Wan Rohimi menulis...
Firma guaman saya di saman oleh sebahagian bekas anakguam sejak 27/7/2011.
Belum pun saya menerima serahan Writ Saman tersebut, Timbalan Menteri yang
bertanggung jawab ke atas Felda, Dato’ Ahmad Maslan dalam satu majlis di sebuah
Masjid Felda Maokil, Labis, Johor (dalam kawasan Parlimen Pagoh, yang mana ahli
Parlimennya adalah Tan Sri Muhyiddin Yassin – Timbalan Perdana Menteri
Malaysia) telah bercerita kepada peneroka-peneroka di sana tentang Saman ke
atas firma guaman saya. Seingat saya waktu itu pada hujung Julai 2011, dan
dalam bulan puasa. Sudah tentu dalam majlis itu ulasan Ahmad Maslan tiada yang
baik-baik terhadap saya. Biasalah Ahmad Maslan, menteri gempal yang bermulut
celupar ini gemar membuat kenyataan-kenyataan yang bersiku ke lutut! Penuh angkuh
dan sombong tetapi menikus bila dicabar berdebat.
Di Felda Maokil itu saya telah mewakili 645 (daripada 712 orang peneroka
keseluruhannya dari Felda Maokil 1, 2, 3, dan 4) peneroka di situ dalam kes
yang hampir sama dengan kes Kemahang 3, untuk menyaman Felda. Kes ini masih
tergantung di Mahkamah Persekutuan sejak 30/11/2011, berkenaan dengan isu
undang-undang bagi rujukan kepada Timbangtara di bawah Akta Timbangtara 2005.
Sejurus selepas majlis itu, anakguam saya di Felda Maokil menghubungi saman
untuk bertanya apa yang sebenarnya berlaku di sebalik Saman tersebut. Saya
terkejut, kerana pada masa itu saya belum pun diserahkan dengan Saman oleh
bekas-bekas anakguam, tetapi Ahmad Maslan telah pun mendahului saya tentang
Saman tersebut. Hebat bukan?
Tidak lama selepas itu, Utusan Malaysia mula memainkan peranannya. Satu berita
artikel bertajuk “Tidak Puas Hati Dengan Pembahagian Wang Menang Saman RM12
juta” telah disiarkan pada 20/9/2011. Fakta-fakta dalam berita tersebut amat
melencong dan tersasar. Namun menariknya sumber Utusan Malaysia tersebut adalah
merujuk kepada satu sumber dari Kuala Lumpur, dan bukannya dari perbicaraan di
Mahkamah Tinggi Kota Bharu. Kerana pada 18/9/2011, telah berlangsung
perbicaraan permohonan saya untuk membatalkan kes tersebut.
Pada 2/10/2011, Mahkamah Tinggi Kota Bharu telah bersetuju dengan hujjah
peguam-peguam saya, dan membatalkan Saman tersebut. Antara lainnya Hakim
bersetuju dengan hujjah peguam-peguam saya Yusfarizal Bin Yussoff, Muhd Azmi
dan Majdah Muda, bahawa Saman yang difailkan ke atas saya di bawah Aturan 43
Kaedah-Kaedah Mahkamah Tinggi 1980 adalah untuk meminta maklumat akaun. Menurut
Mahkamah, itu satu penyalahunaan proses Mahkamah, tiada kausa tindakan kerana
jika anak-anakguam ingin mencabar fee guaman, prosiding yang sepatutnya dibawa
adalah petisyen pencukaian yang hendaklah difailkan dalam tempoh 6 bulan dari
tarikh penerimaan Bil Guaman atau bayaran yang diterima anakguam, atau
selewat-lewatnya dalam masa 1 tahun dengan kebenaran (leave) daripada Mahkamah.
