Jika saya tinggal di London, New York atau paling terukpun
di Guangzhao, Melbourne jika minyak naik saya tak terasa pun. Alternatif
disediakan untuk saya sampai dari sejauh zon 6 Kota London ke tengah bandar
ataupun ke zon 6 arah berlainan dalam masa kurang 1 jam sekalipun semasa
penyuraian waktu puncak. Apa nak risau jika Tuan Mayor Kota London juga naik
train ke tempat kerja, untuk mesyuarat dengan pelanggan di mana-mana sahaja
juga boleh naik train. Belanja pun tak banyak, guna sahaja kad bulanan mereka itu
boleh sahaja melacak ke seluruh London. Untuk ke Manchester, Nottingham
(seperti kita nak ke Kota Bharu dan Kuala Terengganu) boleh guna train juga
dengan kekerapan tinggi dan HARGA YANG MURAH (jika nak banding dengan
pendapatan mereka, harga itu memang murah).
Hari ini kita dipaksa untuk telan kenaikan harga tanpa
kerajaan tuntaskan keperluan pengangkutan awam yang sangat parah. Naik bas pun
tidak pasti boleh sampai ke pejabat tepat atau awal dari masa walaupun ada
lorong khusus untuk bas. Saya minat melihat lorong bas di Istanbul seperti
track keretapi yang tidak boleh dilalui kereta. Tak perlu buat landasan dan tak
perlu beli keretapi mahal-mahal. Guna bas sedia ada juga sudah lebih baik dari
membuat projek pelebaran lebuhraya. Sampai kita ada 50 lorong pun masih tetap
tak cukup.
Tindakan pentingkan diri juga boleh disabitkan. Jika hebat
pengangkutan awam nanti Proton punya jualan merosot pula. Dr. M tak akan
berdiam diri.
Malaysia sudah diwarisi kepada Datuk Seri Najib Razak dalam
keadaan yang sudah parah. Dapat pula ke tangan anak yang lahir atas dulang emas
yang tidak pernah merasai kesusahan rakyat secara realistik dan peribadi. Saya
tersinggung semasa pertemuan bersama beliau dalam satu perbincangan
"tehtarik" di Jibby & Co Subang awal tahun ini, beliau berseloroh
tentang isu air dan saya lihat ia tidak kelakar langsung. Pada keadaan gawat
air dengan penggunaannya bercatu dengan asbab beberapa dari kami bercatu air di
rumah sehingga mandipun nak bercatu, beliau boleh berseloroh "Saya boleh
mandi...rumah saya ada air" (lalu ketawa).
Saya tahu ini pedas untuk Datuk Seri dan saya juga harap tak
perlu nak katakan ini secara umum. Email cadangan berkajang-kajangpun, yang
membacanya bukan dia tetapi ditapis oleh lapisan yang mungkin lihat ini remeh.
Tapi kita lupa, jika suara rakyat ini seperti air. Jika disekat dia akan
melimpah juga sehingga satu ketika limpahan itu akan meruntuhkan empangan yang
dibina selama 57 tahun.
Petronas diajar untuk mengatakan rezab minyak kita tinggal
sedikit, tetapi kerajaan lupa jurutera-jurutera carigali Petronas ada mulut dan
ada Facebook. Mereka boleh bercakap dan mereka selalu bercakap rezab minyak
kita sangat banyak lagi. Sekecil Brunei itu sendiri rezab minyaknya masih lagi
tidak habis-habis dan tidak akan habis sehingga 2030, mengapa kita boleh fikir
rezab kita akan habis pada 2030-an?
Masalah bila orang senang mentadbir, semuanya mahu dibeli
dengan wang. Berikan rakyat BR1M sebagai gula-gula yang tidak mengenyangkan dan
tidak juga berkhasiat. Wang tunai ditabur-tabur seperti Ali Baba Bujang Lapok
memberi sedekah di pasar-pasar.
Turunlah Datuk Seri, Turunlah....
Bukan turun meletak jawatan, tetapi sebelum itu turunlah
melihat SENDIRI kepayahan rakyat. Mungkin susah untuk Datuk Seri tahu sehingga
Datuk Seri menerima gaji RM1500 sebulan dan perlu berulang alik dengan kereta
sendiri yang berhutang dengan bank dengan kadar faedah bank konvensional dan
"Islamik" tapi menjerut leher. Isi minyak sendiri dan bayar tol
sendiri juga bayaran parking. Makan dengan bekal nasi yang dimasak oleh Datin
Seri Rosmah sendiri. Mungkin baru boleh memahami dengan sebenar-benarnya.
Secara praktikal, itu mungkin sukar tetapi kami yakin Datuk
Seri boleh turun dan lihat sendiri dan dengar sendiri kata-kata rakyat tanpa
perlu protokol Perdana Menteri yang kadangkala mengarut dan menjarakkan
informasi rakyat kepada Datuk Seri. Jika rakyat tak mampu sampaikan terus,
rakyat akan sampaikan dalam media sosial.
Untuk pengetahuan Datuk Seri, jika Datuk Seri buat lawatan
ke sesuatu tempat, orang-orang Datuk Seri akan jadikan tempat sampah nampak
macam Hyde Park. Setinggan nampak macam hotel 5 bintang tetapi setelah Datuk
Seri pulang, semuanya dicabut semula dan tinggallah semuanya dalam keadaan
sediakala sementara Datuk Seri dengan bangga membuat kenyataan "SYUKURKAH,
MALAYSIA SUDAH MAJU".
Apabila minyak naik harga, kesannya tetap kesan domino.
