bahawa hanya lingkungan 30% - 50% yang menghadiri mesyuarat, lingkungan 20%- 40% yang melazimi usrah dan lingkungan 30% - 40% yang bekerja untuk menjayakan program-program cawangan. 60% daripada mereka adalah orang yang sama iaitu pemimpin-pemimpin utama cawangan manakala 40% lagi adalah ahli yang ‘sekali ada sekali tak ada’. Peratus-peratus itulah yang boleh dikategorikan sebagai pendokong PAS.
Kejayaan sesuatu organisasi adalah berdasarkan ‘teamwork’, komitmen dan pengorbanan ahli. PAS cawangan berjaya kerana adanya pendokong-pendokong tadi yang sanggup berkorban masa, tenaga dan wang ringgit. Tetapi yang teruk dan penatnya ialah orang yang sama. Terpaksa pegang pelbagai tugas dan jawatan dari peringkat Kawasan hingga MTD, UPU dan cawangan serta tak lupa lajnah-lajnah. Penyokong-penyokong kepada perjuangan Islam sedarkah akan senario penat dan terbeban segelintir pendokong ini?
Kalian mungkin tidak menyedari apa-apa kepayahan mereka kerana kalian hanya memilih untuk menjadi penyokong dalam zon selesa. Zon selesa kalian ialah apabila kalian tidak mungkin ditukarkan tempat kerja, gaji dan pangkat kalian tak mungkin terjejas, wang dan harta kalian tak terluak habis berjuang, masa rehat, masa rekreasi dan masa bersama keluarga tak pernah dicuri oleh perjuangan manakala tenaga kalian kekal sihat tanpa ada penat, tak bermaya dan tak cukup tidur kerana diperah perjuangan.
Aku telah melihat senario ini. Aku telah lihat pemimpin kawasan yang terpaksa menerima amanah memegang 10 tugas dan jawatan. Aku telah lihat pemimpin menghadiri 15 kali dari 15 jenis mesyuarat dalam tempoh sebulan. Aku telah lihat mereka hari ini ke hulu menghulur bantuan, esok ke hilir menziarahi pesakit dan mustadhafin, lusa memaku dinding rumah yang hampir tumbang. Aku pernah lihat rumah mereka ditenggelami banjir ketika mereka sibuk mencaknai mangsa banjir. Ketika mana kita memilih zon selesa perjuangan, kita tak sedar ada zon korban demi Islam.
Hari ini kita boleh terus menghiasi zon selesa kita dan nanti kita mendakwa di hadapan Allah kitalah pejuang. Atau hari ini kita mula menginsafinya dan mula berjinak dengan zon korban. Dari zon manakah Salahuddin al-Ayubi memilih tenteranya untuk meneruskan perjuangan dan akhirnya mereka menang? Senyumlah seperti pesanan murabbiku, Tuan Ibrahim Tuan Man.
“Adakah kamu menyangka bahawa kamu akan masuk Syurga padahal belum lagi nyata kepada Allah (wujudnya) orang-orang yang berjihad (yang berjuang dengan bersungguh-sungguh) di antara kamu, dan (belum lagi) nyata (wujudnya) orang-orang yang sabar (tabah dan cekal hati dalam perjuangan)?”
Ali-Imran: 142
Dato'Sarchu Sawal.
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
kosong
Receive all updates via Facebook. Just Click the Like Button Below▼
▼
Powered By Blogger Widgets
kosong
Tiada ulasan:
Catat Ulasan