PENEROKA FELDA BERHAK MENDAPAT RM50,000 SATU KELUARGA,
BUKANNYA RM15,000
Pengumuman yang dibuat Dato’ Seri Najib Tun Razak bahawa
setiap peneroka FELDA akan mendapat ganjaran RM15,000 selepas penyenaraian
FELDA membuktikan sekali lagi bahawa pentadbiran Barisan Nasional membolot
kekayaan sesama mereka, sedang rakyat diberikan hampas dan imbuhan kecil
sahaja.
KEADILAN telah meneliti prospektus penyenaraian Felda Global
Ventures (FGV) untuk menentukan berapakah nilaian sebenar ganjaran yang
sepatutnya diperolehi oleh peneroka FELDA. Proses ini turut melibatkan
perbincangan dengan penganalisa pasaran untuk menentukan prestasi FGV dan harga
setiap unit saham apabila disenaraikan kelak.
Berdasarkan prospektus penyenaraian, dana yang akan dikutip
oleh FELDA selepas penyenaraian berjumlah RM5.6 bilion, sementara FGV pula akan
mendapat suntikan dana tambahan berjumlah RM4.557 bilion.
Ini berikutan urusniaga berikut:
1. FELDA akan menjual 59% dari pegangannya sedia ada di
dalam FGV(bersamaan 1,208,890,900 saham) kepada pelabur-pelabur baru.
2. FGV akan menerbitkan saham baru berjumlah
980,000,000 yang akan dijual kepada pelabur-pelabur baru
3. Harga penyenaraian setiap unit saham adalah RM4.65
4. Dana tambahan yang dikutip oleh FELDA adalah RM4.65
X 1,208,890,900 = RM5.6 bilion
5. Dana tambahan yang dikutip oleh FGV adalah RM4.65 X
980,000,000 = RM4.557 bilion
Jumlah keluarga peneroka FELDA di seluruh negara adalah
112,635 yang berhak mendapat keuntungan dari proses penyenaraian ini kerana
tanah-tanah seluas 840,603 ekar yang diusahakan oleh Felda Plantatians Sdn Bhd
adalah milik mereka. Tanah ini dipajakkan kepada FGV yang memberi nilaian besar
kepada penyenaraian ini. Tanpa tanah yang diambil oleh FELDA atas nama peneroka
ini, penyenaraian FGV akan gagal.
Oleh yang demikian, KEADILAN berpendapat Dato’ Seri Najib
Tun Razak harus berterus terang kepada rakyat bahawa hanya 30% (berjumlah
RM15,000 setiap keluarga) dari dana yang dikutip akan diagihkan kepada
peneroka. Jumlah keseluruhan agihan ini adalah RM1.689 bilion.
Bakinya yang lebih besar (iaitu 70% dari jumlah dana yang
dikutip) berjumlah RM3.942 bilion akan disimpan dan digunakan oleh pentadbiran
beliau.
Maka, reaksi pertama KEADILAN kepada pengumuman beliau pada
hari ini adalah:
1. Dato’ Seri Najib Tun Razak wajib mengagihkan KESEMUA dana
yang dikutip oleh FELDA kepada peneroka. Ini bersamaan dengan RM50,000 setiap
keluarga, bukannya RM15,000 yang diumumkan. KEADILAN mencabar beliau
mengumumkan agihan keseluruhan RM50,000 ini; dan
2. Pentadbiran Barisan Nasional mestilah memperincikan
bagaimanakah baki RM3.942 bilion akan dibelanjakan supaya ada ketelusan dan
amanah.
Ini bukanlah kali pertama Dato’ Seri Najib Tun Razak
berpura-pura mendahulukan rakyat sedangkan di belakang beliau dan suku sakat
mengaut keuntungan besar dengan menggunakan nama rakyat.
MOHD RAFIZI RAMLI
PENGARAH STRATEGI KEADILAN
1 ulasan:
Pihak pengurusan Felda sudah faham dan tahu sangat dengan kelemahan warga peneroka yang terlalu mudah di kelentong hanya dengan menggunakan wang.
Walau pun dapat RM 15,000.00,( itu pun berperingkat)warga peneroka nampaknya bukan main seronok dan mula pasang angan-angan hendak belanja sakan.
Yang untung atas angin nanti ada lah puak kroni yang pentingkan diri sendiri.
Yang jadi papa kedana nanti semesti nya puak peneroka yang tidak sedar diri akan menanggung masalah hutang bank.
Kesian tak habis-habis peneroka di peralatkan dan di gulakan se bagai umpan pilihan raya ke 13.
Catat Ulasan