Selepas 1 tahun Bil Guaman tidak lagi boleh dicabar di mana-mana Mahkamah dan
dengan itu jumlah yang dibilkan hendaklah dianggap terhutang, oleh anakguam
kepada peguam mereka. Itulah kedudukan undang-undang berkenaan dengan sebarang
sebarang pertelingkahan antara anakguam dan peguam sebagaimana yang
diperuntukan melalui S. 126 dan S. 128 Akta Profesion Undang-Undang 1976. Untuk
rekod, wang bayaran yang diterima oleh anakguam saya adalah pada September 2010
dan dengan itu tempoh mencabar Bil Guaman adalah pada Mac 2010, atau pada
September 2010 dengan kebenaran Mahkamah. Sehingga kini, hampir 2 1/2 tahun
berlalu, tiada petisyen sedemikian tidak pernah difailkan terhadap firma guaman
saya.
Mahkamah selanjutnya memutuskan bahawa tiada kekaburan (no uncertainty)
berkenaan dengan jumlah wang yang diterima dan wang yang dipotong untuk fee
guaman, dan Saman itu adalah merupakan satu ekspedisi memancing untuk
merekacipta satu kausa tindakan yang baru (fishing expedition to create a new
cause of action). Untuk menunjukkan keberangan Mahkamah, sewaktu membatalkan
Saman tersebut Mahkamah telah mengarahkan peguam kepada bekas-bekas anakguam
saya membayar kos sebanyak RM10,000-00 secara peribadi.
Walau bagaimana pun, Mahkamah Rayuan pada 8/5/2012 tidak bersetuju dengan keputusan
Mahkamah Tinggi Kota Bharu dan memutuskan bahawa terdapat isu-isu yang perlu
dibicarakan dan kes itu tidak sesuai untuk diputuskan pada peringkat permohonan
interlokutori. Lanjutan daripada keputusan tersebut, Mahkamah Rayuan menghantar
kembali kes itu ke Mahkamah Tinggi Kota Bharu untuk perbicaraan penuh.
Itu adalah perjalanan prosiding Mahkamah setakat ini.
Namun apa yang saya ingin sampaikan di sini ialah pada 3/10/2011, Utusan
Malaysia menyiarkan satu artikel bertajuk: “SAMAN FELDA, SAMAN POLITIK”.
Antara lainnya kenyataan berikut telah dipetik oleh Utusan Malaysia daripada
Ahmad Maslan:-
“... . saya berangggapan mungkin Mazlan dan peguam belanya itu mendapat
keuntungan daripada hasil menghasut peneroka”, kata Ahmad.
Menurut Ahmad, di Felda Maokil Pagoh kini, sudah terdengar cakap-cakap sikap
tidak beretika mengenai peguam bela yang dikatakan cuba membela peneroka dalam
isu saman kadar perahan sawit ke atas Felda.
“Dikatakan ada satu perjanjian berasingan pula dibuat iaitu kalau peneroka tarik
balik saman, peneroka terbabit kena bayar RM5,000-00 kepada peguam terbabit,
saya sudah tanya beberapa peguam tentang perjanjian seumpama ini, ramai yang
menyatakan ia tidak beretika. Nampaknya sebilangan peneroka Felda Maokil
tersentak.
Tanpa fakta yang lengkap, Ahmad Maslan menyerang saya dan mempersoalkan urusan
saya dengan anakguam saya. Keceluparan Ahmad Maslan telah menceroboh hubungan
keistimewaan antara peguam dan anakguam (solicitors’ client privilege) dengan
harapan dapat mencemarkan nama dan reputasi saya, sekiranya masih berbaki. Saya
telah mengeluarkan sepina kepada kedua-dua wartawan Utusan Malaysia tersebut,
dan peguam-peguam saya sudah bersedia untuk mengasak kedua-dua wartawan
tersebut di kandang saksi dalam perbicaraan kes Saman saya nama-nama yang
dirujuk dalam Surat Felda bertarikh 6/6/2011 yang telah saya siarkan dalam
posting terdahulu.
Itu tidak penting. Tetapi yang penting ialah bilamana Ahmad Maslan menuturkan
ungkapan Ahmad Maslan dalam Utusan Malaysia: “...saya berangggapan mungkin
Mazlan (Aliman) dan peguam belanya itu mendapat keuntungan daripada hasil
menghasut peneroka”.
Dengan tidak semena-mena Ahmad Maslan mengaitkan saya dan Mazlan Aliman dengan
urusan guaman yang tiada kena mengena dengan Mazlan Aliman. Dengan tidak semena-mena,
Mazlan Aliman dikaitkan dan difitnah atas kes Mahkamah yang saya kendalikan.
