Oleh MatRodi
Apabila Felda mempunyai pengerusi baru pada 6 Januari awal
tahun ini, ramai yang merasakan jawatan tersebut sewajarnya diberikan kepada seorang
professional ataupun teknokrat.
Saya juga tidak terkecuali berpendapat sedemikian walaupun
Tan Sri Shahri Abdul Samad adalah seorang mentor dan rakan.
Saya akui analisa dan ulasan ini mungkin akan dianggap
sedikit bias.
Walaupun begitu, menjadi seorang rakan yang mengikuti
perjalanan beliau sepanjang di Felda memberikan satu perspektif lain dalam
menganalisa Felda.
Kemungkinan, terdapat juga beberapa perkara yang tidak boleh
dikongsikan kepada umum.
Akan tetapi saya cuba memberi penilaian seobjektif yang
mungkin.
Secara amnya, Felda mempunyai 4 isu utama yang memerlukan
perhatian segera.
1)Isu pertama adalah pelaburan ke dalam PT Eagle High.
2) Isu kedua adalah isu kelangsungan modal.
3) Isu ketiga adalah struktur tadbir urus dan governans.
4) Dan isu keempat adalah perumahan.
Dalam isu pelaburan Felda ke dalam PT Eagle High, antara
kritikan terbesar adalah jumlah pembayaran yang dikatakan terlalu tinggi.
Ramai yang mempersoalkan kewajaran Felda membayar pada harga
tersebut tetapi tidak memiliki ‘controlling stake’.
Walaupun Felda membayar pada harga 30% lebih murah
berbanding harga asal yang ditawarkan kepada FGV dan penilaian harga ini
berdasarkan nilai ‘enterprise’ per hektar yang lebih tepat, apa yang lebih
mustahak adalah apakah yang dirundingkan oleh pengerusi baru untuk menjadikan
pelaburan tersebut lebih menguntungkan.
Antara perkara yang dirundingkan adalah pembayaran dividen
selepas 6 bulan dari tarikh penbelian daripada Rajawali.
Hal ini berdasarkan prestasi hebat kumpulan Rajawali. Oleh
itu, ia permintaan yang adil. Dan sedikit sebanyak ia boleh mengubah persepsi
pengkritik.
Terdapat juga beberapa klausa yang memagari (ring-fenced)
pelaburan Felda yang mana sekiranya beberapa syarat tidak dipenuhi, Felda akan
mendapat sesuatu. Ini secara langsung mengurangkan lagi risiko pelaburan Felda.
Yang jelas, pelaburan ini adalah pelaburan yang strategik
kerana ia bukannya berkaitan hasil ladang kelapa sawit semata-mata bahkan ia
melangkaui kepada pendapatan berterusan Felda.
Nantikan pengumuman perkara ini tidak berapa lagi.
Dalam isu kedua, kekurangan pendapatan Felda berlaku
bukanlah akibat salah laku dan urus tadbir semata-mata.
Punca utama adalah apabila Felda ‘melepaskan’ sumber
pendapatan utama mereka kepada FGV.
Pada masa yang sama tuntutan perbelanjaan sosial Felda saban
tahun makin meningkat.
Lebih 70% perbelanjaan digunakan untuk perkara-perkara yang
bukanlah bersifat komersil seperti pemberian subsidi, fasiliti pinjaman,
bantuan hidup, infrastruktur dan banyak lagi.
Akibatnya, Felda mengalami defisit sebanyak RM700 juta ke
RM1.1 billion setiap tahun.
Jika ahli perniagaan memegang Felda, kemungkinan besar
beliau akan terus melaksanakan langkah pemotongan perbelanjaan kerana itulah
syarat untuk membaik pulih sesebuah syarikat yang tenat.
Tetapi bolehkah Felda atau khususnya peneroka Felda menerima
perkara sedemikian?
Jangan lupa, Felda mempunyai hubung kait rapat dengan
keadaan politik di negara dan sudah pasti kepada parti pemerintah.
Hakikat bahawa parti politik lawan juga menjadikan Felda
sebagai isu nasional juga menjelaskan dividen politik dalam memenangi hati
peneroka Felda.
Mereka yang naif atau terlalu obses dengan nombor sudah
pasti akan mengambil langkah memotong perbelanjaan kerana ia adalah langkah
yang tepat.
Penganalisis akan gembira, peneroka mungkin berduka.
Tetapi seorang ahli politik lebih celik akan hal ini dan
beliau akan mencari jalan yang mungkin kurang digemari untuk penganalisis,
tetapi langkah tersebut adalah mesra pengundi (baca: peneroka).
(Sekadar perbandingan, kita boleh rujuk kisah ‘turn around’
Malaysia Airlines yang memberhentikan 6,000 pekerja.)
Oleh itu, Pengerusi Felda membuat keputusan untuk menjual
hartanah di luar negara walaupun ada sesetengah hartanah memberikan pulangan
yang agak bagus.
Langkah ini samalah seperti menjual sedikit pegangan Felda
dalam Maybank.
Adakah penganalisis dan pasaran mengkritik langkah ini? Ya.