Janganlah Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (Menteri
Ayam) membuat kenyataakn memujuk yang harga barang tidak akan naik. Saban kali
berlaku begitu, harga naik tetap naik. Penguatkuasaan kementeriaan hanya
sekadar seperti seorang bapa menegur anak nakalnya yang panjat-panjat rumah
tetamu dan memecahkan pinggan dengan teguran "Haiiippppp....babab
kangg" dan kemudian sambung bersembang semula.
Dulu semasa saya kecil, saya terpaksa percaya pada RTM. TV3
masa tu kalau nak dapat siaran pun kena pasang tudung periuk di antena. Setiap
kali nak pilihanraya, Van Kementerian Penerangan akan buat hebahan WAYANG PACAK
di pekan sehari Felda. Ramai-ramai kami berlonggok nak tengok cerita A.R Badul
sambil hampar tikar dan kami juga terpaksa telan kempen pilihanraya yang main
dalam wayang pacak ini. Sekarang surat khabar dan TV sudah bukan sumber
doktrinisasi kerajaan lagi, kami boleh dengar terus dari suara rakyat di sebelah
sana juga sebelah sini tanpa perlu mereka menjadi pemberita.
Datuk Seri, buanglah darah kerabat dan darah bangsawan yang
ada dalam diri. Bercampurlah dengan marhaen yang sering terpaksa menelan semua
yang disuapkan tanpa rela.
Datuk Seri mungkin lihat, selepas beberapa bulan rakyat akan
senyap kembali dan semuanya berjalan seperti biasa dan Datuk Seri akan buat
kenyataan "Alhamdulillah, Rakyat Malaysia sudah mampu terima
kemajuan".
Boleh naikkan harga minyak, tetapi siapkanlah sarana
pengangkutan awam yang murah dan efisyen serta boleh diharap. Jangan jadikan
KEPERLUAN AWAM seperti pengangkutan, elektrik dan bekalan air sebagai satu
perniagaan untuk dasar keuntungan tetapi jadikanlah itu satu khidmat yang wajib
bagi sebuah kerajaan.
Sedarkah Datuk Seri, di sebalik penerimaan itu bukan kerana
kerelaan tetapi kerana mereka terpaksa mencara jalan survival kerana sandaran
mereka kepada Kerajaan sudah tidak berguna lagi. Nenek tua yang patut berehat
terpaksa menjaja untuk tidak rasa membebankan anak-anaknya yang menjaga beliau.
Berapa ramai anak jadi yatim kerana bapanya maut dalam kemalangan motorsikal
kerana mengantuk membuat kerja tambahan sehingga 20 jam sehari? Berapa ramai
anak-anak yang rosak akhlaknya kerana ibu bapa terpaksa kerah tenaga bekerja siang
dan malam? Berapa ramai anak-anak yang terpaksa menukar ruji mereka dari nasi
kepada bubur lembik? Berapa ramaikan bapa-bapa marhaen akan dipenjara kerana
mencuri susu di pasaraya kerana anak kecilnya menangis kehabisan susu? Berapa
ramaikah adik beradik berbunuhan kerana kesempitan ruang hidup? Berapa ramaikah
suami dan isteri yang bercerai kerana kehidupan sudah jadi terlalu mahal untuk
kekal bersama.
Datuk Seri tak mungkin tahu perkara ini. Kerana ayah, atuk
dan keturunan Datuk Seri ialah orang Bangsawan. Bukan Marhaen yang melarat.
Tidak salah jika saya sarankan Datuk Seri untuk belajar dan mungkin bekerjasama
dengan individu yang memimpin dalam miskin seperti Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik
Mat. Saya yakin, jika tiada sekatan pembangunan dari kerajaan pusat, saya yakin
cara kepimpinan TGNA mampu ubah Kelantan menjadi negeri termaju.
Bangsawan dengan bangsawan, Marhaen dengan marhaen. Jika
makan berpinggan emas, masakan tahu erti tidur berbumbung langit.
Turunlah ke bawah seperti Khalifah Ummar lakukan....secara
DIAM, sembunyi dan tidak dikenali. Jika turun padang Datuk Seri dengan
rombongan sekapal dan gempita siren-siren polis pengiring, orang buta pun akan
tahu PM yang datang.
Datuk Seri, bukannya marhaen tidak berjimat. Sudah habis
susu anak berganti air sirap kurang gula kami berikan anak-anak kami yang
menangis. Bukan juga marhaen malas, kerana marhaen sampai sudah hampir 24 jam
bekerja. Jika tidur itu tidak wajib, 24 jam itu marhaen akan bekerja.
Bertimbang taralah...
Datuk Seri pembuat keputusan tertinggi di Malaysia. Input
kepada percaturan keputusan Datuk Seri ialah informasi yang diberi. Jika
informasi tidak telus, maka keputusan Datuk Seri pun akan jadi zalim juga.
Pentadbiran Datuk Seri terlampau mahal dan sesuap makanan
Datuk Seri ialah sebaldi peluh marhaen. Bil Elektrik Datuk Seri setahun boleh
menghantar 50 orang anak-anak Marhaen menjadi doktor yang tidak berhutang
dengan PTPTN. Mungkin juga jika benar desas desus akan beg tangan Datin Seri
yang mahal itu, untuk setiap satu beg tangan itu bernilai lebih dari pendapatan
seumur hidup beberapa orang marhaen.
Datuk Seri, tak mengapa jika Wawasan 2020 tidak dicapai pada
tahun 2020. Apalah guna jika dicapai tetapi kekayaan negara tidak dapat dirasai
bersama, yang miskin terus tertolak tempatnya dari daratan negara.
Datuk Seri, MALAYSIA BELUM AMAN. MALAYSIA BELUM MAJU.
1 ulasan:
Sayang betul pada keluarga Anwar adalah smalan mulia. Kajang tetap tak berubah dari banjir dan sampah.
Catat Ulasan