Mudah bukan untuk melemparkan fitnah? Ya, itulah yang diungkapkan oleh Ahmad
Maslan. Satu kenyataan fitnah yang memalukan, terpacul dari mulut seorang
Menteri 1 Malaysia.
Ahmad Maslan boleh bertindak sebongkak itu sementara sisa-sisa kuasanya masih
berbaki. Ludahlah fitnah itu keserata alam, dan banggalah atas kuasa sementara
yang dipinjamkan kepada kamu. Tetapi nasihat saya, serahkanlah urusan menyerang
saya itu kepada blogger-blogger upahan, ataupun kepada Majlis Belia Felda.
Tidak perlulah kamu seorang bertaraf menteri bercakap tentang isu-isu picisan.
Menyerang saya yang kerdil ini, akan meningkat saham saya pada kacamata
masyarakat kerana serangan itu datang dari menteri, terhadap saya yang tiada
apa-apa jawatan dalam masyarakat atau politik. Di sebaliknya, kamu dilihat
sebagai seorang menteri yang tiada class, mempunyai mentaliti kelas ketiga
kalau hanya melayan isu-isu yang tidak mempunyai kepentingan nasional.
Tetapi melihat kepada serangan-serangan beliau keatas saya, samada secara
terang atau tersembunyi, ingin benar saya berdebat dengan Ahmad Maslan, atas
semua isu yang melibatkan Akta GSA dan kebajikan peneroka. Atau survival
peneroka untuk 50 tahun akan datang, atau nasib peneroka pasca penyenaraian
Felda Global Ventures ke Bursa Malaysia. Kita berdebat atas isu nasional. Kita
berdebat atas intipati wasiat Tun Razak. Kita tinggalkan politik murahan itu!
Kita daulatkan intelek dan gentleman.
Namun saya sedar saya anak kampung yang tidak punyai apa-apa. Justeru saya
tidak mahu mencabar Ahmad Maslan untuk berdebat, sebagaimana 2 kali cabaran
yang dilontarkan oleh Mazlan Aliman dan terhadap kedua-dua cabaran itu, Ahmad
Maslan menikus! Kali ke-3 kita tunggu 16/2/2013 ini. Saya tidak akan mencabar
Ahmad Maslan, kerana dia orang hebat, Ketua Penerangan UMNO Malaysia. Seorang
Timbalan Menteri yang bertanggungjawab ke atas 112,635 keluarga peneroka dan
1.2 juta populasi peneroka. Walau pun Ahmad Maslan dan saya memiliki disiplin
ilmu perdebatan dan undang-undang yang sama, yang sekufu, yang sama tara,
tetapi siapalah saya untuk melontarkan cabaran sedemikian kepada seorang
Menteri. Saya tidak mahu mengaibkan dan memalukan dia, bimbang dia juga akan
menikus dengan cabaran saya. Saya tidak mahu mengaib dan menghina dia
sebagaimana dia aibkan dan hina saya melalui petikan artikel dalam Upturn
Malaysia tersebut. Tidak mengapa. Cuma saya hanya mahu Ahmad Maslan tahu,
bahawasanya sekiranya beliau sudi untuk berdebat dengan saya, kecil tapak
tangan nyiru saya tadahkan!
ATAU Ahmad Maslan boleh menghantar budak-budak suruhannya dari kalangan
Presiden Majlis Belia Felda atau Pengerusi Majlis Belia Felda Kelantan untuk
berdebat dengan saya atas isu-isu yang saya sebutkan. Atau kita boleh tambah
satu tajuk lagi - “Sumbangan Ahmad Maslan kepada Peneroka: Kesan dan
Implikasinya”. Itu lagi bagus. Kami sama-sama remaja, sama-sama pemuda. Di
ambang pemilihan Kerajaan Baru ini, molek kiranya budaya ilmiah ini kita
suburkan. Ketepikan nasihat songsang PM – Debat bukan budaya kita. Nyatakanlah
masa dan tempat, insyallah saya akan hadir tanpa ragu!!!