Adakah peneroka dan staff Felda terkesan dengan urus niaga
tersebut? Tidak.
Namun begitu, langkah ini masih bersifat sementara dan tidak
menyelesaikan isu asas iaitu pendapatan berterusan.
Bagi menyelesaikan masalah ini, Felda sedang melakukan satu
urusan (corporate maneuver) untuk kembali ke bidang perniagaan yang mereka
terbukti kepakarannya iaitu- perladangan.
Lebih 1,000 hektar tanah kelapa sawit akan diperolehi dan
sama ada ia adalah kawasan dalam negara atau luar Negara sama-samalah kita
nantikan.
Secara tuntasnya, ia memberikan Felda sumber pendapatan yang
berterusan.
Dalam isu ketiga iaitu tadbir urus dan governans, kita akui
ia adalah perkara yang menyebabkan persepsi buruk terhadap Felda.
Lebih mengeruhkan keadaan lagi apabila ramai yang gagal
membezakan Felda dan FGV meskipun kedua-duanya adalah entiti yang berbeza.
Apa yang menjadi kerugian FGV, disalahkan kepada Felda.
Apa yang menyebabkan kerugian Felda, menjadikan harga saham
FGV jatuh.
Langkah mempunyai dua individu yang berbeza menjadi
pengerusi Felda dan FGV adalah langkah yang sedikit sebanyak boleh membetulkan
persepsi tersebut.
Tetapi masih tidak cukup.
Masih terdapat beberapa masalah governans utama yang
membelengu Felda.
Antaranya adalah struktur ‘check and balance’ di antara HQ,
Rancangan, Wilayah dan Peneroka.
Bagaimana aduan dari peneroka akan benar-benar sampai ke HQ?
Adakah arahan HQ akan dijalankan oleh Wilayah?
Bagi memperbaiki perkara ini, sebuah unit naziran ditubuhkan
khas bagi melihat, membantu dan memantau segala isu berkaitan peneroka
khususnya pengurusan kebun/ladang.
Kini peneroka boleh terus melaporkan kepada nazir yang
dilantik tanpa perlu melalui proses saluran rasmi yang mungkin mengambil masa
terlalu lama.
Unit naziran akan bertindak dalam masa kurang 48 jam kerana
dunia hari ini bersifat segera. Musibah hari esok sudah menjadi berita pada
hari ini.
Secara tidak langsung, unit ini berupaya menjadi ‘check and
balance’ kepada peneroka dan juga Felda.
Seterusnya, langkah menerapkan tadbir urus yang bagus kepada
Felda Investment Corporation (FIC) bermula dengan arahan Pengerusi Felda baru
kepada ahli lembaga pengarah FIC supaya meletakkan jawatan.
Pada masa yang sama siasatan dan tangkapan SPRM kepada bekas
pengarah besar dan beberapa pegawai kanan Felda dan FIC tidak diganggu malah
diberikan kerjasama penuh.
Tidak lama lagi, FIC akan mempunyai ahli lembaga pengarah
yang baru.
Dalam memastikan FIC menjadi sebuah unit pelaburan yang
professional dan diyakini pasaran, tidak ada seorang pun ahli politik yang
dilantik menjadi ahli lembaga pengarah FIC.
Bahkan Pengerusi Felda sendiri tidak akan menjadi pengerusi
FIC demi amalan tadbir urus dan struktur governans yang bagus.
Ahli-ahli lembaga pengarah dipilih merangkumi pelbagai
bidang seperti akauntan bertauliah, peguam, pakar pelaburan, pemain hartanah
dan perbankan.
Lebih mengujakan adalah ahli lembaga pengarah termuda
berumur lingkungan awal 40-an. Ini suatu perkara yang sihat.
Bolehkah kita membayangkan jika seorang professional yang
dilantik mejadi pengerusi agensi kerajaan kemudiannya memecat ahli politik yang
ada di situ dan kemudiannya tidak memilih seorang pun ahli politik dari parti
yang asalnya meletakkan beliau menjadi pengerusi?
Ini sedikit sebanyak menjelaskan mengapa Felda berlainan dan
hanya ahli politik berpengalaman sahaja mempunyai ‘political will’.
Isu terakhir adalah perumahan.
Perumahan adalah tanggungjawab semua. Ia bukanlah isu Felda
semata-mata, bahkan sudah menjadi isu nasional.
Disebabkan itu, adalah penting bagi semua pihak, dari
kerajaan negeri sehinggalah ke agensi kerajaan untuk sama-sama menyelesaikan
isu ini.
Felda juga tidak boleh menjadi bodoh sombong dengan
mengekalkan cara lama iaitu dengan membina ribuan unit rumah pada harga
subsidi. Ia memerlukan inisiatif baru yang lebih jimat dan effisien.
Untuk itu, Felda telah berunding dengan agensi kerajaan
seperti SPNB, bertemu menteri-menteri besar kerajaan negeri dan bercakap dengan
pihak berkuasa negeri dalam memperkenalkan sebuah inisiatif perumahan baru.
Inisiatif ini melibatkan pemberian tanah oleh kerajaan
negeri (dan juga tanah milik Felda) yang mana pihak berkuasa negeri akan
membantu dan mempercepatkan urusan pertukaran status, pecah lot dan hal-hal
melibatkan kelulusan.
Peneroka akan menerima lot tanah dan mereka akan diberikan
pinjaman dan bantuan kewangan dari agensi kerajaan seperti SPNB untuk membina
rumah mengikut spesifikasi dan bajet yang ditetapkan.
Felda pula akan membina kemudahan asas seperti jalan raya,
api air dan infrastruktur kegunaan awam.
Inisiatif ini bukan sahaja lebih berhemah dari sudut
kewangan tetapi menunjukkan kepada umum bahawa Felda adalah tanggungjawab
bersama.
Projek sulung bagi inisiatif ini telah pun dilancarkan pada
hujung Februari lepas di Keratong 5, Pahang dan lebih banyak lagi projek
perumahan bakal menyusul.
*
Di akhirnya, saya tetap bersetuju syarikat GLC seharusnya dikepalai oleh mereka yang berkebolehan, kompeten dan dari golongan professional serta teknokrat.
Di akhirnya, saya tetap bersetuju syarikat GLC seharusnya dikepalai oleh mereka yang berkebolehan, kompeten dan dari golongan professional serta teknokrat.
Perkara ini ada meritnya kerana golongan ini dianggap bebas
dari pengaruh politik dalam membuat keputusan.
Maka, sudah pastilah ia perkara yang bagus kerana bagi
sesebuah organisasi yang mempunyai begitu banyak dana, kontrak dan tender,
keputusan sesuatu perkara tidak boleh dibuat mengikut kepentingan politik
pengerusi.
Namun, sebagaimana yang kita tahu melalui tangkapan SPRM ke
atas pengerusi, CEO dan pegawai kanan syarikat, agensi kerajaan, bank serta
kementerian, sebilangan golongan professional dan teknokrat juga mempunyai
sikap dan perangai yang sama dengan sesetengah ahli politik iaitu mereka juga
ada kepentingan peribadi yang tidak baik.
Oleh itu, kemungkinan pandangan popular ini perlu diberikan
pemikiran semula ataupun tidak boleh dijadikan sebagai ‘general rule’ apabila
kita bercakap mengenai lantikan ahli politik kepada mana-mana GLC.
Dalam kes Felda ia sedikit berlainan atas beberapa faktor.
Pertama, Felda bukanlah sebuah entiti perniagaan seperti GLC
sebaliknya ia adalah sebuah agensi Persekutuan.
Gaji pengerusi hanyalah RM8,000 sebulan.
Namun sekadar menjadi sebuah agensi kerajaan tidak bermakna
ahli politik wajib dilantik sebagai seorang pengerusi.
Sekali lagi dalam hal ini Felda berbeza.
Felda bukanlah sekadar sebuah agensi kerajaan yang
memberikan servis urusan seharian tetapi Felda adalah sebuah entiti yang amat
berkait rapat dengan sosio politik negara dan kelangsungan ekonomi bagi kaum
majoriti di Malaysia.
Jatuh bangun Felda memberi kesan kepada ratusan ribu orang
Melayu- baik ekonomi mahupun politik.
Oleh yang demikian, Felda memerlukan seorang pengerusi yang
bukan setakat mementingkan ‘book balance’ dan ‘bottom line’ akaun sebaliknya
seorang yang peka dan sensitif mengenai aspek kebajikan peneroka, politik parti
pemerintah, sentiment masyarakat dan ‘strike the right balance’ di antara semua
pihak berkepentingan.
Lebih penting, pengerusi itu haruslah berkebolehan ‘pull
some strings’ dari pihak-pihak berkepentingan tersebut.
Saya berpendapat (walaupun mungkin ramai yang kurang
setuju), kebanyakan ciri-ciri ini ada pada kebanyakan ahli politik yang
berpengalaman.
Kita semua tahu ahli politik adalah seorang yang tidak akan
memikirkan untung rugi semata-mata.
Mereka juga akan menjaga sentimen nasional, kepentingan
kawasan mereka, sokongan di peti undi beliau dan juga agenda tertentu yang
mereka perjuangkan.
Tidak kiralah ahli politik parti mana tetapi secara amnya,
itulah karakter mereka.
Saya tidak pasti bagaimana prestasi ahli politik yang
menjadi pengerusi di organisasi yang lain tetapi untuk Felda, inilah analisa
saya sepanjang 100 hari agensi persekutuan ini menerima pengerusi baru.
Mat Rodi
(Penulis merupakan CEO hartabumi.my dan di masa
lapang memberikan input berkenaan polisi dan bisnes. Antara klien beliau adalah
syarikat ride-sharing app, syarikat penerbangan, agensi kerajaan dan ahli-ahli
parlimen.
Beliau merupakan penulis buku ‘Saring Sebelum Mereng’, ‘TPPA
Harimau’ dan penulis bersama bagi buku “Chedet: Apa Habaq Orang Muda?’ dengan
YABhg Tun Dr Mahathir.)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan